BTC USD 82,816.2 Gold USD 4,091.73
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan

Screamo subgenre muzik rock

Screamo adalah subgenre kepada muzik rock yang melalui proses evolusi daripada muzik hardcore punk dan emo pada awal 1990-an. Istilah Screamo pada awalnya digunakan untuk cabang muzik emo yang lebih agresif dan mula berkembang di San Diego pada 1991. Muzik begini biasanya menggunakan tempo pendek dan kedengaran agak huru-hara dan sumbang namun dinamik. Mesej cuba disampaikan pula biasanya ada kena mengena dengan politik.

Alat muzik yang biasanya digunakan ialah dram, bass, gitar dan vokal.

Sesetengah kumpulan lain lebih keras lagi pendekatannya sehingga boleh dikaitkan dengan noise rock dan gaya grindcore. Begitupun pada awal 2000, nama genre itu mula diterjemahkan dalam nada lebih perlahan dan gaya kurang sumbang selepas meminjam elemen muzik alternatif rock. Perubahan itu dilihat paling ketara sejak ia digunakan cukup meluas dalam artikel terbitan New York Times sekitar 2003.

Terjemahan berubah selepas dilanda pengaruh gelombang kedua itu dianggap cukup kontroversi oleh pengamal peminat gaya Screamo asal. Ada sesetengah pemuzik melihat pemahaman pengikut muzik terhadap terjemahan itu semakin banyak cacat celanya terutama di Amerika Syarikat.

Ketika gelombang pertama melanda San Diego pada 1991, Screamo sering diperdengarkan di Che Cafe menerusi kumpulan Heroin, Antioch Arrow, Angel Hair, Mohinder Swing Kids dan Potraits of Past. Kumpulan muzik ini rata-rata dipengaruhi hardcore (seperti National of Ulysses dan Fugazi), Straight Edge dan kumpulan post punk seperti Joy Division dan Bauhaus.

Kumpulan muzik Screamo semakin berubah ke arah teatrikal dan disesuaikan dengan aspek yang wujud dalam gothic rock dan synthpop seperti dibawakan kumpulan VSS, Pleasure Forever, the Crimson Curse, The Locust dan The Rapture. Sementara itu kumpulan seperti The Plot to Blow the Eiffel Tower menggabungkan gaya punk dan jazz. Apapun sama seperti muzik emo, istilah Screamo masih dianggap kontroversi dalam gelanggangnya sendiri.

Gaya muzk Screamo asal masih lagi kedengaran dan dimainkan banyak kumpulan muzik terutama di Eropah. Amanda Woodward, Louise Cyphere, La Quiete dan Raein antara contoh paling menonojol dalam gelanggang muzik Eropah. Kumpulan muzik ini biasanya menerbitkan album mereka sendiri ataupun menerusi label bebas. Biarpun, senario muzik screamo kontemporari bersifat "do it yourself" (DIY), ia tersebar meluas di Eropah, masih banyak lagi kumpulan yang aktif di Amerika. Antaranya, Comadre dari Redwood, Off Minor (bekas Saetia) dari New York dan Who Calls So Loud (bekas Funeral Diner) dari San Francisco dan Tentacle's a Flower dari Texas.

IMG03ssmr.jpg
 
Tarian Ngajat penyeri Gawai

Tarian Ngajat sangat popular di kalangan orang Iban di Sarawak. Ngajat bagi orang-orang Iban adalah tarian yang di tarikan ketika menyambut Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dulu ia ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.

Penari akan memakai pakaian tradisional seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung adalah sejenis baju yang tebal dan keras diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Tarian ini ditarikan dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut Hari Gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh.

Satu lagi cara dan gerak tari tarian ini ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.

Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.

Ngajat adalah antara tarian orang ulu yang begitu terkenal dewasa ini. Terdapat banyak jenis tarian Ngajat orang ulu, antaranya adalah tarian Ngajat solo, berpasangan dan Ngajat secara berama-ramai.

Sebagai sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak, tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada suatu waktu dulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang.

Pahlawan lelaki mempamerkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.

Kini persembahan tarian tradisional yang dulunya hanya dapat dinikmati ketika perayaan Gawai dan musim menuai kini sudah diperkembangkan dan dikomersialan untuk tujuan memperkukuhkan sektor pelancongan dan memperkasakan budaya.

IMG03tnpg.jpg
 
Berzanji untuk memuji Rasulullah SAW

Menurut ensiklopedia bebas, berzanji atau barzanji ialah doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad SAW yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dilantunkan ketika kelahiran, acara khatan, pernikahan dan sambutan Maulidur Rasul.

Isi berzanji bertutur mengenai kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan berturut-turut iaitu salasilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, hingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Perkataan berzanji diambil daripada nama pengarangnya iaitu Syeikh Ja'far al-Barzanji Husin Abdul Karim. Dia dilahir di Madinah pada 1690 dan meninggal dunia pada 1766. Berzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya itu sebenarnya berjudul Iqd al-Jawahir (bahasa Arab ertinya kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad, walaupun kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya.

Pembacaan berzanji pada umumnya dilakukan pada majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan. Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi (aqiqah), acara khatan, perkahwinan dan sebagainya. Di masjid dan perkampungan, biasanya jemaah duduk secara bersila. Bacaan berzanji dialunkan secara bergilir seorang demi seorang sambil disahuti jemaah lain dengan kalimah Allah.

Di Malaysia, terdapat juga adat pembacaan berzanji yang dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir untuk dicukur rambutnya dalam bulatan oleh imam dan ahli keluarga terdekat. Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi itu, kemudian diberi titisan minyak wangi. Dewasa ini, bacaan berzanji juga semakin berkurangan walaupun buku berzanji masih mudah didapati.

IMG03bumrsaw.jpg
 
Nasyid kontemporari diminati

Nasyid menurut Wikipedia Bahasa Melayu, adalah nyanyian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya.

Pada awalnya nasyid membawakan alunan bercorak padang pasir, tetapi kini kumpulan nasyid semasa membawa pelbagai rentak bercorak baru kepada pendengar. Pembaharuan ini menjadikan lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih berdaya saing dalam bidang seni.

Selalunya nasyid lebih gemar didendangkan dengan alat muzik tanpa tali, namun mengikut beberapa pendapat ulama fiqh perkara memainkan alunan nasyid dengan alat muzik bertali seperti gitar dan piano adalah dibenarkan.

Nasyid koir pula adalah gabungan alunan irama nasyid yang disebatikan bersama alunan muzik koir. Kadangkala irama alunan bercorak koir ini digantikan dengan alunan muzik berunsurkan acapella iaitu corak alunan muzik tanpa menggunakan alat muzik tetapi hanya menggunakan getaran bunyi yang keluar dari mulut.

Alunan irama nasyid koir juga dilihat kini amat diminati di kalangan penggiat seni bercorak kerohanian sehinggakan irama ini seringkali dianggap sejagat kerana kejayaannya memuatkan unsur-unsur harmoni dan kontemporari dalam penyediaannya.

Nasyid koir lebih wajar dan lebih unggul dengan kehadiran bacaan lunak ayat-ayat suci al-Quran di samping paduan bunyi vokalnya yang mantap.

Sebatian 5 bunyi asas lantunan koir juga memainkan suasana yang gemersik dan bertenaga dalam nasyid koir. Berikut adalah 5 bunyi asas tersebut:

- Bunyi base bawah 5
- Bunyi base atas 4
- Bunyi ketiga (third voice) - alto
- Bunyi harmoni bawah 2
- Bunyi harmoni atas 1 (soprano)

Pada asasnya, bagi memainkan alunan nasyid koir, penyanyi mestilah mengetahui perkara asas koir terlebih dulu seperti cara melontarkan suara dan bernafas pada cara yang betul.

Sejarah kemunculan nasyid koir dikatakan berpunca daripada sumbangan dan pengaruh alunan azan, alunan dan irama bacaan ayat suci al-Quran, rentak muzik masyarakat Asia Barat, daya kekuatan vokal insan serta daripada rentak lagu bercorak penduduk peribumi.

Nasyid koir lebih lunak didendangkan bersama penggunaan alat muzik tak bertali misalnya kompang, bongo, kerincing dan sebagainya. Namun ada pendapat ahli ulama fiqh yang membenarkan nyanyian dengan menggunakan alat muzik bertali seperti gitar, biola dan piano.

IMG03nkdm.jpg
 
Tarian Dabus berkaitan Saidina Ali

Tarian dabus adalah sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian ini berasal dari Perak dan mengandungi unsur keagamaan yang berkait rapat dengan kepahlawanan tokoh dalam sejarah Islam, Saidina Ali.

Tarian ini dipercayai mula dipersembahkan di negeri ini sejak 300 tahun lalu. Ada beberapa pendapat yang mempertikaikan kemasukan seni tari dabus ke bumi Perak. Satu pendapat mengatakan dabus dipercayai dibawa masuk terus ke Perak oleh Ahmad Mahyuddin yang berasal dari Parsi (Baghdad) sekitar 1785.

Mengikut sejarah, beliau adalah anak murid kepada guru bernama Muhammad Abil Hassan al-Rifai. Tarian ini berkembang di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Lumut dan Sungai Nipah Baroh serta Sungai Balai Baroh, Teluk Intan.

Pendapat kedua mengatakan permainan dabus sudah mula dibawa ke Indonesia melalui Pasai di Aceh sebelum dikembangkan ke Pasir Panjang, Perak oleh Nakhoda Lembang yang berguru daripada saudagar Fakir Muhammad dari India, yang juga anak murid kepada tuan guru Muhammad Abil Hassan al-Rifai.

Sementara itu, satu lagi pendapat mengatakan Ahmad Mahyuddin yang berguru dengan Muhammad Abil Hassan al-Rifai bertemu Nakhoda Lembang dari Batu Bara, Aceh yang berguru dengan Fakir Muhammad dari India pada tahun 1785, bersama-sama memperkembangkan kesenian dabus ke Perak di Pasir Panjang seawal 1700.

Menyentuh soal identiti, setiap penari atau pemain dabus mesti menggunakan sejenis besi tajam yang dipanggil 'anak dabus'. Penggunaan anak dabus ialah untuk memperlihatkan keistimewaan tarian itu.

Permainan dabus yang asli tidak hanya terhad kepada penggunaan anak dabus sebaliknya mereka akan menggunakan beberapa senjata tajam yang lain untuk mempamerkan kehebatan permainan dabus.

Kumpulan dabus yang asal terdiri daripada lebih kurang 22 orang termasuk pemain alat muzik dan penari. Dalam kumpulan itu terdapat seorang ketua dipanggil khalifah. Khalifah inilah orang yang bertanggungjawab memelihara keselamatan pemain daripada sebarang gangguan yang boleh mencatatkan persembahan.

Sebelum persembahan dimulakan, khalifah akan mengasap dan merenjis air yang dijampi keseluruh pentas, pemain, pemuzik dan anak dabus. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada gangguan makhluk halus atau perbuatan orang nakal yang menguji kekebalan pemain.

Dalam permainan dabus, terdapat beberapa pantang larang. Antaranya, tempat bermain hendaklah bersih, tubuh badan pemain juga hendaklah suci. Pemain sama ada pemuzik dan penari ditegah daripada mencarut, mengeluarkan kata-kata lucah mahupun bermusuhan.

IMG03tdbsa.jpg
 
Tarian Lilin berasal dari Sumatera

Tarian Lilin pada asasnya adalah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari wanita dengan diiringi sekumpulan pemuzik. Barisan penari membawa lilin yang dinyalakan pada piring dipegang pada setiap belah tangan masing-masing.

Penari menarikan tarian secara berkumpulan dengan memusingkan piring yang mempunyai lilin menyala secara berhati-hati agar piring terbabit sentiasa mendatar, selain memastikan nyalaan lilin tidak terpadam.

Ia juga dikenali sebagai tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Menyentuh soal asal usul Tarian Lilin, ia dipercayai berasal dari Sumatera. Mengikut cerita, kononnya seorang gadis telah ditinggalkan oleh tunang yang pergi berdagang mencari harta. Semasa ditinggalkan tunangnya itu gadis secara tidak sengaja kehilangan cincin pertunangan.

Gadis itu mencari-cari cincin hingga larut malam dengan menggunakan lilin yang diletakkan pada piring. Gerakan badan yang meliuk lintuk, membongkok, terngadah (berdoa) melahirkan keindahan sehingga peristiwa ini melahirkan Tarian Lilin di kalangan gadis kampung.

Tarian Lilin adalah sejenis kesenian istana dan digayakan pada waktu malam bagi menimbulkan nyalaan lilin berkenaan. Ini kerana tarian lilin memerlukan penarinya giat berlatih agar dapat mengawal pergerakan dengan lilin yang menyala tanpa berlaku kemalangan.

Kini, tarian ini sering dipersembahkan pada majlis kerajaan dan acara rasmi, malah lebih indah dan berkesan lagi jika ia dipersembahkan pada waktu malam.

IMG03tlbds.jpg
 
Qasidah puji Rasulullah

Mengikut satu rencana berjudul Puisi Ahli Sufi, sebelum kebanyakan negara Islam dijajah, hampir semua sastera yang dihasilkan orang Islam menampilkan ciri daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, iaitu hurufnya dicatat dalam tulisan jawi yang punya keunikan tersendiri.

Genre sastera atau seni Islam adalah sangat universal. Ia merangkumi khutbah, bayan, risalah, maqamah (cerpen), qissah (cerita bermoral seperti kisah sahabat), maqalah (rencana mengenai sesuatu), qasidah (puisi) dan sebagainya.

Qasidah - satu cabang seni Islam dari Arab yang sangat terkenal di tanah Arab sehingga kini. Ada pelbagai qasidah Islam terkenal antaranya Qasidah Burdah Shareef yang sangat masyhur. Qasidah Burdah mendapat gelaran sedemikian memandangkan isinya memberi pujian terhadap junjungan besar Nabi Muhammad.

Pengarangnya, Imam al-Bushiri atau nama sebenarnya adalah Muhammad bin Said bin Hamad as-Shonhaji al-Bushiri. Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M) dan berasal dari keturunan Maghribi. Beliau meninggal dunia pada 696H (1296M). Beliau ialah murid kepada Shaikh Abu Hasan ash-Shadhili.

Imam al-Bushiri dikenali sebagai seorang yang warak sejak beliau masih kanak-kanak lagi. Ada disebut dalam sejarah, Imam al-Bushiri, pernah ditimpa penyakit lumpuh sebelah badan. Pelbagai usaha dilakukan untuk rawatan namun tiada juga tanda sembuh, malah sakitnya bertambah teruk.

Dalam keadaan inilah timbul keinginan di hati beliau untuk mengarang qasidah puji-pujian kepada Rasulullah. Mata penanya menulis apa yang lahir dari hatinya yang sangat kasih dan rindu kepada Rasulullah iaitu pujian-pujian kepada Muhammad SAW. Sebaik saja selesai menulis qasidah, beliau tertidur dan bermimpi melihat Rasulullah dalam tidurnya. Baginda datang menziarahi beliau yang sedang sakit, lalu menyapukan tangannya yang mulia di atas badan Imam al-Bushiri dengan sehelai selendang (burdah).

Sebaik selesai diselimuti, Imam al-Bushiri terjaga daripada tidurnya dan mendapati penyakit lumpuhnya hilang. Ada riwayat menyatakan Imam al-Bushiri memperoleh selendang atau burdah di atas badannya apabila beliau terjaga daripada tidurnya.

Qasidah di kalangan umat Islam di Malaysia disesuaikan mengikut suasana majlis, iaitu puisi yang dilagukan dan masih bertujuan sama - bertemakan ketuhanan dan memuji junjungan Rasulullah SAW.

IMG03qpr.jpg
 
Kompang untuk sambut pengantin

Menurut portal Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, kompang adalah alat muzik yang mempunyai baluh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras yang lazimnya daripada spesies nangka. Nama saintifiknya ialah Artocarpus heterophyllus.

Belulang daripada kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan baluhnya dengan menggunakan bahan pelekat kemudian ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin. Kompang juga memerlukan rotan sedak sebagai alat tala untuk menghasilkan suara yang baik.

Permainan kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri ataupun berarak mengikut keperluannya. Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah tangan lagi untuk memukulnya.

Selain marhaban, fungsi kompang dalam kehidupan masyarakat masa kini menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan ataupun menyambut tetamu dan juga pembesar negara. Kini, permainan kompang mula diajar di sekolah serta pusat pengajian tinggi dan institusi kerajaan. Dalam konteks persembahan, sesebuah kumpulan kompang membabitkan tiga kumpulan mengikut peranannya.

Kumpulan pertama terdiri daripada beberapa pemain yang bertindak sebagai 'pembolong' menggunakan istilah tempatan untuk untuk memainkan pola paluan yang khusus serta tertentu secara seragam dikenali sebagai pukulan dasar. Kumpulan kedua bertindak sebagai 'peningkah' yang lazimnya seorang saja sebagai master dalam permainan itu. Kumpulan ketiga bertindak sebagai 'penyilang' yang memainkan rentak hias sebagai unsur pelengkap kepada keseluruhan pola paluan terjalin di dalamnya.

IMG03kusp.jpg
 
Rebab iringi watak raja

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Rebab adalah sejenis alat muzik bertali yang berasal dari Afghanistan. Rebab menggunakan penggesek dan mempunyai tiga utas tali daripada dawai logam. Rebab juga dianggap tergolong dalam keluarga kecapi.

Badan rebab lazimnya dibuat daripada kayu nangka dan berongga di bahagian dalamnya. Bentuk badannya lebar di bahagian atas dan tirus ke bawah. Dadanya ditutup dengan kulit diperbuat daripada perut lembu yang dikeringkan. Busut kecil yang dibuat dari lilin lebah ditampal pada sebelah kiri dadanya dipanggil 'susu'.

Di sisi bahagian atas lehernya dipasang pula pemulas bagi tujuan melaraskan suaranya. Leher atau papan jari dipasang pada bahagian atas badannya. Pada behagian atas kepalanya berukiran dan dipanggil 'Pucuk Rebung'. Lehernya memanjang ke bawah menerusi badan dan hujungnya menjadi pancang di bahagian bawah di mana alat itu diletakkan berdiri bila ia dimainkan.

Kayu kekuda titian tadi diletak pada tengah dadanya dan boleh diubah kedudukannya. Busurnya dibuat dari kayu dan melengkung sedikit. Tali penggesek ialah urat daripada selaput balutan mayang kelapa dan kini digantikan dengan penggunaan tali tangsi.

Alat muzik rebab banyak digunakan dalam muzik di Afghanistan. Selain itu, rebab juga digunakan dalam persembahan gamelan dan muzik mengiringi mak yung, main puteri dan selampit di Malaysia dan Indonesia.

Untuk bermain alat muzik ini, rebab diletak berdiri di depan pemain yang duduk bersila di lantai. Rebab digesek dengan busur dan ketegangan tali busur dikawal dengan menggunakan jari. Jari-jari tangan sebelah lagi memetik atau menekan pada tali di bahagian leher untuk mengeluarkan pelbagai nada.

Di Malaysia, rebab ialah sejenis alat muzik tradisional Melayu yang dimainkan ketika mengiring watak raja atau pengasuh sedang beraksi dalam persembahan menora, mak yung, main puteri dan banyak lagi persembahan klasik.

IMG03riwr.jpg
 
Limbo sebenarnya berasal dari Trinidad

Limbo ialah sejenis tarian yang berasal dari kepulauan Trinidad, biarpun dalam kebanyakan masa, orang sering menganggap ia berasal dari Hawaii apabila sering dikaitkan dengan limbo.

Penari bagi tarian jenis ini menari mengikut irama berentak Caribbean, kemudian melenturkan badan ke belakang dan terus melalui bawah kayu yang diletak secara mendatar tanpa menyentuhnya. Sekiranya mana-mana bahagian tubuh menyentuh palang kayu atau ia terjatuh ke belakang, penari itu dikira batal.

Apabila beberapa penari bertanding, mereka bergerak secara perseorangan manakala kayu akan diturunkan sehingga hanya seorang penari saja tidak menyentuh kayu dan lantai, tinggal. Dalam tahun-tahun sebelumnya, tarian limbo dikenali sebagai tarian soial untuk menyambut tetamu atau perlawanan untuk pelancong di Caribbean dan resort tropikal yang lain.

IMG03lsbdt01.jpg


Penari yang menang akan diberikan hadiah. Perkataan ini berasal dari dialek Bahasa Inggeris Trinidad, iaitu mengikut kamus Merriam-Webster, limba bermaksud untuk melenturkan badan.

Limbo yang digunakan untuk menggambarkan satu bentuk tarian mula popular sekitar 1950-an. Limbo adalah perkataan yang diambil dari India Barat Inggeris iaitu limber. Limber ialah perkataan yang wujud sejak turun ke-16 digunakan secara dialeknya untuk merujuk pergerakan ke depan dan ke belakang.

Sejajar kepercayaan orang Afrika, tarian itu menggambarkan keseluruhan putaran kehidupan manusia. Penari pula bergerak melalui kayu yang diturunkan dari paras dada, seorang penari lain akan muncul ke sebelah lain, di mana tatkala kepala mereka melepasi kayu, ia seolah pertembungan antara kehidupan dan kematian. Tarian ini juga digunakan sebagai tarian kematian dan turut dikaitkan dengan African legba atau tarian legua.

IMG03lsbdt02.jpg
 
Back
Top
Log in Register