combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Insiden Lebuh Armenian: Pulau Pinang Akan Nilai Keselamatan Struktur Semua Bangunan Warisan
H'ng Mooi Lye
Pulau Pinang akan menjalankan penilaian terhadap tahap keselamatan struktur semua bangunan warisan di negeri itu, susulan kejadian runtuhan di Lebuh Armenian di sini semalam yang mengakibatkan dua pelancong warga Sri Lanka cedera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye berkata kerajaan negeri, akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara bagi melaksanakan kajian, serta melantik jurutera bebas untuk mengenal pasti bangunan warisan yang berisiko atau tidak selamat.
“Apabila hasil kajian diperoleh, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan yang dikenal pasti, untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian semalam, dua pelancong warga Sri Lanka cedera, selepas batu dan kayu daripada rasuk tingkat satu sebuah bangunan warisan di Lebuh Armenian runtuh dan pemeriksaan awal mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan rasuk kayu yang diserang anai-anai.
Mangsa, Mohamad Ammtar, 66, dan Fatimah, 55, menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
H'ng berkata usaha memelihara nilai warisan bangunan, tidak seharusnya mengabaikan aspek keselamatan awam.
Beliau berkata walaupun kerja-kerja pemuliharaan perlu mengekalkan ciri dan struktur asal bangunan warisan, penggunaan bahan alternatif yang lebih tahan lama dan selamat wajar dipertimbangkan, sekiranya bahan asal seperti kayu tidak lagi sesuai digunakan.
Mengenai keadaan mangsa, H'ng berkata beliau dimaklumkan bahawa mangsa lelaki telah dibenarkan keluar dari HPP hari ini, selepas selesai menerima rawatan.
Bagaimanapun, isterinya yang turut cedera masih dirawat dan dijadual menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan), bagi menilai tahap kecederaan yang dialaminya.