Beberapa wanita Rohingya yang juga sebahagian daripada 300 pelarian terkandas di Indonesia beratur bagi menjalani pemeriksaan perubatan di kem transit di Sumatera. - Foto AFP
Pelarian Rohingya terkandas di Indonesia ketika menuju Malaysia
LHOKSEUMAWE: Ratusan pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, yang menderita lebih 200 hari di lautan sebelum mendarat di pantai di utara Indonesia Isnin lalu, berkata destinasi asal mereka ialah ke Malaysia.
Menurut pelarian yang terselamat, mereka membayar sehingga AS$2,400 (RM9,900) seorang, namun sindiket penyeludup menjadikan mereka tebusan selama berbulan lamanya untuk mengugut rakan atau keluarga supaya membayar lebih.
Institut Penganalisis Dasar Konflik (IPAC) yang berpusat di Jakarta, Indonesia, berkata penyeludup menuntut bayaran tambahan mencecah RM5,000 sebelum membebaskan pelarian terbabit bila tiba di destinasi.
"Bayaran bagi kebanyakan pelarian terbabit dibiaya oleh anggota keluarga, kenalan atau kekasih mereka yang sudah berada di Malaysia, yang mana penyeludup tahu mereka mampu membayar.
"Ada antara pelarian wanita mengakui menjalin hubungan melalui laman sosial dengan lelaki warga Bangladesh di Malaysia, yang kemudian membiaya kos membawa mereka ke sana manakala yang lain mempunyai suami di Malaysia.
"Justeru, kumpulan pelarian terbaru ini nampak lebih sihat, sekali gus membuktikan penyeludup mahukan mereka hidup bagi menuntut lebih banyak wang daripada warga Bangladesh di Malaysia yang membiaya perjalanan mereka," katanya.
Menurut agensi bantuan lain, ada antara bot yang diguna itu dilengkapi mesin penyuling air laut untuk dijadikan minuman dan terdapat bot laju yang membekalkan makanan di lokasi tertentu sepanjang perjalanan.
Kumpulan terbaru kira-kira 300 pelarian etnik Rohingya yang kini ditempatkan di kem sementara di kepulauan Sumatera, Indonesia itu adalah tangkapan terbesar tahun ini.
Mereka nekad melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh untuk ke Malaysia, namun terkandas di Indonesia selepas dilanda ribut dan kini ditempatkan di kem transit pelarian.
Lebih malang lagi, mereka dipukul oleh anggota sindiket selain terpaksa berlapar dan dahaga ketika ribut memukul kapal mereka ketika di lautan, malah ada antara mereka yang maut dan mayatnya dibuang ke laut.
Seorang pelarian, Kamrun Nahar, memberitahu AFP bahawa terlalu banyak mayat dicampak ke laut, sebahagian besarnya ibu dan anak yang maut diserang penyakit.
"Kami sangat menderita kerana kumpulan yang membawa kami menyeksa kami setiap masa, memukul dan melukakan kami," katanya.
Menurut seorang lagi pelarian, mereka diberitahu akan tiba di Malaysia dalam tempoh tujuh atau lapan hari, namun akhirnya terumbang-ambing di lautan selama berbulan-bulan.
Sehingga kini, kira-kira 800 etnik Rohingya meninggalkan Bangladesh sejak Mac lalu dengan kapal besar sebelum mereka dipisahkan dengan menaiki kapal lebih kecil termasuk kira-kira 100 pelarian yang mendarat di Indonesia Jun lalu.
Sementara itu, wakil Indonesia di Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Ann Maymann, berkata dianggarkan 200 etnik Rohingya mati di laut tahun ini. - AFP