combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kebolehpasaran Graduan TVET Politeknik Dan Kolej Komuniti Capai 98 Peratus
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohd Daud Isa (tiga, kiri) bergambar bersama penerima Anugerah NCTS 2026 Icon Award iaitu Muhammad Thalha Hamdan (kanan) dan Nur Ain Mohd Akhir (kiri) sempena Majlis Perasmian Penutup Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET Ke-6 (NCTS 2026) di Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini.
Lebih 98 peratus graduan politeknik dan kolej komuniti dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya memperoleh pekerjaan setakat ini, sekali gus mengukuhkan peranan institusi itu dalam melahirkan tenaga kerja mahir.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohd Daud Isa berkata sektor hospitaliti, kulinari, kejuruteraan dan pembuatan merupakan antara bidang utama yang menawarkan peluang pekerjaan tertinggi kepada graduan politeknik dan kolej komuniti.
“Sejak TVET diberi penekanan sebagai salah satu bidang penting dalam pembangunan tenaga kerja negara, kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti sentiasa melebihi 95 peratus setiap tahun.
“Pencapaian itu menunjukkan graduan TVET keluaran politeknik dan kolej komuniti di negara ini mempunyai kemahiran serta kompetensi yang memenuhi keperluan industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS 2026) di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini, hari ini.
Mohd Daud berkata ramai graduan turut menerima tawaran pekerjaan ketika masih mengikuti program Work-Based Learning (WBL) di syarikat masing-masing hasil pendedahan awal kepada persekitaran industri.
Selain itu, katanya, perkembangan positif berkaitan kebolehpasaran pekerjaan itu turut disokong peningkatan kemasukan pelajar baharu ke politeknik dan kolej komuniti, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bidang TVET.
“Prestasi kebolehpasaran graduan yang tinggi memberi gambaran bahawa laluan pendidikan TVET mempunyai prospek kerjaya yang baik, sekali gus menarik lebih ramai pelajar untuk memilih politeknik dan kolej komuniti,” katanya.
Menyentuh mengenai program itu, Mohd Daud berkata sebanyak 167 kertas penyelidikan dibentangkan pada NCTS 2026 melibatkan pelajar prasiswazah daripada empat politeknik yang menawarkan program ijazah sarjana muda.