combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KKM Lulus Peruntukan Segera Tambah Baik Kemudahan Di Kemar, Perkukuh Akses Kesihatan Orang Asli
fb Dr Dzulkefly Ahmad
Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM500,000 bagi menambah baik kemudahan di Klinik Kesihatan (KK) Kemar, Gerik dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kepada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tumpuan akan diberikan kepada pembinaan Rumah Penyimpan Bot yang baharu.
“Fasiliti ini memikul tanggungjawab besar dalam menyalurkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti Orang Asli yang amat bergantung kepadanya.
“Kemudahan sedia ada yang telah berusia lebih 11 tahun kini makin usang dan hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja lantas menyukarkan kerja perlindungan serta penyelenggaraan aset penting ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata peruntukan turut disalurkan bagi perolehan aset seperti pacuan empat roda bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah uzur dan pembelian kelengkapan perubatan kritikal yang amat diperlukan bagi melancarkan proses intubasi ketika mengendalikan kes kecemasan.
Dzulkefly juga berkata KKM komited dalam menyegerakan projek pembinaan KK Kemar yang baharu agar penduduk menikmati kemudahan penjagaan kesihatan yang jauh lebih selesa, komprehensif dan moden.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan dan menyantuni warga kerja fasiliti kesihatan itu dalam siri lawatannya ke Hulu Perak.
Menerusi hantaran berasingan, Dzulkefly memaklumkan beliau turut merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort ketika lawatan itu dalam usaha memendekkan tempoh respons kecemasan membabitkan lebih 4,500 penduduk Orang Asli di sekitar RPS Kemar yang bergantung sepenuhnya kepada laluan air sebagai perhubungan.
Beliau berkata bot pelbagai guna berkapasiti 12 penumpang bernilai RM350,000 itu akan melengkapi armada enam bot KKM sedia ada.