Jalur Gemilang lambang kedaulatan negara
SAYA amat tertarik dengan cadangan seorang penulis blog untuk mengibar Jalur Gemilang secara terbalik sempena Hari Kemerdekaan. Cadangan itu menggambarkan penulis tersebut seorang yang berfikiran celaru yang tidak tahu membezakan agenda politik dan nasionalisme.
Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara, bangsa dan agama Islam di Malaysia. Tindakan menterbalikkan Jalur Gemilang adalah sama dengan memperlekehkan dan menghina unsur tersebut, seolah-olah kedaulatan negara, bangsa dan agama Islam adalah tidak betul.
Jangan jadikan Jalur Gemilang sebagai sasaran disebabkan perbezaan fahaman politik.
Dalam masa kita cuba untuk mengibarkan Jalur Gemilang di peta dunia, saya amat kecewa kerana ada rakyat Malaysia sendiri cuba menghinanya di bumi tercinta ini. Cuba kita renung sejenak, senaraikan apakah sumbangan kita kepada bumi bertuah ini. Saya yakin sumbangan bumi bertuah yang dilambangkan dengan Jalur Gemilang ini lebih banyak daripada apa yang kita sumbangkan kepadanya. Saya yakin, penulis blog tersebut tidak tahu apa yang diperjuangkan, hanya bertindak dari fakta "mulut ke mulut" yang tidak pasti kebenarannya.
Ingatlah, Jalur Gemilang adalah lambang bangsa di seluruh dunia. Kita tidak dikenali daripada bendera parti. Jadilah rakyat Malaysia yang berkorban untuk mempertahankan dan memelihara Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara daripada rakyat yang jahil terkorban kerana menghinanya.
Bersamalah kita bersatu tanpa mengira agama, bangsa serta pegangan dan fahaman politik untuk memelihara kemuliaan dan kesucian lambang kedaulatan negara Malaysia (Jalur Gemilang) daripada dihina dan dikeji oleh rakyat yang derhaka.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
RAKYAT MERDEKA
Kuala Lumpur