BTC USD 84,140.3 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zakat Fitrah Menyucikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. (Sunan Abi Daud No: 1609) Maktabah Asriyyah Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan-kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan) yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

2. Zakat fitrah bertujuan untuk memastikan orang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama seluruh umat Islam yang lain. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

3. Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Eidil Fitri pada 1hb Syawal. sama ada secara online mahupun kepada amil yang dilantik.

4. Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya eid fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat pada masa yang ditetapkan.

5. Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:

a. Islam

b. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

c. Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah

Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita. Bagi yang wajib mengeluarkan zakat harta, jangan terlupa nak bayar zakat harta pula.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

17hb April 2023
26hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. (H.R. Muslim No : 1945) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

2. Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan.

3. Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.

4. Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.

5. Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi WhatsApp, Telegram, FB serta bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

Pastikan kita tidak hanya gembira ketika berbuka. Yang lebih penting kegembiraan ketika bertemu Allah di hari akhirat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

18hb April 2023
27hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Hadis Sahih

2. Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat di malam hari.

3. Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, bersahur dan berdoa diwaktu sahur, bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa yang lalu.

4. Memuliakan kedua orang tua bererti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.

5. Marilah kita muhasabah apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu.

Jika ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan sebagainya yang berkaitan dengan orang lain, mohonlah kemaafan. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.

6. Semoga Ramadan yang kita lalui benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

19hb April 2023
28hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Di Hari Raya

عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Daripada Hafshah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, "Pada hari Raya Eid kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak-anak gadis dari biliknya dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan laki-laki dan mengucapkan takbir mengikuti takbir laki-laki, dan berdoa mengikuti doanya laki-laki dengan mengharap barakah dan kesucian hari raya tersebut." (Sahih Bukhari No: 298) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hari Raya Eid Fitri perlu disambut dengan kegembiraan bersama seluruh isi keluarga

2. Antara amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada para sahabat pada pagi hari raya ialah bersama anak isteri (walaupun dalam haid) untuk sama-sama berada di tempat perhimpunan seluruh kaum muslimin.

3. Setiap lelaki dan wanita Islam diperintahkan bertakbir dan turut sama berdoa (walaupun dalam keadaan haid).

4. Antara amalan lain Rasulullah di pagi hari raya adalah bersedekah.
Rasulullah bersabda:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلَالٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي الْمَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat dan tidak solat sebelum atau sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Maka para wanita memberikan sedekah hingga ada seorang wanita yang memberikan anting dan kalungnya." (Sahih Bukhari No: 921). Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

5. Saling bersedekah sebagai tanda keperihatinan terhadap orang yang kurang berada terutama ketika kita bergembira dengan pelbagai juadah raya. Teruskan sumbangan kita walaupun sebaik-sebaik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Dengan sedekah yang diberi akan menggembirakan orang lain. Termasuklah pemberian duit raya kepada orang yang lemah serta kanak-kanak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

20hb April 2023
29hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Apabila Bertemu Di Hari Raya

فعن جُبَيْرِ بْنِ نُفَيْرٍ قَالَ : كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك . قال الحافظ : إسناده حسن .

Daripada Jubair bin Nufair, ia berkata bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW berjumpa dengan hari Aidil (Edul Fitri atau Edul Adha), satu sama lain saling mengucapkan, “Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amalku dan amal kalian).” Al-Hafizh Ibnu Hajar mengatakan bahawa sanad hadits ini hasan.

قَالَ:لَقِيتُ وَاثِلَةَ يَوْمَ عِيدٍ فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ فَقَالَ: نَعَمْ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ.

Berkata Wathilah: Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka" (Semoga Allah menerima amalan [amalan dan ibadat di Ramadhan] kami dan kamu), baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" HR Tobrani No: 17589

Pengajaran:

1. Antara amalan yang dituntut pada hari raya ialah saling doa mendoakan apabila bertemu.

2. Ucapan yang disunatkan ketika bertemu sesama muslim ialah

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ

3. Saling ziarah menziarahi

Berziarah dan merapatkan ukhuwwah sesama Muslim dituntut.

Nabi SAW pernah bersabda :

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya. (Sahih Bukhari No: 1961) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Moga Allah menerima segala amalan kita sepanjang Ramadan dan meredai kita sepanjang masa. Moga dipertemukan pada ramadan tahun akan datang.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

21hb April 2023
30hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Untuk Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Laki-laki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (HR Muslim No: 4656) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara tanda mengasihi saudara dan sahabat ialah berusaha menziarahi mereka dengan ikhlas bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah.

2. Allah sentiasa mencintai kepada orang yang mencintai dan mengasihi orang lain kerana Allah.

3. Ambillah peluang sempena Hari Raya ini untuk menziarahi dan kunjung mengunjung sesama saudara mara dan sahabat handai semata-mata kerana Alla.

4. Moga kecintaan dan kasih sayang kita kepada kerabat dan sahabat handai akan menjadikan kita dikasihi dan dirahmati Allah melalui ziarah sempena Hari Raya ini.

5. Suburkan Silaturahim dan Ukhuwah sebagai bukti peribadi terpuji. Syawal permulaan baharu buat kita dengan membawa bekal dan semangat Ramadan, Aku Kembali Mendamba Redha Illahi. Syawal Permulaan Baharu.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

22hb April 2023
01hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Kepada Orang Beriman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

2. Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

3. Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di forward).

4. Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di forward, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri.

5. Muliakan tetamu dan sentiasa menyuburkan tali persaudaraan dan menyambungkan silaturahim sesama keluarga dan kerabat.

Ambillah peluang sempena Syawal untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jadikanlah tuturkata, penulisan serta komen kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

23hb April 2023
02hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Enam Syawal

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (Sahih Muslim No: 1984) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.

2. Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat Syawal sebanyak enam hari, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.

3. Menurut Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

4. Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat boleh bermula pada dua, tiga, empat hari raya Aidil Fitri atau bila-bila masa pada bulan Syawal sehingga berakhirnya Syawal.

5. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”

Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari Syawal.

Jadilah kita seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan janganlah kita menjadi seorang Ramadani (orang yang hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadan)

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

24hb April 2023
03hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pertemuan Dua Muslim Mengampunkan Dosa

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Daripada Abu Ishaq daripada Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan, melainkan diampuni bagi keduanya sebelum keduanya berpisah” (Sunan Abi Daud No: 5212) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ambil peluang sempena Syawal ini saling ziarah menziarahi, bertemu dan bersua muka antara satu sama lain

2. Ketika bertemu sesama Muslim, ambil peluang saling berjabat tangan (pastikan bukan berlainan jantina yang dilarang).

3. Moga Allah akan mengampuni dosa dua orang Muslim yang bertemu dan berjabat tangan, sebelum mereka berpisah.

Marilah kita mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk saling bersalaman serta bermaafan. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 22:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

25hb April 2023
04hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Salam Dan Bersalaman Menggugurkan Dosa

عن حذيفة بن اليمان ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِنَّ المُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ

Daripada Huzaifah al-Yaman RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya lalu menjabatnya, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon” (Mu’jam Awsat li Tabarani No: 247) Maktabah Maarif. Status: Al-Munziri kata tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik.

Pengajaran:

1. Satu daripada adab yang perlu dilaksanakan apabila bertemu sesama Muslim ialah mengucapkan salam.

2. Ucapan salam juga tanda kecintaan kepada sesama Muslim. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlan (ucapkanlah) salam diantara kalian.” (Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3. Berjabat tangan adalah ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah

4. Berjabat tangan juga menjadi sunnah para sahabat, sebagaimana digambarkan dalam riwayat berikut :

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Daripada Qatadah ra, aku berkata kepada Anas bin Malik, “Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?” Anas menjawab, “Ya”. (Sahih Bukhari No: 5908) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

5. Ibn Hajar mengatakan, “berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain.” (Fathul Bari, 11/54). Menurut Imam An Nawawi dalam al-Adzkar - ditahan beberapa saat, selama tempoh waktu yang cukup untuk menyampaikan salam.”

6. Muslim yang berjabat tangan apabila bertemu akan menggugurkan dosa-dosanya seperti dedaun

Cari masa untuk saling kunjung-mengunjung, ambil kesempatan mengucapkan salam dan bersalaman sesama jantina yang dibenarkan syarak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

26hb April 2023
05hb Syawal 1444H
 
Back
Top
Log in Register