Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
JAS Kedah Kesan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Pembakaran Terbuka Di Bukit Banyan
Kredit: JAS Kedah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal haram yang melibatkan aktiviti pembakaran terbuka di Bukit Banyan di sini.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam mengenai bau pembakaran di kawasan berkenaan semalam.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati terdapat aktiviti pelupusan sampah domestik atau sisa pepejal secara haram di atas lot tanah yang telah dibersihkan.
“Kawasan yang ditimbus dengan sampah domestik atau sisa pepejal itu meliputi kira-kira 250 meter persegi. Turut dikesan asap di tapak itu yang dipercayai berpunca daripada pembakaran oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan logam berharga daripada sisa pepejal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata siasatan lanjut mendapati tapak pelupusan berkenaan beroperasi tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Beliau berkata aktiviti itu dipercayai dijalankan oleh kontraktor yang mengutip sampah domestik dari kawasan perindustrian di daerah berkenaan.
Menurut Sharifah Zakiah, JAS Kedah turut mengambil sampel sisa pepejal di lokasi untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis makmal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1) dan Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dalam pada itu, JAS Kedah akan merujuk kes itu kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam bagi tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.