afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Kata dua reformasi DAP tambah tekanan, gagal beri kelebihan
Dengan menetapkan tarikh akhir bagi Anwar Ibrahim untuk laksana janji reformasi, DAP secara langsung telah guna kelebihan rundingan terakhirnya, kata penganalisis.
Ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Syaza Shukri berkata, parti itu kini perlu memastikan kerajaan merealisasikan ikrar tersebut, manakala veteran parti Charles Santiago percaya selepas ini, hanya tindakan eksekutif segera mampu memberi masa kepada DAP.
Bagaimanapun pakar sains politik Wong Chin Huat menegaskan DAP masih mempunyai kelebihan, iaitu jumlah kerusi yang besar di Dewan Rakyat, membolehkannya mencetuskan pilihan raya mengejut, prospek yang mungkin belum bersedia dihadapi oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Syaza berkata, kata dua DAP itu sebenarnya tidak memberikan parti itu sebarang kelebihan ke atas Anwar.
Katanya, selepas mengundi untuk terus kekal dalam kerajaan, parti itu kini berisiko mendedahkan keterhadannya sendiri berbanding memberi tekanan sebenar kepada Anwar menjelang tarikh akhir penghujung tahun ini.
“Ini secara langsung melucutkan kelebihan utama tawar-menawar DAP,” katanya kepada FMT.
“Pada peringkat ini, ia lebih kelihatan seperti lakonan semata-mata. Apa yang boleh buat kita percaya bahawa perubahan akan berlaku apabila tibanya tarikh akhir bagi kata dua itu, dan setelah ia berlalu?”
“Tambahan pula, para perwakilan telah mengundi untuk kekal (dalam kerajaan), sekali gus beri ruang bernafas kepada Anwar. Tekanan (terhadapnya) kini semakin reda.”
DAP, yang menguasai 40 daripada 150 kerusi Parlimen dalam blok kerajaan, mempunyai lima menteri dan tujuh timbalan menteri. Parti itu turut memegang kerusi terbanyak dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH).
Ketika kongres khasnya pada 16 Ogos, majoriti perwakilan mengundi agar parti kekal dalam kerajaan, selain menggesa kepimpinan parti supaya lebih tegas dalam mendesak pelaksanaan agenda reformasi.
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Anwar menyegerakan reformasi institusi utama menjelang Disember, termasuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, serta memperuntukkan dana pembangunan kawasan secara saksama.
Menurut Syaza, selepas menutup ruang penarikan balik sokongan, DAP kini tersepit dalam keadaan di mana ia mesti melunaskan tuntutan tersebut atau berdepan risiko dipulaukan oleh kumpulan pengundi terasnya.
“Parti itu telah kehilangan peluang untuk benar-benar ‘menghukum’ atau memberi isyarat kepada kerajaan perpaduan susulan pengundian hujung minggu lalu.
“DAP akan kekal bersama kerajaan (sehingga tamat penggal),” tambahnya.
Jerat dipasang sendiri
Sementara itu, Santiago yang juga bekas Ahli Parlimen Klang menyifatkan tempoh empat bulan itu sebagai jerat yang dipasang sendiri oleh DAP dan berisiko memakan diri.
“Empat reformasi yang dikemukakan DAP bukanlah perkara baharu. Ia sudah terbentang di atas meja selama hampir empat tahun,” katanya menambah, langkah menetapkan garis masa yang sebegitu ketat tanpa perancangan jelas hanya mencerminkan naratif keterdesakan, bukannya keyakinan.
Berbanding menunggu rang undang-undang yang kompleks diluluskan di Parlimen, Santiago menegaskan kerajaan sewajarnya menumpukan kepada tindakan eksekutif segera dan konkrit bagi membendung kekecewaan rakyat.
Bagaimanapun, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Kasthuri Patto mempertahankan desakan tersebut dengan menyifatkan tarikh akhir Disember itu sebagai ‘gerak kerja prosedur yang perlu’ demi menyelesaikan tunggakan perundangan serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang demokratik yang berkekalan.
Reformasi tanggungjawab bersama
Kasthuri turut menyangkal naratif bahawa beban reformasi terletak di bahu DAP semata-mata, lalu menggesa rakan kongsi seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar menunaikan janji kempen masing-masing.
Beliau berkata walaupun BN, GRS, dan GPS turut membuat ikrar serupa seperti PH, DAP tidak wajar menjadi satu-satunya pihak yang dipersalahkan sekiranya janji mendesak reformasi belum tertunai.
Kelebihan DAP terletak pada kerusi
Wong pula berkata, DAP masih mengekalkan kelebihan rundingan kerana 40 kerusi Parlimen miliknya kekal penting bagi menjamin majoriti kerajaan Madani.
“Tanpa kerusi DAP, kerajaan akan kehilangan majoriti. Justeru, jika DAP merasakan keberadaannya dalam kerajaan tidak lagi berbaloi, parti itu tidak perlu meletak jawatan daripada Kabinet. Cukup hanya dengan maklumkan secara tertutup kepada Anwar untuk adakan PRU mengejut,” kata Wong.
Tambahnya, jika rakan gabungan sengaja menyekat rang undang-undang yang progresif, pengundi yang pro-reformasi akhirnya akan menghukum mereka di peti undi.