BTC USD 81,209.0 Gold USD 4,027.63
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan

Tarian Asyik penyeri majlis malam berinai

Tarian Asyik adalah sejenis tarian klasik (daerah) Kelantan yang pada asalnya dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Barisan penarinya ialah kalangan dayang istana. Tarian Asyik selalunya dipersembahkan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana.

Kini, Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari temasya negeri dan negara. Dari segi sejarah (Hikayat Pattani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan, yang memerintah Pattani pada 1644, ada menyimpan 12 penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.

Menurut maklumat daripada Wikipedia Bahasa Melayu, Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak-geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian ini dimulai dengan 10 penari masuk ke dewan tarian terlebih dulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tiga alat muzik penting yang digunakan ialah rebab, gambang dan gedombak.

Asal usul tarian ini dihikayatkan daripada seorang raja yang memelihara seekor burung kesayangannya di istana. Suatu hari beliau mendapati burungnya terlepas dari sangkar, lalu diikut burung itu ke hutan belantara dengan harapan untuk mendapatkannya semula. Selepas bertahun-tahun burung kesayangannya masih tidak dapat diambil kembali, lalu raja berkenaan kembali ke istana dengan penuh kekecewaan.

Bagi menghilangkan rindunya terhadap burung itu, raja terbabit memerintahkan supaya mencipta satu tarian yang meniru gerak-geri burung kesayangannya. Untuk tujuan berkenaan, maka kumpulan dayang istana terpaksa menari di depan baginda dan ternyata baginda begitu asyik dengan persembahan berkenaan meskipun ketika itu raja masih terkenangkan burungnya.

Alat muzik yang mengiringi Tarian Asyik ialah gedombak asyik sebanyak 11 jenis, selain gambang dan rebab. Tiga alat muzik utama ini mesti ada untuk mengiringi tarian berkenaan. Di samping gerak-geri dan pakaian berseri, Tarian Asyik menarik minat masyarakat seluruhnya. Pakaiannya adalah serupa dengan Mak Yong iaitu berbaju pendek (warna merah), kain sarong dan satu kain panjang digantung pada bahu dan dilepaskan hingga ke pinggang. Pada bahagian pinggang penari memakai pending (sejenis tali pinggang) dan Puteri Asyik pula dimestikan memakai canggar di sanggulnya.

IMG03tapmmb.jpg
 
Gitar wujud sejak zaman kuno

Gitar adalah alat muzik atau instrument muzik yang lahir dan berakar sejak zaman kuno lagi dan memainkan pelbagai fungsi dalam variasi gaya muzikal. Biasanya, gitar mempunyai enam tali, tetapi terdapat juga jenis gitar dengan empat, tujuh, lapan, 10 dan 12 tali.

Gitar sudah diiktiraf sebagai antara instrumen paling utama dalam muzik blues, country, flamenco, muzik rock dan banyak lagi irama berbentuk pop. Ia juga boleh berperanan sebagai instrumen klasikal solo. Gitar juga boleh dimainkan secara akustik, di mana tone bunyi dihasilkan oleh getaran tali dan ditinggikan atau direndahkan oleh badannya yang berongga, atau ia juga bergantung pada fungsi penguat (amplifier) yang mampu memanipulasi tone secara elektronik. Jenis gitar ini mula diperkenalkan sekitar abad ke-20 dan terus berkembang selepas menerima pengaruh dan budaya muzik popular.

Secara tradisionalnya, gitar dibentuk atau dibuat dengan kombinasi pelbagai jenis kayu dan talinya diperbuat daripa isi perut haiwan. Bagaimanapun, kini penggunaan tali nilon atau keluli menjadi pilihan. Gitar dibuat dan diperbaiki oleh pembuat kecapi (Lut) atau mana-mana pembuat alat muzik bertali secara amnya.

Sebelum perkembangan pesat gitar elektrik dan penggunaan bahan sintetik, gitar didefinisikan sebagai instrumen yang mempunyai leher berukir panjang, bod suara daripada kayu yang rata, tetulang dan belakang yang rata, lebih banyak mempunyai tepi yang melengkung ke dalam.

Instrumen yang lebih kurang sama dengan gitar sudah mula popular sejak 5,000 tahun dulu. Gitar itu dikatakan terbit daripada instrumen yang lebih awal terkenal di India dan Asia Tengah sebagai Sitara.

Perkataan moden - gitar - dipinjam ke bahasa Inggeris daripada bahasa Sepanyol iaitu giutarra. Ia terbit daripada bahasa Latin, cithara yang difahamkan berasaskan pula daripada perkataan Greek, kithara yang dipercayai terbit pula dari perkataan Parsi, sihtar. Sihtar sendiri ada kena mengena dengan instrumen India, sitar.

Gitar terbahagi kepada dua kategori iaitu yang luas penggunaannya sebagai akustik dan elektrik.

Tahukah anda, gitaris atau shredder ternama negara ialah Man Keedal atau nama sebenarnya Rahman Mahmud. Dilahirkan di Johor pada 2 Mac 1963, Man Keedal sudah mula berimain gitar sejak berusia 10 tahun lagi hasil dorongan ayahnya, seorang pemain harmonika. Namanya mula gah sekitar 1985 ketika menganggotai kumpulan rock ikon, Search. Bersama Search, namanya begitu meletup menerusi album Cinta Buatan Malaysia. Man Keedal - gelaran yang diberikan atas karakter istimewanya yang kidal, juga bertanggungjawab mempelopori kumpulan rock, Lefthanded.

Gitar popular yang dipakainya ialah Fender Stratocaster 1978 bersama amplifier Marshall, beliau menampilkan gaya permainan speed, neoclassic dan shredd. Gitaris idola beliau ialah Yngwie Malmsteem, Ritchie Blackmore dan Jimi Hendrix.

Di Malaysia juga, gitaris terkenal lain termasuklah Hillary Ang, Joe Wings dan Allahyarham Samad (Lefthanded).

IMG03gwszk.jpg
 
Rodat asal dari Timur Tengah

Permainan rodat adalah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih diamalkan hingga kini. Walaupun sekitar era 1960-an, pengaruhnya terganggu seketika berikutan kemunculan bentuk hiburan moden dan relevan dengan perkembangan sosio budaya masyarakat, namun ia tidak pernah dilupakan.

Permainan ini terdiri daripada gabungan satu pasukan atau lebih. Anggota yang mengambil bahagian dalam permainan ini terdiri daripada tiga kumpulan. Satu kumpulan dianggotai lebih kurang 10 orang pemukul rebana Tar, iaitu sejenis rebana kecil. Pemukul rebana Tar ini kebanyakannya kaum lelaki dewasa berumur 50 hingga 60 tahun.

Kumpulan kedua berjumlah 20 hingga 30 orang Menenggak (orang Nenggak) membabitkan kaum lelaki berumur di antara 20 hingga 35 tahun. Selalunya mereka berpakaian baju Melayu seragam, bersongkok hitam, berselepang dan bersamping. Satu lagi kumpulan ialah kumpulan Mak Inang - terdiri di kalangan penari waita berumur antara 17 hingga 25 tahun.

Berdasarkan sumber Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, orang yang memukul rebana Tar juga bertugas menyanyi lagu untuk mengajar atau menyanyikan lagu bagi mengiringi orang Menenggak dan Mak Inang. Antara mereka terdapat seorang ketua yang digelar Tukang Adi. Tukang Adi ini akan membaca lagu rodat dari kitab Hadrah yang diletakkan di depannya. Kitab ini dipercayai dibawa dari Timur Tengah. Pemukul rebana ini mengambil tempat paling depan di muka pentas, bersila mengadap kumpulan Mak Inang dan Orang Nenggak pula berbaris di belakang sekali dengan susunan rapi.

Mereka bertugas menyanyi sambil menari (kebanyakan lagu memuji Nabi dan Tuhan) dan menepuk tangan mengikut irama rodat, sepanjang permainan dilaksanakan baik, mengiringi Mak Inang atau tidak. Manakala Mak Inang yang biasa mengambil tempat antara kumpulan Pemukul Rebana Tar dan Orang Nenggak adalah penting dalam permainan ini untuk menarik perhatian orang ramai.

Mak Inang hanya keluar menari dan menyanyi pada masa tertentu saja dalam satu-satu pertunjukan kecuali dalam pertandingan Rodat Berlawan di mana Mak Inang dan peserta lainnya terpaksa bermain sepanjang malam pertunjukan berlangsung mengikut waktu ditetapkan.

Biasanya struktur kumpulan utama rodat dibahagikan seperti sembilan Pengadi, 12 pelenggok dan lima Mak Inang.

Rodat mendapat sambutan terutama di daerah seperti Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Berang. Malah permainan ini mendapat sambutan baik di Pahang.

IMG03radtt.jpg
 
Space Rock popular sejak era 70-an

Space Rock adalah subgenre kepada muzik rock. Istilah ini asalnya merujuk kepada kepada kumpulan muzik kebiasaannya progresif rock British era 1970-an dan band psychedelic seperti Hawkwind dan Pink Floyd.

Muzik mereka dikategorikan sebagai perlahan, instrumental yang lama dan panjang serta didominasi synthesisers, kerja gitar yang sangat eksperimental dan tema lirik cenderung ke arah fiksyen sains. Begitupun, terjemahan ini berubah dan merujuk pula band alternatif rock British sekitar 1980-an yang wujud hasil pengaruh kempulan muzik terdahulu hingga terhasil irama lebih melodik dalam suasana dan bentuk muzik pop.

Space Rock bangkit sekitar akhir 1960-an dalam gelanggang muzik psychedelic di Britain dan sering dikaitkan gelombang pengaruh progresif rock pada ketika yang sama.

Album awal Pink Floyd dianggap merintis pembangunan Space Rock dalam trek tertentu. Sebagai Contoh, Astronomy Domine dan Interstellar Overdrive menerusi album sulung berjudul The Piper at the Gates of Dawn. Album kedua mereka, A Saucerful Of Secrets mengandungi beberapa lagi contoh relevan seperti Let There Be More Light dan Set The Contols For The Heart Of The Sun yang sarat dengan tema fiksyen sains.

Lagu The Beatles berjudul Flying pada asalnya diberikan judul Aerial Tour Instrumental, adalah contoh instrumental psychedelic mengenai perasaan berupaya untuk terbang sama ada dengan pesawat mahupun di ruang angkasa. Lagu kumpulan The Rolling Stone pada 1967 berjudul 2000 Light Years From Home, juga banyak mengandungi pengaruh sama dalam lagu Pink Floyd. Jimi Hendrix juga antara perintis terawal genre ini, dengan trek seperti Third Stone From The Sun (1983 - A Merman I Should Turn To Be) dan Stars That Play With Laughing Sam's Dice.

Lagu David Bowie, Space Oddity (1969) boleh dianggap sebagai contoh terbaik muzik Space Rock sehingga diiktraf sebagai muzik arus perdana.

IMG03srpse70an.jpg

David Bowie
 
Teen pop cabang muzik pop

Teen pop ialah subgenre muzik pop yang disasarkan dan berorientasikan kalangan remaja. Teen pop juga meliputi genre dan gaya muzik seperti pop, dance, R&B, hip hop dan rock. Mengikut sejarah perkembangannya, awal 1960-an adalah era yang dikenali sebagai Golden Age bagi idola remaja pop seperti Paul Anka, Fabian dan Frankie Avalon. Gelombang pertama memberi impak terhadap kegilaan pada teen pop berlaku sekitar pertengahan ke akhir 1980-an, dengan kemunculan artis seperti Debbie Gibson, Tiffany dan New Kids On The Block.

Pada awal 1990-an, teen pop mendominasi carta muzik hit semasa sehinggalah kemunculan gelombang muzik grunge dan gangsta rap yang melanda muzik arus semasa gelanggang muzik Amerika Utara sekitar 1992. Teen pop kekal popular di United Kingdom dengan kebangkitan boy band yang tidak asing lagi seperti Take That ketika itu, sehinggalah pertengahan 1990-an apabila demam Britpop pula merebak ke serata UK, gaya dan bentuk penularannya tidak jauh berbeza dengan cara muzik di Amerika Utara.

Pada 1996, kumpulan penyanyi wanita ternama, Spice Girls melancarkan single berjudul Wannabe, menjadikan mereka bintang pop kegilaan ramai di UK dalam sekelip mata, begitu juga di Amerika Syarikat. Sejajar dengan kebangkitan itu, muncul pula beberapa lagi kumpulan teen pop bak cendawan tumbuh seperti Hanson, the Backstreet Boys, N' Sync dan All Saints.

Pada 1999, kejayaan bintang pop remaja Britney Spears dan Christina Aguilera, menjadi penanda aras kepada satu lagi gelombang baru dalam industri muzik semasa yang dikenali sebagai ternd 'pop Lolita' yang sering dibandingkan dengan kejayaan Madonna.

Kelompok penyanyi teen pop 1990-an mula memasuki fasa kejatuhan dan pra persaraan (N' Sync, Destiny's Child) atau menukar gaya muzik mereka seperti yang dilakukan Backstreet Boys. Namun berbeza pula pencapaian artis remaja pada 2005 seperti Rihanna dan Chris Brown, memberikan gambaran dan pendekatan baru dalam perkembangan muzik berasaskan teen pop.

Sejak pertengahan 2000, ramai bintang remaja memperkembangkan kerjaya mereka menerusi pembabitan dengan produksi terbitan Disney - sebagai contoh barisan pelakon yang membintangi Disney Channel Original Movie High School Musical seperti Miley Cyrus dan the Jonas Brothers yang memiliki khalayak peminat begitu meluas impak dari pembabitan mereka dengan Disney iaitu Hannah Montana dan Camp Rock.

IMG03tpcmp.jpg
 
Muzik 'boy band' ikut citarasa semasa

Boy band, yang turut disebut sebagai boys band atau boy's band di sesetengah negara, adalah satu lagi jenis kumpulan pop yang menampilkan sekumpulan penyanyi lelaki muda. Anggota kumpulan ini juga kebiasaannya mampu menari dengan baik selain sering menampilkan sekuen reka tari yang menarik mengikut muzik mereka.

Walaupun sehingga kini masih tiada ciri jelas untuk menterjemahkan apa itu maksud boy band, kita masih boleh melabel sebuah kumpulan sebagai boy band kerana mereka mengikut trend muzik arus perdana, menukar penampilan agar tidak ketinggalan dengan trend fesyen semasa, mencipta gerak tari begitu kreatif dan tersendiri, selain membuat persembahan yang agak kompleks.

Kalangan ini juga boleh melalui evolusi dari kumpulan koir gereja atau kumpulan muzik Gospel, namun mereka biasanya disatukan oleh pengurus pencari bakat atau penerbit album yang menjalankan pencarian bakat untuk mencungkil keupayaan menari, skil rapping dan kebolehan menyanyi.

Boy band juga sering dianggap sebagai artis 'mi segera' atau kumpulan 'pasang siap'.

Kebanyakan anggota band boy tidak boleh bermain instrument muzik, gaya persembahan mereka lebih bertumpu kepada persembahan vokal harmoni (kecuali seperti kumpulan A1, The Moffatts, South 65, Marshall Dyllon, Busted dan McFly). Akibat sering dikaitkan dengan sesuatu yang berorientasikan komersial terutama cenderung menarik khalayak yang masih bersekolah dan remaja, istilah itu mendapat konotasi negatif dalam amalan kewartawanan muzik.

Boy band juga sama konsepnya dengan kumpulan penyanyi wanita remaja (girl group). Biarpun kebanyakan boy band lebih dipengaruhi genre R & B, mereka juga mendapat suntikan muzik lain seperti power pop, muzik country, muzik folk dan pop rap.

South 65 dan Marshall Dyllon, sebagai contohnya adalah dua kumpulan boy band yang memperjuangkan muzik country. Kumpulan Il Divo pula yang ditubuhkan oleh Simon Cowell adalah boy band yang mempersembahkan Operatic group.

Sejak 2001, mula wujud elemen lintasi membabitkan power pop dan pop punk, bagaimanapun ia hanya menular di kalangan boy band yang bermain instrumen muzik. Apa yang jelas, kewujudan boy band banyak bergantung kepada apakah genre yang paling terkini dan bergaya, dan tidak menekankan kepada sesuatu yang asli. Sebagai contoh, sehingga 2008, boy band sering meniru gaya pop punk, garage rock 1960-an, post punk revivalists, pop rap, power pop dan juga dance-punk.

Di Malaysia, boy band juga boleh dirujuk kepada kumpulan New Boyz dan Antz.

IMG03mbbics.jpg
 
Genre 'glam rock' berkonsep teaterikal

Genre glam rock berkembang dari gelanggang Psychedelic Inggeris dan art rock sekitar akhir 1960-an lagi. Takrifan glam rock diperjelaskan lagi dengan kehadiran artis seperti T Rex, Roxy Music, Steve Harley dan Cockney Rebel dan David Bowie, tidak ketinggalan menerusi kemunculan kumpulan dengan aksi teaterikal seperti The Cocketters, selain penghibur seperti Lindsay Kemp dan Syd Barrett dari Pink Floyd.

Asal usul glam rock semakin diterima umum selepas kemunculan Tyrannosaurus Rex - sebuah kumpulan yang diterbitkan Tony Visconti dan perjuangkan legenda John Peel. Penyanyi utama kumpulan itu, Marc Bolan kemudian menukar nama kumpulan itu kepada T Rex dan mula melonjak naik menerusi lagu yang pernah menjadi nombor satu di United Kingdom berjudul Ride A White Swan sekitar Disember 1970. Ini memberikan laluan kepada glam rock dan memperkenalkan kumpulan itu sebagai fenomena pop.

Menyusul selepas T Rex adalah kumpulan muzik terkemuka lain seperti Slade dan Roxy Music, tidak dilupakan persona Ziggy Stardust oleh David Bowie, yang bertanggungjawab membawa pengaruh glam rock serta popularitinya di Amerika Syarikat.

Pengaruh itu juga membawa kepada kehadiran artis Amerika seperti Lou Reed, Iggy Pop, New York Dolls, Jobriath dan Alice Cooper yang turut membawakan genre glam atau gaya muzk dengan pengaruh glam.

Glam sendiri sebenarnya adalah kombinasi pelbagai gaya muzik yang cukup nostalgia, termasuk seni visual dan muzik, bermula dari Hollywood glamor sekitar 1930-an sehinggalah 1950-an. Glam juga cukup dikenali kerana kekaburan seksual, jantina dan androgini serta penggunaan elemen teaterikal.

Sepanjang era populariti glam rock, semakin banyak persembahan seperti Elton John, Slade, Gary Glitter dan Alvin Stardust menggunakan pendekatan yang lebih galak dan seksual pada gaya glam. Penghibur sebelum ini yang lebih terkenal seperti The Rolling Stones dan Lou Reed juga pernah mengubah semula gaya mereka kepada fesyen glam, dan ia ternyata berjaya (termasuk hit single terkemuka Reed berjudul Walk On The Wild Side).

Bagaimanapun, kejayaan glam rock di Amerika agak sederhana namun masih popular, di mana artis seperti T Rex dan Roxy Music hanya menikmati kejayaan yang bersifat sementara berbanding kerjayaan yang diukir di United Kingdom.

Begitupun, glam terus hidup dan mempengaruhi banyak genre lain seperti punk, new wave, goth, jangle pop, college rock dan grunge, dengan barisan artis seperti Siouxsie Sioux, Johnny Rotten, Billy Corgan, Peter Murphy dan Adam Ant di mana artis glam dikatakan menjadi pengaruh utama.

IMG03ggrbt.jpg
 
Tarian gelek amat eksotik

Tarian gelek adalah nama Melayu yang diberikan untuk sejenis tarian Arab yang diperkenalkan di Asia Barat. Di Eropah, ia kadang-kadang digelar tarian oriental. Dalam bahasa Turki pula ia dirujuk sebagai oryantal dans atau Tarian Timur. Sesetengah pemuja tarian ini di Amerika merujuknya sebagai Tarian Timur Tengah manakala di Hong Kong, ia dikenali sebagai shimpoli carmi (Tarian Matahari).

Dalam bahasa Arab, ia dikenali sebagai raqs sharqi (tarian timur) atau kadangkala raqs baladi (tarian kebangsaan atau rakyat). Istilah raqs sharqi juga dipercayai berkemungkinan berasal dari Mesir. Bentuk persembahan tarian ini digelar di Barat sebagai tarian gelek berasaskan pada satu tarian masyarakat tertua dalam sejarah dunia iaitu asli Afrika Utara, Asia dan Asia Barat. Kebanyakan teori ini disokong dan berakar dari kemiripan antara karya seni Mesir purba dan tarian moden.

Di Palestin dan Iraq, tarian masyarakat ini digelar raks baladi, dipersembahkan semua lapisan usia dan jantina sewaktu majlis perayaan, seperti perkahwinan dan pesta untuk tujuan bersuka ria. Versi tarian raks sharqi seolah-olah berteater, dipersembahkan penari lelaki dan wanita adalah yang termasyhur di Amerika pada masa kini.

Di tanah kelahiran tarian cukup eksotik ini, ia dipelajari sejak dari kecil lagi. Seperti dengan banyak tarian masyarakat lain, ia dipelajari melalui pemerhatian dan gaya penari yang lebih berpengalaman sewaktu perayaan keluarga dan masyarakat, dan juga ketika berkumpul dengan sahabat handai.

Asal usul bentuk tarian ini didebatkan secara aktif di kalangan peminat dan pengikutnya, terutama melalui kajian akademik yang memfokus pada topik ini. Kebanyakan penyelidikan dalam bidang ini dilakukan penari yang cuba untuk memahami asal usul tarian mereka. Memandangkan tarian ini sering diperlihatkan penari di kelab malam profesional, ia membawa salah faham pada keseleruhannya sifat sebenar tarian itu..

Sesetengah teori menyatakan bentuk tarian ini adalah berasal dari Greece, Mesir, Rom, Banjara di Rajasthan, Barat Laut India dan Uzbekistan.

Penari tarian ini biasanya mengenakan fitted top atau bra (biasanya dengan juraian manik atau duit syiling), tali pinggang fitted hip (juga dengan juraian manik atau duit syiling), penutup kaki seperti seluar atau kain. Pada 1940-an, Raja Farouk dari Mesir menugaskan Rusia Ivanova seorang guru tarian ballet untuk mengajar anak perempuannya. Dialah orang pertama yang mengajar penari hebat Samia Gamal untuk menggunakan tudung bagi memperbaiki gaya dan aksi lengannya.

IMG03tgae.jpg
 
Tarian Limbai kebanggaan suku Bajau

Tarian Limbai adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai digerakkan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik saja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di depan pengantin.

Ia adalah upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab kabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari melambaikan selendang mereka sebagai simbol mengundang dan mengucapkan selamat datang.

Limbai ialah tarian suku kaum Bajau yang menetap di daerah Kota Belud di bahagian pantai Barat Sabah. Ia juga sering dipersembahkan pada majlis keramaian tertentu dalam masyarakat berkenaan. Tarian ini dipersembahkan tiga hingga empat pasangan penari dan bercirikan gerakan lenggokan tangan penari yang lemah-lembut.

Ada muzik wajib yang mengiringi persembahan Limbai ialah Tetawak. Tetawak turut dimainkan dalam persembahan muzik tradisional Wayang Kulit, Mak Yong, Dikir Barat. Ia turut mengiringi tarian Sumazau, Tingkad Tingkad Silat, persandingan dan beberapa lagi adat tradisional tertentu di Sabah.

IMG03tlksb.jpg
 
Last edited:
Ulek Mayang tiada lagi unsur khurafat

Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu.

Ini adalah persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.

Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.

Koreografer Badan Kesenian Muzium Terengganu, Mohd Nazri Ismail, menjelaskan olahan termasuk gerak tari dan susunan muzik dilakukan bagi memberi nafas baru selaras dengan perkembangan zaman dan penerimaan masyarakat ketika ini.

Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.

Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.

Doa dan 'bangkitan' dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.

IMG03umtluk.jpg
 
Back
Top
Log in Register