BTC USD 81,667.8 Gold USD 4,026.22
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan

Bunyi sompoton merdu, harmoni

Sompoton atau Sumpoton adalah sejenis alat muzik tempatan di Sabah. Ia diperbuat daripada labu air yang dikeringkan. Lapan batang buluh kecil disusun dalam dua lapisan dan dimasukkan ke bahagaian buah labu berkenaan dengan menebuk. Gam kelulut digunakan untuk melekatkan batang buluh terbabit, selain untuk menahan angin daripada keluar melalui celah buluh apabila tiupan dilakukan.

Satu daripada buluh ini tidak berfungsi hanya untuk memperseimbangkan kedudukan bentuk alat itu. Beberapa kepingan kecil plat buluh diletakkan pada dasar tiap-tiap tepian buluh untuk menghasilkan bunyi mengikut kod muzik yang telah ditentukan.

Dengan meniup atau menyedut mulut labu, pemain sompoton boleh menghasilkan satu bunyian harmoni yang merdu.

Beberapa kepingan kecil polod (seperti dalam Bungkau) diletakkan pada dasar tiap tepian paip yang berbunyi. Paip itu dimasukkan ke dalam lubang pada sisi labu kemudian ditampal dengan lilin lebah. Kepingan kecil polod diletakkan dalam labu dan menambah salun alat yang baru disiapkan.

Paip buluh diikatkan bersama dengan rotan yang diraut nipis. Untuk memainkan sompoton, seseorang pemain menutup dan membuka tiga daripada empat paip terpendek pada hujungnya dengan tiga jari tangan kanan dan tiga lubang kecil pada dasar paip terpendek serta hadapan dan belakang paip yang lebih panjang dengan jari tangan kiri.

IMG03bsmh01.jpg


Pemain boleh meniup atau menyedut mulut labu dengan menutup dan membuka tiga daripa empat buluh terpendek pada hujungnya dengan tiga jari tangan kanan dan tiga lubang kecil pada dasar buluh terpendek serta hadapan dan belakang paip yang lebih panjang dengan jari tangan kiri. Ia akan mengeluarkan nada bergetar dan menghasilkan satu bunyian harmoni yang merdu.

Sompoton ini boleh dimainkan secara perseorangan untuk hiburan persendirian atau dalam kumpulan untuk mengiringi tarian. Alat muzik ini cukup popular di kalangan suku kaum Kadazan dusun.

IMG03bsmh02.jpg
 
Dondang Sayang hiburan spontan

Dondang Sayang mengikut kamus ensiklopedia Wikipedia tumbuh di Melaka sejak kurun ke 16. Ia dipercayai dipengaruhi muzik tradisional masyarakat Portugis yang pernah menjajah bumi Hang Tuah itu. Ia adalah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu bersama sub-etnik Baba dan Nyonya, berbalas pantun secara spontan (puisi), dalam gaya santai dan kadangkala melucukan.

Penyanyi biasanya diiringi alat muzik seperti violin, dua rebana dan tetawak (sejenis gong). Instrumen ini juga boleh dibantu beberapa lagi alat muzik lain terutama akordian, seruling atau biola tradisional. Antara tokoh Dondang Sayang di Melaka ialah Itam Ahmad dari Paya Rumput, dikenali sebagai antara pemantun atau penyanyi lama Dondang Sayang yang begitu aktif. Selain Itam, Nyah ****** yang berasal dari Durian Tunggal juga adalah pemantun dan penyanyi perempuan yang cukup dikagumi.

Zaiton Haji Hamzah dari Duyong dan Bachik Bakar dari Pangkalan Rama Tengah pula dianggap sebagai angkatan baru yang dicungkil bakat mereka melalui pertandingan Pesta Dendang Rakyat anjuran RTM Melaka. Pada peringkat awal, Dondang Sayang dilagukan oleh ibu di desa untuk menidurkan anak dalam buaian. Cara melagukannya ada kaedah - ratib mengesakan Allah dan pujian kepada Nabi Muhammad saw, keduanya menyanyi sama ada dengan senikata lagu lengkap mahupun dengan rangkaian bunyi saja tetapi dalam bentuk lagu.

Dondang Sayang juga sering dilagukan orang tua ketika bersendirian sama ada selepas penat bekerja mahupun sambil duduk melayan perasaan dan mengenang masa remaja. Mereka bersiul kecil atau bernyanyi kecil mengalunkan lagu. Biasanya di rumah, mereka akan bersiul nyanyi di hujung sengkuap, di depan tangga atau anjung rumah sambil bersenang-senang. Ada juga melakukannya di ruang tengah rumah sambil meraut rotan untuk mencucuk atap. Perlakuan itu dilakukan spontan apabila ada masa terluang selepas penat menjalankan pekerjaan.

Dondang Sayang sering juga dilagukan di hujung kebun atau di permatang sawah atau di tambatan perahu sambil membelai perahu untuk persiapan turun ke laut, mahupun ketika melepaskan lelah sambil mengasah pisau getah sementara menanti susu getah habis menitik untuk dipungut.

Era 1950-an adalah zaman peralihan bagi Dondang Sayang. Seni tradisi ini makin diminati ramai. Dondang Sayang mula mendapat tempat lebih meluas apabila ia disiarkan menerusi radio, sejak tertubuhnya Jabatan Penyiaran yang dikenali sebagai Radio Malaya ketika itu.

Selain itu, Dondang Sayang juga mula dimainkan di pentas bangsawan dan joget. Dari sinilah Dondang Sayang mula mengalami perubahan apabila rentak asli dipadankan dengan rentak muzik moden dari Barat. Maka, lahirlah rentak Dondang Sayang Mambo. Ramai penyanyi-pemantun Dondang Sayang dilahirkan dari pentas bangsawan, antaranya S M Salim (Tan Sri) dan Normah Salim. Dondang Sayang juga dimainkan pada majlis tertentu seperti majlis kenduri kahwin dan di pentas Malam Aneka Warna.

Penghujung era 1950-an Dondang Sayang maju setapak lagi apabila mula dipertandingkan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sempena majlis sambutan tertentu seperti perayaan hari ulang kemerdekaan negara.

IMG03dshs.jpg
 
Wayang kulit wujud 300 tahun lalu

Persembahan wayang kulit mula tersebar meluas di Jawa dan Bali Indonesia, manakala di Malaysia ia cukup meluas di Kelantan dan Terengganu dan kini menjadi salah satu seni persembahan warisan Malaysia.

Rupa bentuk patung sendiri berbeza mengikut tempat. Di Jawa Tengah iaitu kota Surakata (Solo) biasanya cukup terkenal dengan gaya patung yang mengajuk. Gaya patung yang mengikut wilayah ditemui di Jawa Barat, Banyumas, Cirebon, Semarang dan Jawa Timur. Bali menghasilkan bentuk patung wayang kulit yang lebih padat dan semulajadi, manakala Lombok pula menampilkan bentuk objek dan manusia sebenar.

Antaranya basikal, kenderaan, kapal terbang dan kapal turut diselitkan untuk memberikan kesan humor, bagaimanapun secara keseluruhannya bentuk asas patung wayang kulit sebenarnya tidak banyak berubah sejak 300 tahun dulu.

Mengikut sejarah, persembahan wayang kulit membabitkan barisan pelakon yang diwakili bayang-bayang yang dipaparkan pada kain kapas yang direntangkan dengan disinari lampu minyak tanah. Hari ini sumber cahaya yang digunakan dalam persembahan di Jawa kebanyakan menggunakan lampu elektrik halogen. Beberapa bentuk wayang kulit yang lebih moden pula seperti Wayang Sandosa yang diperkenalkan di Akademi Seni Surakarta (STSI) menggunakan lampu limpah, lampu berwarna dan pelbagai inovasi lain.

Kulit binatang digunakan sebagai binaan kulit pada patung yang dipahat dengan begitu halus dan teliti menggunakan peralatan khusus dan terbaik. Patung ini disokong oleh pemegang berbentuk tanduk dan batang besi sebagai pengendali.

Ceritanya selalunya berdasarkan kisah Ramayana, Mahabharata atau Serat Menak. Pulau Lombok misalnya, berjaya membentuk gaya dan identiti Serat Menak yang tersendiri di mana ia dipanggil Wayang Sasak.

Terdapat juga sekumpulan karakter yang punya pertalian dalam Wayang Jawa yang dipanggil Punakawan; kadangkala ia dipanggil 'badut - orang suruhan raja' memandangkan karakter ini sering dikaitkan dengan watak hero selain menjadi elemen lucu dan watak selingan yang bersifat falsafah.

Watak Semar pula adalah bapa kepada Gareng (anak lelaki sulung), Petruk dan Bagong (anak bongsu). Semua karakter ini bukan berasal dari epik Hindu, sebaliknya wujud selepas itu, berkemungkinan bagi menyelitkan aspek mistikal Islam ke dalam cerita berunsur Hindu-Jawa. Ia juga menceduk pergolakan politik dari segi bagaimana menghadapi khabar angin dan isu kontemporari.

Di Kelantan, antara Tok Dalang yang terkenal dan masih bergiat aktif ialah Tok Dalang Nik Mat Suara Emas.

IMG03wkw300tl.jpg
 
Asal usul koir misteri

Koir, chorale atau chorus mengikut kamus ensiklopedia Wikipedia, adalah kesatuan sekumpulan penyanyi. Selain itu sekumpulan penyanyi yang membuat persembahan bersama juga dipanggil choir atau chorus.

Asalnya tidak pasti tetapi istilah lama ini biasanya lebih cenderung dikaitkan dengan sekumpulan persembahan ahli gabungan gereja (tidak semestinya ahli koir itu). Bercakap mengenai struktur koir, ia biasanya diketuai oleh choirmaster. Pada kebanyakan masa, koir mengandungi empat seksyen yang disasarkan untuk menyanyi dalam empat bahagian harmoni. Bagaimanapun, tiada had dikenakan ke atas jumlah bahagaian itu selagi ada penyanyi yang boleh menyanyikan bahagian itu.

Thomas Tallis pernah menulis , motet 40-bahagian berjudul Spem in Alium, untuk lapan koir yang mempunyai lima bahagian setiap satu; Krzysztof Penderecki (Stabat Meter) adalah untuk tiga koir dengan 16 suara setiap satu, jumlah keseluruhan 48 bahagian. Selain empat bahagian, jumlah bahagian yang biasa dalam koir ialah tiga, lima, enam dan lapan.

The Russian Patriarchal Choir, adalah kumpulan koir lelaki yang menyanyi secara acapella. Kumpulan koir boleh dipersembahkan dengan atau tanpa iringan instrumen muzik. Nyanyian tanpa iringan instrumen dipanggil nyanyian acapella.

Instrumen iringan secara praktikalnya boleh mengandungi sebarang instrumen, daripada satu hinggalah kepada orkestra penuh; untuk raptai iringan piano atau organ sering digunakan walaupun pada awalnya instrumen lain sepatutnya dirancang untuk digunakan, atau untuk tujuan raptai muzika acapella.

Koir boleh dikategorikan menerusi variasi suara. Koir campuran (contoh suara lelaki dan perempuan). Ini adalah jenis paling biasa kita dengar. Ia biasanya mengandungi soprano, alto, tenor dan bass, malah turut dikenali dengan singkatan SATB. Koir lelaki, dengan pendekatan suara SATB sama seperti campuran, cuma lelaki menyanyi bahagan lebih tinggi (sering dipanggil treble atau boy soprano) dan penyanyi lelaki di bahagian alto (dalam nada falsetto), juga dikenali sebagai countertenor. Format ini biasa diamalkan terutama di British cathedral choir.

Koir wanita, biasanya mengandungi vokal soprano dan alto, dua bahagian untuk setiap jenis vokal nama singkatannya SSAA. Koir lelaki pula biasanya mengandungi dua tenor, baritone dan bass, sering dipanggil dengan singkatan TTBB. Dalam keadaan tertentu, koir lelaki akan mengandungi Basso Profondo, iaitu vokal lelaki dengan laras nada terendah. Koir kanak-kanak pula, sering terbahagi dua iaitu SA atau tiga bahagian SSA, atau kadangkala lebih.

IMG03aukm.jpg
 
Fungsi album runut bunyi

dalam format filem, soundtrack atau runut bunyi adalah sebahagian fizikal dalam sesebuah produk yang merakamkan bunyi serentak. Mengikut terminologi industri perfileman, soundtrack atau track adalah rakaman audio dihasilkan atau digunakan dalam penerbitan filem atau proses pasca produksi.

Biasanya, dialog, kesan bunyi dan muzik dalam filem masing-masing punya trek berbeza (trek dialog, trek kesan khas dan trek muzik) dan semua ini digandingkan bersama untuk mewujudkan trek komposit yang kita dengar dalam filem. Trek alih sunting akan disediakan selepas filem dialih suara ke bahasa lain.

Singkatan perkataan soundtrack, mula digunakan dengan kemunculan trend 'album soundtrack' sekitar awal 1950-an. Mula digunakan syarikat perfileman sebagai satu cara gimik promosi filem baru, rakaman lagu yang kemudian dikomersialkan, kemudian dilabel dan diiklankan sebagai music from the original motion picture soundtrack. Frasa ini kemudian dipendekkan lagi menjadi original motion picture soundtrack. Lebih tepat lagi, rakaman begini dibuat daripada trek muzik filem kerana ia biasanya mengandungi muzik terasing dari filem, bukan bunyi trek komposit yang terkandung dialog dan kesan bunyi.

Sehingga kini kehadiran soundtrack menandakan tiga perkara iaitu (1) rakaman bunyi yang mengiringi medium visual seperti wayang gambar, program tv atau permainan video; (2) hanya muzik saja, dan (3) genre muzik (muzik soundtrack atau soundtrack).

Singkatan original soundtrack (OST) sering digunakan untuk menggambarkan soundtrack muzikal yang menggunakan medium rakaman seperti CD, bagaimanapun, ia kadangkala digunakan untuk membezakan antara muzik original yang didengar dan rakam semula atau muzik saduran.

Tema soundtrack kini biasa dirujuk sebagai muzik yang digunakan dalam filem (atau program tv) atau dalam album yang sudah dipasarkan yang mana muzik itu digunakan. Adakalanya muzik yang sudah dirakam khusus untuk filem atau album seperti Saturday Night Fever.

Pada 1908, Camille Saint-Saens merakamkan muzik pertama khusus untuk penggunaan dalam filem (L'assainat du duc de Guise) dan penjualan rakaman lagu digunakan dalam filem mula mendapat tempat pada 1930-an. Henry Mancini, yang memenangi Emmy Awards dan dua hadiah Grammy untuk soundtrack Peter Gunn, adalah komposer pertama yang dijulang namanya kerana komposisi lagu menerusi soundtrack.

IMG03farb.jpg
 
Asal dikir barat masih dipertikai

Dikir barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian. Asal usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, namun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.

Dalam lingkungan masyarakat petani, dikir barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai. Kini, persembahan dikir barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan. Begitupun, pertandingan antara kumpulan dikir barat juga sering diadakan. Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia - Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan dikir barat secara aktif.

Kita memanggilnya dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi. Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia. Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.

Budaya dikir barat kemudian terus menular ke selatan, Singapura sekitar 1970-an. Pelbagai pertandingan dianjurkan badan kerajaan setiap tahun dan sambutan terhadapnya begitu baik sehingga ke hari ini, biarpun Singapura kini adalah kota metropolitan yang maju.

Sejarahnya bermula dengan tarian

Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar dikir barat di Malaysia. Menurut sumber sejarah, dikir barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil tarian Patung Inai - tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940. Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama dikir barat.

Tarian Patung Inai adalah tarian tradisional yang dipersembahkan ketika majis perkahwinan di mana seorang ketua (Tok Jogha) akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain. Muzik dikir barat pula punya pengaruh ritma rebab atau rebana Sunda. Aktiviti ini sudah menjadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungam Melayu.

Dikir barat juga ada kaitan dengan dikir laba atau lebih dikenali sebagai dikir Punjab bermaksud drama dalam bahasa Punjab (Hindustan) dan mempunyai kaitan rapat dengan Qawwali, iaitu budaya popular di kalangan orang India. Dalam dikir laba, anggotanya akan menyanyikan lagu dan cuba mengikuti rentak dengan menggerakkan badan. Mereka juga perlu menyanyi menerusi nada yang tinggi.

Tidak kira apa bentuk dikir sekalipun, Tok Jogha punya tanggungjawab besar untuk menghidupkan lagu yang dipersembahkan itu. Pada 1948, Pak Leh Tapang mengubah cara tarian Patung Inai iaitu dimainkan dengan mengadaptasi beberapa elemen dari dikir laba dan dikir Punjab.

Perkataan barat diambil dari gelaran yang diberikan orang Kelantan kepada masyarakat Siam. Ada juga pihak memnbawa teori bahawa perkataan barat datang dari perkataan 'Bharat', nama lama kepada benua kecil India. Ia juga boleh dikira logik memandangkan pengaruh dari konteks dikir Punjab.

Fungsi Tukang Karut


Elemen asas dalam kumpulan dikir barat adalah dua teraju utamanya, iaitu Juara dan Tukang Karut. Anggota kumpulan dikir barat tidak terhad kepada jumlah tertentu. Di Singapura, ketika berlangsungnya pertandingan, siaz standard kumpulan ialah dua teraju utama - 14 awak-awak dan empat pemain muzik percussion.

Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut. Tidak seperti Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang Karut yang bijak memberikan persembahan menghiburkan sebagai berkesan fungsinya sebagai penghibur. Juara pula biasanya adalah penyanyi yang memiliki suara cukup mendayu.

Awak-awak biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama. Pemuzik percussion pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

Ibu rebana, adalah percussion paling penting. Anak rebana pula berfungsi sebagai penyokong kepada ibu rebana dan lebih kecil dari segi saiz namun memiliki nada lebih tinggi. Gong dan canang pula memperkemaskan lagi tempo. Canang adalah gong tradisional Melayu bersaiz kecil yang diletakkan di atas lantai. Maracas dan trambouline pula biasanya digunakan untuk kesan bunyi tambahan kepada muzik itu. Trambouline biasanya dimainkan seorang teraju utama ketika anggota lain menyanyi.

Dikir barat, di Kelantan dipercayai dipelopori Pak Leh Tapang, diikuti Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Jusoh Kelong, Daud Bukit Abal, Arifin Ana. Kemudian generasi baru terdiri daripada penyanyi dikir seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, Mat Gelemor dan Megat Nordin.

IMG03adbmdp.jpg
 
Erti sebenar diva

Kita sering menggunakan perkataan 'diva' tetapi tidak tahu dalam konteks apa sebenarnya ia digunakan. Menurut Wikipedia, diva ialah gelaran atau panggilan untuk penyanyi opera wanita seperti primadona Renata Tebaldi, Joan Sutherland, Leontyne Price, Maria Callas dan Kiri te Kanawa.

Bagaimanapun, istilah itu kini juga digunakan untuk merujuk prestasi hebat seorang penghibur wanita yang popular (yang tiada kena mengena dengan dunia nyanyian opera) seperti Whitney Houston, Madonna, Patti Labelle, Cher, Mariah Carey, Diana Ross, Celine Dion dan Aretha Franklin, yang sering dirujuk dan digelar diva atas kejayaan dan bakat luar biasa mereka.

Istilah ini juga cukup kuat diamalkan di kalangan gay yang meminati budaya pop di mana penyanyi wanita seperti Kathy Griffin, Joy Behar dan Joan Rivers bagi mereka adalah diva. Istilah ini asalnya digunakan untuk menggambarkan wanita yang dikurniakan bakat luar biasa dan sukar dicari. Ia berasal daripada perkataan Itali iaitu divina atau divine dalam bahasa Inggeris (bentuk fiminin), selain dikatakan juga dari perkataan Latin yang menggambarkan bentuk atau susuk feminin iaitu divus/diva, maknanya 'divine one'.

Seperti yang kita semua sedar, istilah ini juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang mempunyai konotasi negatif. Ia diambil dari implikasi yang mana seseorang bintang diva adalah seorang bongkak, sukar bekerjasama, penyelenggaraan diri yang tinggi, suka memanipulasi, cerewet dan terlalu mendesak. Pelakon profesional sering menggunakan istilah ini untuk menjelaskan seseorang yang mahu mencuri tumpuan lebih daripada pelakon lain.

Satu lagi konotasi negatif yang tidak begitu penting ialah seseorang yang hidupnya didasarkan kepada dunia fantasi, menginginkan perhatian yang sering diberikan kepada selebriti dan bintang pop dengan memikirkan inilah realiti kehidupan yang sebenar-benarnya. Orang begini cuba untuk menjalani kehidupan seperti fashonista popular dan selebriti bintang pop untuk cuba lari dan sembunyi dari kehidupan normal yang membosankan.

Istilah 'primadona' juga semakin kerap digunakan kerana implikasi dan kesannya juga mendekati maksud negatif. Sementara itu dalam gelanggang gusti professional istilah diva juga sering digunakan oleh World Wrestling Entertainment untuk menggambarkan peserta wanitanya.

Dalam senario industri seni hiburan tanah air, kita sering mendengar gelaran diva pop yang ditujukan kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, diva soprano (Ning Baizura), diva jazz (Sheila Majid) dan juga diva Anita Sarawak. Namun, hakikatnya penggunaan perkataan diva masih lagi dipertikaikan dan tidak diiktiraf sepenuhnya.

IMG03esd.jpg
 
Mek Mulong kaya nilai kelembutan

Mengikut huraian yang dipetik daripada
http://butaseni.blogspot.com, persembahan Mek Mulong asalnya dipersembahkan dalam bangsal terbuka, tidak berlantai, tidak berdinding dan hanya terdiri daripada tiang, bumbung dan para di mana pemain duduk dan dikelilingi penonton. Para pula mestilah menghadap ke timur iaitu arah matahari terbit. Peralatan 'jamu' diletakkan di atas para manakala tikar dihampar di tengah-tengah bangsal sebagai lapik tempat duduk.


Upacara buka panggung adalah sesuatu yang wajib sebelum persembahan dimulakan bertujuan menghindari gangguan. Bahan untuk jamuan adalah sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa. Sirih jampi diserahkan kepada pemain untuk di makan, terutama puteri. Kemenyan digunakan untuk mengasap semua alat muzik sementara minyak kelapa disapukan pada gendang dan setelah disapu, alat-alat ini tidak boleh dilangkahi.

Upacara ini dilakukan setiap kali mengadakan persembahan bagi menjamu dan meminta izin daripada semangat yang wujud di sekeliling.

Satu lagi upacara yang wajib diadakan sebelum persembahan ialah sembah guru. Acara ini lebih besar daripada acara buka panggung dan ia di adakan sekali dalam setahun dengan mengadakan kenduri dan seekor kambing disembelih jika tidak, dipercayai pemain akan ditimpa bencana terutama ketua kumpulan. Kemudian barulah persembahan dimulakan. Biasanya persembahan diadakan sedikit saja pada malam pertama dan disambung malam berikutnya lalu ditamatkan pada malam ketiga.

Pada malam terakhir inilah segala ramuan untuk persembahan kepada kuasa ghaib disajikan dan terdapat ahli kumpulan yang 'melupa' (menurun). Barisan pelakon Mek Mulong terdiri daripada lelaki yang memakai pakaian perempuan. Watak utama raja disebut Pak Mulong manakala Mek Mulong adalah nama gelaran si puteri. Watak Awang pengasuh sebagai bomoh. Musuh Pak Mulong ialah Gergasi dan raja dari negeri lain yang iri hati.

Persembahan Mek Mulong diiringi ahli-ahli muzik yang turut menyanyi sebagai suara latar. Alat muzik yang digunakan adalah serunai, gong, cerek, semborong, Ibu serta Anak semborong. Pemuzik juga akan menyahut seruan yang diucapkan oleh pelakon dan jika tidak disambut atau dijawab oleh pemain lain, maka persembahan itu akan 'mati maklat'. Ia bermaksud persembahan itu tidak dapat diteruskan kerana 'terganggu' oleh hantu dan jin.

Persembahan dimulakan dengan lagu pengenalan yang disebut 'bertabuh'. Bertabuh dimainkan selama lima hingga sepuluh minit bertujuan sebagai pemanas badan supaya mereka bermain dengan baik. Kemudian barulah tarian dimulakan dengan penari memulakan tarian ketika duduk di lantai dengan cara membuka sembah. Tujuh jenis tarian dipersembahkan iaitu tarian sembah, tarian gembang, tarian puteri mabuk, tarian menora, tarian sirama, tarian putri masuk bilik air dan tarian sedayung.

Selepas tamat satu babak, pencerita akan memulakan hikayatnya. Peranan pencerita dilakukan oleh Pak Mulong. Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana dalam cerita akan dilakukan dengan cara menyanyi beramai-ramai dan disertai oleh pantun.

Beginilah persediaan, proses dan persembahan teater tradisional Mek Mulong yang kaya dengan nilai kelembutan, keunikan dan tidak ketinggalan juga unsur mistik yang sangat menarik untuk ditonton dan dihayati.

IMG03mmknk.jpg
 
Cerita bangsawan perintis drama moden

Dari segi latar belakang sejarah, bangsawan adalah perintis kepada persembahan drama moden. Namun, ia tidak membabitkan penggunaan skrip berbanding drama moden kini. Penggiatnya menghafal dialog penting sebagai jalan cerita diikuti dengan dialog lain secara spontan semasa beraksi di pentas.

Cerita bangsawan berkisar kepada kisah raja-raja yang membabitkan alam kayangan dan nyata. Watak terdiri daripada pahlawan, putera, puteri yang kacak dan cantik, hamba, jin dan raksasa.

Persembahan bangsawan membabitkan penggunaan panggung, teknik lampu mengikut cara Barat dan menggunakan set saiklorama. Biasanya tirai-tirainya mengandungi tiga hingga tujuh set yang berbeza. Antaranya tirai istana, hutan, laut, awan kampung, gua dan kosong. Terdapat juga set kadbod yang dilukis mengikut jalan cerita yang boleh disorong-tarik.

Seni persembahan bangsawan juga dicirikan melalui teknik extra-turn yang berfungsi sebagai penukar babak supaya pelakon boleh bersedia. Lazimnya dipenuhi dengan segmen nyanyian. Oleh kerana bangsawan memberi pengajaran, tirai dan kadbodnya berfungsi sebagai penarik emosi kepada penonton.

Menurut artikel dari www.caudanmuzik.com, wayang bangsawan bukanlah sesuatu yang baru di Eropah mahupun di tanah besar China atau Jepun. Tamadun ini lebih dulu menyusun organisasi masyarakat sekali gus mengangkat aktivis dan sosial membudayakan aliran dan fahaman ideologi. Sungguhpun kita tidak punya Shakespeare, Sophocles, Moliere atau Goethe, sebagai pengarang sandiwara wayang klasikal yang agung, namun kita memiliki darah dan susur sejarah seumpamanya.

Sementara orang kita masih di ladang, sawah dan lombong menunggu hasil menanti musim pesta atau kalendar perayaaan, berlabuh kapal asing membawa perutusan gembira di Pulau Pinang. Sesudah itu, malam tidak sunyi dengan pertembungan manusia, malam minggu semakin panjang.

Dari segenap sisi, wayang bangsawan ditunjangi oleh tuan pemilik wayang, pengarang cerita, anak-anak wayang (penyanyi, pelakon, pak lawak, penari, pemain alat muzik), pelukis latar dan kuli kasar yang akan menyelenggarakan pentas atau di balik tabir yang dikira paling rendah kedudukannya dalam hiraki wayang bangsawan (sebaliknya hari ini, buruh inilah aset terbesar syarikat wayang).

Mereka membawakan lakonan berbentuk dongeng rakyat, khayalan, atau ketuhanan yang punya moral dan pengajaran. Di bahagian bunyi-bunyian, harmonium daripada kaki atau tangan, satu tabla, satu dol dan satu biola digunakan. Pakaian anak wayang bersulam dan bertekat mahal. Kalau perhiasannya pula, intan dan emas tulen dipakaikan untuk lakonan.

Nama-nama seperti Mama Pushi (1885), Wayang Kasim-Bangsawan Zanibar (1902), Yap Chow Tong Opera (1903), Malaya Opera (1914), Peninsula Opera (1923) dan Dean Union Opera wujud tidak berapa lama selepas Tun Mamat Mashor semakin mendapat tempat.

Dikhabarkan Wayang Mama Pushi, Wayang Kasim dan Peninsula Opera antara wayang yang digilai suatu masa dahulu.

IMG03cbpdm.jpg
 
Karya muzik Baroque

Muzik Baroque menjelaskan satu era dan set gaya muzik klasikal Eropah yang begitu digemari ramai dan tersebar meluas ke seluruh dunia sekitar tahun 1600 dan 1750. Khabarnya, era ini adalah permulaan zaman kebangkitan Renaissance dan ia disusuli dengan era muzik klasikal.

Maksud sebenar perkataan 'Baroque' adalah 'mutiara yang tidak sekata' yang pada awalnya lebih cenderung menggambarkan keadaan seni binaan era itu. Bagaimanapun, kemudian nama itu turut digunakan untuk muzik.

Muzik Baroque membentuk satu bahagian yang penting dalam perkembangan muzik klasikal memandangkan ia menjadi perhatian untuk tujuan ilmiah, persembahan dan hiburan halwa telinga. Ia sering dikaitkan dengan komposer terkemuka seperti Claudio Monteverdi, Antonio Vivaldi, George Frideric Handel dan Johann Sebastian Bach.

Tempoh era Baroque turut memperlihatkan perkembangan tangga nada diatonik. Ketika itu komposer dan penghibur lebih banyak menggunakan muzik hiasan yang lebih teliti dan kompleks, membuat perubahan pada notasi muzik dan membanggunakan teknik permainan instrumental yang baru.

Muzik Baroque secara tidak langsung berjaya memperkembangkan saiz, julat dan betapa kompleks sesebuah persembahan instrumental, selain turut memperkenalkan opera sebagai satu genre muzik. Kebanyakan terma dan konsep yang berasal dari era ini masih digunakan sehingga sekarang.

Muzik konvensional yang diterjemahkan sebagai Baroque melangkaui julat gaya yang lebih besar berikutan kawasan geografi luas, kebanyakannya di Eropah di mana karya yang dihasilkan berusia kira-kira 150 tahun.

Aplikasi penggunaan terma Baroque, yang mengikut terjemahannya bermaksud bentuk mutiara tidak sekata, secara relatifnya pada masa itu dianggap pembangunan paling terkini, ia mula digunakan oleh Curt Sachs pada 1919 dan hanya mula tersebar luas di tanah Inggeris sekitar 1940an.

IMG03kmb.jpg
 
Back
Top
Log in Register