BTC USD 84,397.0 Gold USD 4,278.58
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

kitab hadis 40. hadis ke-34
hadis40hadiske34.jpg
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

3. Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

4. Jadikanlah al-Quran sebagai panduan dan rujukan di dalam hidup kita. Semoga al-Quran memandu kita untuk ke syurga. Hadis Nabi SAW:
عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

5. Al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada mereka yang sentiasa mendampinginya, mempelajari, membaca, menghafal dan menjadikannya panduan.

6. Sunnah Rasulullah SAW adalah penjelas dan penerang kepada al-Quran. Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

7. Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami aqidah, ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Sempena Ramadan bulan al-Quran, marilah kita memastikan al-Quran sentiasa kita baca, fahami dan amalkan. Moga al-Quran menjadi hidayah serta panduan dan sunnah menjadi ikutan kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

07hb April 2023
16hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Taqwa dan Al-Quran

عَن أبِى ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ أَوصِنِى قَالَ عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ فَإِنَّهُ رَأْسُ الأَمْرِ كُلِّهِ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ زِدْنِي قَالَ عَلَيْكَ بِتِلاَوَةِ الْقُرْءَانِ فَإِنَّهُ نُورٌلَكَ فِى الأَرْضِ وَذُخْرٌلَكَ فِى السَّمَاءِ

Daripada Abu Dzar bahawa beliau telah meminta Rasulullah SAW memberikannya satu pesanan (yang berpanjangan) Rasulullah bersabda: semaikanlah rasa takut (bertakwa) kepada Allah, sesungguhnya takut kepada Allah itu kepala (sumber) bagi segala amalan kebaikan. Abu Dzar meminta supaya Rasulullah SAW menambah lagi. Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah kamu membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya bagimu di bumi (dunia) dan bekalan untuk mu di langit (akhirat). (HR Ibn Hibban No: 361). Status: Hasan Lighairihi.

Pengajaran:

1. Abu Dzar atau nama sebenarnya ialah Jundub bin Junadah adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang sangat zuhud. Beliau antara sahabat yang sering meminta kepada Rasulullah agar diberikan nasihat. Antara pesanan Rasulullah SAW:

a. Semai sifat taqwa (rasa takut kepada Allah) dalam diri kerana takut kepada Allah itu sumber bagi segala amalan kebaikan.

b. Bacalah al-Quran kerana al-Quran adalah cahaya untuk kita di dunia dan ia akan menjadi bekalan di akhirat.

2. Sifat taqwa perlu disuburkan dalam diri setiap orang beriman dengan melaksanakan seluruh kewajipan agama dan bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan syarak.

3. Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

4. Al-Quran perlu dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan harian agar ia menjadi cahaya yang memandu kehidupan kita di dunia dan menjadi pemberi syafaat di akhirat kelak.

5. Membaca al-Quran akan mendapat ganjaran berganda. Abdullah bin Masud RA meriwayatkan sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR Tirmizi No: 2910) Status: Hadis Hasan

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

08hb April 2023
17hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa, Sedekah dan Qiamullail

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Mu'adz bin Jabal bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba yang qiamullail (bangun beribadat) di malam hari. (HR Ahmad No: 21116) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Pelbagai pintu kebaikan dianugerahkan kepada orang mukmin khususnya di bulan Ramadan antaranya ibadat puasa, sedekah dan Qiamullail.

2. Ibadat puasa adalah pintu kebaikan yang menjadi benteng atau perisai seorang mukmin daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

3. Puasa adalah perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

4. Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati untuk bertakwa kepada Allah.

5. Ibadah sedekah pula adalah pintu kebaikan seorang mukmin yang boleh menjadi penghapus daripada dosa. Hadis Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (HR Bukhari no 5564) Status: Hadis Sahih

6. Menghidupkan malam (Qiamullail) dengan melakukan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir, memohon ampun dan berdoa merupakan pintu bebaikan seorang Mukmin untuk membina kekuatan rohani. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya”. (HR Bukhari No:1145).

Ambillah kesempatan Ramadan ini untuk merebut pintu-pintu kebaikan dengan berpuasa, bersedekah dan qiamullail. Semoga semua ibadah ini menjadi pembina perisai diri, menghapuskan dosa dan menguatkan rohani.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

10hb April 2023
19hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan beribadat kepada Allah

2. Mengikut Imam Syafie, iktikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

3. Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4. Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

5. Amalan iktikaf dapat mengembalikan kita untuk mengimarahkan masjid (rumah Allah). Rumah yang menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18),.

Rebutlah peluang beriktikaf dan menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

11hb April 2023
20hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Daripada Aisyah Radliallahu 'anha berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan". (Sahih Bukhari No: 1916) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menyuruh beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.

2. Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)

"malam kemuliaan (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

3. Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

4. Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar.

5. Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah di masjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.

6. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan: Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah juga. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

7. Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk bertemu Lailatul Qadar. Bayangkan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita dan mungkin ini peluang terakhir untuk bertemu Lailatul Qadar pada tahun ini

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

12hb April 2023
21hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2. Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar.

3. Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah memaafkan dosa yang kita lakukan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

Marilah kita perbanyakkan doa ini memohon ampunan dari dosa dan kesalahan kita. Moga Ramadan ini benar-benar membersihkan diri kita daripada dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

13hb April 2023
22hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah Radhiyallahu anha, berkata: “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

2. Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir, solat sunat seperti solat duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

a. Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
b. Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan

3. Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan. Anda bagaimana?

4. Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata : Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)

5. Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini.

a. Menjaga solat terawih dan pergi awal ke masjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b. Banyakkan Iktikaf. Usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu magrib sehingga tamat solat tarawikh.

c. Perbanyakkan doa. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar". Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini, doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Juga doa kesejahteraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb April 2023
23hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ رَمَضَانُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ هَذَا الشَّهْرَ قَدْ حَضَرَكُمْ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَهَا فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ وَلَا يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلَّا مَحْرُومٌ

Daripada Anas bin Malik RA ia berkata, "Ketika datang bulan ramadan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan ini telah hadir kepada kalian. Di bulan ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya, maka dia telah diharamkan kebaikan semuanya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali bagi yang terhalang daripada kebaikan" (Sunan Ibn Majah No: 1644) Maktabah Ilmiyyah Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Terdapat satu malam (lailatul Qadar) yang barang siapa beramal soleh pada malam tersebut, seumpama dia telah melakukan amal soleh melebihi 1000 bulan

2. Barang siapa yang terhalang daripada beribadah pada malam lailatul Qadar, sungguh ia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya, dan tidaklah terhalang dari kebaikan malam itu kecuali orang yang mahrum (terhalang dari kebaikan).

3. Setiap muslim sangat dianjurkan untuk menghidupkan lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap pahala yang dijanjikan. Mereka yang ikhlas melaksanakannya, dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lalu akan diampunkan Allah.

4. Rebutlah peluang beribadat. Jangan sampai kita tergolong dari kalangan yang terhalang melakukan amal ibadat khususnya di sepuluh malam akhir Ramadan.

JANGAN biarkan Ramadan berlalu tanpa kesungguhan kita beribadat
JANGAN biarkan Lailatul Qadar berlalu tanpa amalan yang bersungguh
JANGAN biarkan kita buat tak tahu je...

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

15hb April 2023
24hb Ramadan 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat."
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala' bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim." (HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.

2. Sifat munafik akan kekal walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3. Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi No: 2749).

4. "Bercakap" termasuk dalam bentuk penulisan dan ditular sama ada di FB, WhatsApp, Telegram dan lain-lain. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan orang tersebut ada tanda munafik pada dirinya.

5. "Amanah" adalah tanggungjawab kita. Pemimpin perlu berlaku adil dalam kepimpinan. Setiap pekerja ada Amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan khianat seperti culas atau curi tulang. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

6. Ruginya jika mengaku seorang Muslim, berpuasa dan solat namun menjadi orang munafik kerana memiliki sifat munafik.

Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri janji dan khianat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

16hb April 2023
25hb Ramadan 1444H
 
Back
Top
Log in Register