kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,855
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,855
- Reaction score
- 98
- Points
- 80
Dua Pemandu Kenderaan Perdagangan Positif Methamphetamine
Dua pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Duta di sini pada 22 dan 23 Sept lepas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) Hamidi Adam berkata kedua-dua individu terbabit dikesan positif hasil daripada 48 saringan air kencing yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata individu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk ujian serta siasatan lanjut.
"Sekiranya mereka disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan yang ditetapkan, JPJ akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menggantung lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai operasi selama dua hari itu, Hamidi berkata 275 kenderaan perdagangan diperiksa, dengan 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ketiadaan Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) dan cermin gelap.
Sementara itu, Hamidi mendedahkan 25 pemandu telah gagal ujian saringan air kencing pertama daripada keseluruhan 341 pemandu yang diperiksa sepanjang Operasi Bersepadu Dadah setakat September tahun ini.
Beliau berkata jumlah pemandu yang positif dadah itu melibatkan 23 pemandu kenderaan barangan, serta masing-masing seorang pemandu kenderaan pelancongan dan kenderaan perkhidmatan awam.
Justeru, beliau memberi amaran JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang hingga boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
"Pada masa yang sama, syarikat dan pengendali pengangkutan turut diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek pemantauan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan," katanya.