'Tak logik kait BN menang Melaka, harga barang naik' - Zahid
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/ARKIB
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menangkis sekerang-kerasnya dakwaan kenaikan harga barang ketika ini berkait secara langsung dengan kemenangan besar dicapai gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan harga barang ditentukan banyak faktor, termasuklah permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran.
"Secara literal, tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang. Permasalahan itu menjadi semakin berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan untuk (mendepani sebarang) kemungkinan itu," katanya.
Menegaskan demikian dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini, Presiden UMNO itu yakin generasi muda masa kini yang juga generasi berpengetahuan mampu menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan.
"Justeru, sematkan keyakinan bahawa pengundi muda tidak semudah itu dipermainkan dan teruskan usaha mendekati serta memperlihatkan kebenaran kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, pengundi muda pasti bersama BN jika mereka mengetahui sumbangan dan jasa besar kerajaan BN kepada rakyat dan negara.
"Maka seluruh pemimpin, ahli dan penyokong BN perlu berusaha memastikan golongan muda negara cakna mengenai fakta-fakta penting ini demi masa depan kita semua. Jangan bersangka sebaliknya terhadap mereka, malah seharusnya meyakini orang muda mempunyai fikiran yang rasional dan mampu menilai dengan baik.
"Apa yang pengundi muda perlukan adalah sedikit dorongan agar mereka dapat membuat penilaian yang jujur tentang kemampuan kerajaan BN," katanya.