Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
JIM Tahan 1,043 Warga Asing Dalam Operasi Bersepadu Di Seluruh Negara
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 1,043 pendatang asing dalam operasi bersepadu di seluruh negara, yang dilaksanakan selama dua hari bermula Isnin lepas hingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi berskala besar itu, sebanyak 3,307 individu telah diperiksa di lokasi penempatan warga asing yang dikenal pasti, hasil aduan dan maklumat orang awam.
“Daripada jumlah yang ditahan, pecahan tertinggi melibatkan warga Bangladesh, diikuti Indonesia dan Myanmar dengan majoritinya, lelaki,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sebuah pangsapuri di sini, lewat malam tadi.
Mengulas mengenai operasi di pangsapuri itu, beliau berkata sebanyak 330 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 248 warga asing berusia antara 17 hingga 59 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi di lokasi ini iaitu sebanyak 117 orang. Operasi bermula kira-kira 10.30 malam melibatkan pemeriksaan di dua blok kediaman,” katanya.
Zakaria berkata operasi berkenaan turut melibatkan penahanan kanak-kanak yang kebanyakannya bersama ibu bapa mereka, bagi memastikan mereka tidak ditinggalkan tanpa penjaga.
Beliau berkata hasil operasi itu juga, JIM mengeluarkan 45 saman saksi kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan terhadap pemilik kediaman yang disyaki melindungi pendatang tanpa izin.
Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen atau permit sah, supaya mengambil peluang untuk menyerah diri menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 yang masih dilaksanakan sehingga 31 Mei 2027.
“Mereka boleh menyerah diri secara sukarela kepada JIM, membayar kompaun RM500 sebelum dibenarkan pulang ke negara asal. Ambil kesempatan ini sebelum kita tahan dan ambil tindakan undang-undang,” katanya.