BTC USD 83,490.8 Gold USD 4,121.66
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hak Muslim Keatas Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (Sahih Muslim No: 4023) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Hak muslim sesama Muslim ada enam:

a. Apabila bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam kepadanya.

b. Apabila diundang atau dijemput kenduri seperti perkahwinan, kesyukuran dan lain-lain, hendaklah pergi memenuhi undangan selama tiada keuzuran.

c. Apabila ia meminta nasihat, hendaklah kita memberi nasihat yang diperlukan. (Imam An-Nawawi berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta).

d. Apabila dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu).

e. Apabila mereka sakit, ziarahilah mereka untuk bertanya khabar dan mendoakan

f. Apabila mereka meninggal dunia, usahakan untuk menziarahi dan mengiringi jenazahnya hingga ke kubur

Jadikan Syawal Permulaan Baharu menunaikan hak Muslim sesame Muslim.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

06hb Mei 2023
15hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan (tanpa pengetahuannya), malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan tidak akan tertolak. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ
"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita mendoakan sahabat kita dengan kebaikan. Moga malaikat juga mendoakan yang sama untuk kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

07hb Mei 2023
16hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tunaikan Permintaan

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَا سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ قَطُّ فَقَالَ لَا

Daripada Ibn al-Munkadir, aku mendengar Jabir RA berkata; Nabi SAW tidak pernah apabila diminta sesuatu lalu baginda berkata; "Tidak." (Sahih Bukhari No: 5687) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah seorang pemurah

2. Rasulullah SAW juga tidak pernah menghampakan harapan dan permintaan orang lain

3. Rasulullah SAW menunaikan permintaan orang lain tanpa merasa bimbang kehabisan harta.

Ayuh kita mencontohi sifat pemurah Rasulullah SAW.

Jangan kata TIDAK. Bersedialah membantu dengan ringankan tulang, bersikap RAHMAH terhadap orang lain, pemurah dan tidak bakhil.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

08hb Mei 2023
17hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemanisan Iman

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (yaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a. Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b. Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c. Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2. Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3. Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4. Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5. Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

09hb Mei 2023
18hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2. Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3. Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) termasuk segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

4. Salman al-Farisi menyatakan: Jika sifat kasih sayang dicabut bermakna sebahagian dari imannya juga akan dicabut maka jika sudah demikian maka dia tidak akan menemui Allah melainkan dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji dan mengukuhkan iman kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

10hb Mei 2023
19hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1. Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2. Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

3. Muslim boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan

4. Elakkan diri daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

11hb Mei 2023
20hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Paling Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah radliallahu 'anha, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2. Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan." (Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3. Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

12hb Mei 2023
21hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Segera Mohon Maaf

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain.

2. Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3. Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4. Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5. Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.(Surah al-Zumar : 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya. (HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia seperti dosa memfitnah, mengumpat melalui media sosial yang dengan mudah tersebar keseluruh dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

13hb Mei 2023
22hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin 'Amru RA berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

2. Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

3. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

4. Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Berbakti kepada ibu bapa sebagai tanda anak soleh. Selamat Hari Ibu.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb Mei 2023
23hb Syawal 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْأَجْوَفَانِ قَالَ الْفَرْجُ وَالْفَمُ قَالَ أَتَدْرُونَ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang. Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?" maka baginda bersabda: "Kemaluan dan mulut. Baginda bersabda: Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda: taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik." (HR Ahmad No: 9319) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Seseorang akan ditempatkan kedalam neraka ataupun syurga bergantung pada amalan semasa di dunia.

2. Kebanyakan penghuni neraka adalah berpunca daripada dosa mulut dan kemaluan:

a. Dosa kemaluan seperti berzina, liwat, homoseks, lesbian, gay tidak menjaga auratnya selain mahram dan sebagainya.

b. Dosa mulut atau lidah seperti makan dan minum dari sumber yang haram, mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengumpat, memfitnah, menghina, merendah-rendahkan orang lain, mengadu domba dan lain-lain termasuk yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan di media sosial.

3. Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Memperkatakan serta forward sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa terdetik dihatinya bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis dan diviral akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah.

4. Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

5. Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga disebabkan rahmat Allah atas amalan soleh yang dilakukan.

6. Kebanyakan penyebab seseorang masuk syurga nanti adalah berpunca dari sifat taqwanya serta akhlak terpuji yang dimiliki.

Peliharalah kemaluan dan mulut dari sesuatu yang berdosa yang menjadi penyebab dihumbankan ke neraka. Marilah kita suburkan sifat taqwa dan akhlak mulia dalam diri masing-masing agar dengan rahmat Allah ia menjadi penyebab kita memasuki syurga.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#SyawalPermulaanBaharu
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

15hb Mei 2023
24hb Syawal 1444H
 
Back
Top
Log in Register