afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Usul ‘wajib’ PAS mungkin beri tekanan kepada Umno, kata penganalisis
Takiyuddin Hassan berkata kerjasama politik PAS dan Umno dijangka menjadi antara ‘usul wajib’ dibincangkan pada Muktamar PAS ke-72.
Tawfik Yaakub berkata kelulusan usul itu jika dipersetujui hanya mengikat PAS yang mahu menunjukannya serius bekerjasama semula dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) menerusi mandat perwakilan.
Menurut ahli akademik dari Universiti Malaya itu, PAS tidak mahu hanya bergantung kepada kenyataan pemimpin tertentu sebaliknya menginstitusikan pendirian berkenaan menerui persetujuan perwakilan.
“Susunan masa Muktamar PAS (4 hingga 5 Sept) yang berlangsung sebelum Perhimpunan Agung Umno (11-12 Sept) memberikan PAS peluang menetapkan terlebih dahulu naratif mengenai kerjasama kedua-dua parti.
“Sekiranya muktamar memberikan sokongan kuat kepada kerjasama itu perhatian selepas itu secara automatik akan beralih kepada Umno,” katanya kepada FMT.
Namun Tawfik berkata Umno tidak semestinya perlu membawa atau meluluskan usul serupa pada PAU kerana keadaan politiknya berbeza.
Beliau merujuk kedudukan serta komitmen BN/ Umno dalam kerajaan perpaduan selain keperluan mengambil kira hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
“Justeru tekanan kepada Umno lebih berbentuk tekanan dan persepsi akar umbi bukannya kewajipan organisasi mengikuti keputusan PAS,” tambahya.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada Selasa berkata kerjasama politik PAS dan Umno dijangka menjadi antara ‘usul wajib’ dibincangkan pada Muktamar PAS ke-72.
PAS dan Umno pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14 namun ia ‘terhenti’ tanpa sebarang perkembangan selepas pembentukan Perikatan Nasional (PN) dianggotai PAS serta seteru Umno, Bersatu menjelang PRU15.
Namun BN-PN tanpa Bersatu mewujudkan persefahaman pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu yang menyaksikan menawan negeri itu dan menimbulkan kemungkinan kerjasama pada PRU16.
Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata status ‘usul wajib’ menunjukkan PAS serius membuka ruang kerjasama, tetapi ia tidak boleh disamakan dengan keputusan membentuk pakatan politik.
Menurutnya, mandat muktamar hanya memberikan kuasa kepada kepimpinan PAS untuk berunding, sedangkan pelaksanaan sebenar masih bergantung kepada persetujuan Umno.
Beliau berkata antara kemungkinan ialah kedua-dua parti mencapai kerjasama terhad bagi pilihan raya tertentu tanpa membentuk gabungan politik rasmi.
“Ukuran sebenar bukan pada keputusan kedua-dua muktamar, sebaliknya sama ada PAS dan Umno selepas itu mampu membahagikan kerusi.
“Selain itu menyelaraskan calon serta mengelakkan pertandingan sesama sendiri,” katanya.