Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan

CG Sponsors




seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Tahukah anda, muzik program adalah bentuk seni muzik bertujuan untuk membangkitkan dan menimbulkan idea tambahan, imej yang tergambar di minda pendengar dengan cara mewakili latar muzik tertentu, atau semangat (mood). Secara kontras, muzik mutlak berdiri dengan sendirinya dan wujud hanya untuk dihargai tanpa sebarang rujukan tertentu daripada dunia luar.

Istilah ini hampir eksklusif dan hanya digunakan dalam tugasan atau ciptaan berkaitan tradisi muzik klasikal Eropah, terutama hasil kerja muzik era Roman sekitar abad ke-19, di mana konsepnya ialah popular, tapi hasil ciptaan begitu sudah lama menjadi sebahagian daripada muzik. Istilah itu biasanya disimpan dan digunakan hanya untuk kerja gubahan instrumental tulen (gubahan tanpa penyanyi dan lirik) dan tidak digunakan untuk latar Opera atau Lieder.

Tahukah anda sejarah muzik program meliputi zaman kebangkitan atau renaissance, zaman Baroque, Era Klasikal, Zaman Romantik (Roman) dan abda ke-20.

Tahukah anda, isitilah muzik program tidak digunakan secara umumnya hanya untuk dikaitkan dengan muzik popular, walaupun ada sesetengah muzik popular mempunyai beberapa aspek seakan sama dengan muzik program. Tradisi muzik program orkestra tulen diteruskan dalam gubahan orkestra jazz dan paling terkemuka gubahan Duke Ellington. Gubahan instrumental dalam muzk popular bsering diberikan judul deskriptif yang menunjukkan ia boleh dikategorikan sebagai muzik program dan beberapa album instrumental dibikin khusus untuk memperkenalkan programmatic idea (contohnya, China oleh Vangelis atau The Songs of Distant Earth oleh Mike Oldfield). Ada di antara genre muzik popular yang tidak dapat lari daripada terbabit dan menerima pengaruh elemen muzik program; ini termasuk ambient, new age, space music. surf rock, jazz fusion, progresif rock, art rock dan beberapa lagi genre muzik tekno.

Kumpulan progresif rock dan pemuzik sekitar 1970-an kebanyakannya melakukan eksperimen terhadap muzik program, antaranya Ladder oleh Rush Jacon (180), yang menunjukkan pengaruh yang jelas oleh Smetana's Má vlast (My Homeand) (1874-1879).


Sumber : Bintang Popular (Berita Minggu - 20 Januari 2008, oleh Suzan Ahmad)

p/s : kawan2 CG boleh berkongsi dan post apa sahaja info tntg
muzik disini.thx :)
 
Last edited:
Sponsored Post

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Muzik Melayu Deli popular era 1950-an

Tahukah anda apa itu maksud Melayu Deli? Ia berkait dengan soal bahasa dalam lingua franca Melayu. Jika dikaitkan dengan asal usul bahasa, Bahasa Melayu Deli pada asasnya adalah sama dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia.

Namun, bahasa ini telah banyak dipengaruhi oleh bahasa dari Batak Karo dan pelbagai bahasa di sekitarnya. Bahasa Melayu Deli dituturkan di bahagian utara Sumatera Utara iaitu di daerah Langkat, Deli Serdang dan sebahagian kota Medan. Di Medan sendiri, terdapat banyak stesen radio awam mahupun negeri yang menggunakan bahasa Melayu Deli.

Orang pertama yang menggunakan istilah ‘Melayu’ dalam muzik adalah Dr A K Gani, tokoh Parti Serikat Islam Indonesia (PSII), pada 1938. Di mata Gani, muzik Melayu adalah muzik rakyat dan dia pernah berkata: "Bisa dimanfaatkan untuk membangkitkan nasionalisme."

A K Gani memasukkan keroncong, orkes harmonium, dan irama Malaya ke dalam rumpun orkes Melayu. Sejak itulah, pada masa awal kemerdekaan, muzik ini mendapat keutamaan. Radio Republik Indonesia adalah media pertama yang meluaskan orkes Melayu ini hingga sangat popular dan menjadi muzik untuk rakyat.

Sepuluh tahun sejak ‘Gerakan Bersama’ itu muncul, pelbagai corak lagu Melayu dihasilkan dan yang paling menonjol adalah Melayu Deli. Instrumen yang digunakan dalam irama Melayu Deli ini antara lain akordian, seruling, kadang-kala gambus dan rebana (yang menerima pengaruh muzik Arab). Selain itu juga digunakan gendang yang menghentak. Gendang ini digunakan untuk mengiringi tarian yang mengutamakan gerak kaki.

Begitu dominannya pengaruh Melayu Deli. Jika orang menyebut 'Melayu' maka yang hidup di kepala masyarakat adalah Melayu Deli. Pada sekitar 1955, Orkes Melayu Chandralela pimpinan Mashabi dengan penyanyi seperti Said Effendi, Ellya Agus (Ellya Khadam), Juhana Satar, dan Elvy Sukaesih sangat popular.

Menyusul kemudian Orkes Melayu Bukit Siguntang pimpinan Abdul Chalik dengan penyanyi, Hasnah Thahar dan Husaimi. Ada juga A Haris yang mencipta lagu yang sangat terkenal, Kudaku Lari.

Di Malaysia, penyanyi irama Melayu Deli yang cukup berjaya dan terkenal serta masih bergiat aktif hingga sekarang, antaranya ialah Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini, Herman Tino dan Zaleha Hamid.


S Effendy (allahyarham) bersama Datuk Ahmad Jais yang merupakan
penyanyi irama Melayu Deli yang cukup berjaya.

Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 4 November 2007, oleh Suzan Ahmad)
 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Asal muzik Rock & Roll

Tahukah anda istilah Rock & Roll pertama kalinya disebut oleh juruhebah radio (Deejay) bernama Alan Freed dari Cleveland, Amerika Syarikat pada 1951. Dia mengambil istilah itu daripada lirik lagu 'My Baby Rocks Me With A Steady Roll'. Sudah menjadi kebiasaan pada era itu, penggunaan perkataan rock, roll, rock & roll dan sebagainya dikaitkan dengan adegan ketika melakukan seks.

Pada era sebelum kemunculan rock & roll, muzik irama blues berkembang sekitar 1950-an. Irama blues pula berpunca daripada rhythm and blues dengan muzik bangsa kulit putih country-and-western; perkataan rock pula adalah istilah yang dikeluarkan dari pelabagi gaya yang bercambah.

Antara artis rock & roll yang menonjol pada era 50-an ialah Bill Haley (Rock Around The Clock), Buddy Holly (That Will Be The Day), Carl Perkins, Chuck Berry (Maybelline), Bo Diddley (Bo Diddley), Elvis Presley (Jailhouse Rock), Fats Domino, Jerry Lee Lewis, Little Richard (Lucille), Muddy Waters dan James Brown (I Feel Good).

Pada zaman itu, lagu Rock & Roll menggunakan solo saksofon tetapi sekitar 1956, gitar elektrik mula dijadikan alat solo utama. Walaupun artis seperti James Brown masih menggunakan soksofon, tetapi gitar lebih digemari ramai. Lagu hits seperti Jailhouse Rock (Elvis Presley) dan Rock Around The Clock (Bill Haley & The Comets) menggunakan gitar sebagai alatan utama.



Rock & Roll di Malaysia

Di Malaysia, lagu Rock/Rhythm & Blues Melayu bermula pada tahun 1960-an, kebanyakannya berpangkalan di Singapura dan ketika zaman radio dipasarkan kepada rakyat. Era ini juga adalah era saduran, yang mana lagu popular di Barat ketika itu disadur oleh artis tempatan dan dijadikan rakaman dan disiarkan menerusi radio.

Apabila kumpulan The Beatles meletup di Barat, serpihannya datang ke Malaysia dan Singapura. Era Pop Yeh Yeh (dari lagu She Loves You ... Yeah Yeah Yeah) bermula dan yang dipercayai sebagai lagu pertama Melayu berirama pop yeh-yeh ialah lagu Suzana (1964) yang dinyanyikan oleh M Osman.

Antara lagu Rock & Roll Melayu ketika itu adalah Aku Debuk (Aziz Jaafar & Panca Sitara), Aku Senyum (Ahmad Daud), Berduka (the Steps), Angin Laut (Koes Plus, 1962 - Indonesia), Maity Maila, Salam Perpisahan oleh The Swallows (Singapura), Juga lagu Hanya Si Dia ialah saduran daripada lagu House of The Rising Sun (1964) oleh the Animals; Untukmu oleh Koes Bersaudara (Indonesia).




Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 6 Julai 2008, oleh Suzan Ahmad)
 
Last edited:

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Ilham muzik dari kilang

Karyawan muzik biasanya akan memerah idea bagi menghasilkan konsep muzik yang baru, segar dan unik. Tujuannya supaya mampu memenuhi selera peminat mereka. Kelainan daripada segi bunyi, susunan muzuk, irama dan penampilan imej yang tesendiri amat penting bagi membezakan antara seseorang artis itu dengan yang lain.

Cetusan idea-idea itu antaranya bergantung kepada kreativiti dan pengamatan yang tinggi di kalangan karyawan muzik. Faktor itu turut dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan seharian mereka dalam menzahirkan sesebuah konsep muzik.

Bidang perindustrian yang meluas di negara-negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) contohnya, telah mencetuskan kewujudan sebuah konsep muzik unik yang dikenali sebagai industrial. Muzik industrial yang mula popular pada pertengahan tahun 1980-an di Eropah dan AS antara lain tercetus daripada bunyi-bunyian yang dihasilkan daripada kawasan-kawasan perkilangan di sana.

Tidak ramai yang terfikir bahawa bunyi seperti geselan besi dan pergerakan mesin yang bingit serta bercelaru telah mencetuskan idea bagi para pembikin konsep muzik tersebut. Kumpulan Pitch Shifter yang berasal dari kawasan perindustrian di England misalnya, telah mengadaptasi alunan daripada kecamukan bunyi dalam kilang sebagai elemen utama penghasilan muzik dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Lima anak muda ini menggunakan bunyi daripada gitar elektrik yang disalut dengan adunan alat distortion (mengherot-benyotkan) hingga menghasilkan suatu bunyi dang cukup 'karat'!

Penggunaan alat-alat seperti sampler, turn table dan keyboard juga banyak membantu mereka mengadun bunyi-bunyi yang pelik itu di mana salah satu caranya diilhamkan dari kawasan-kawasan perkilangan. Mengetengahkan lirik-lirik lagu yang menggambarkan tekanan kehidupan sosial akibat 'putaran ganas kehidupan' seakan-akan serasi dengan genre muzik yang mereka ketengahkan itu. Antaranya soalan rusuhan, kegiatan jenayah di jalanan, pengangguran, kemelesatan ekonomi dan keganasan dalam rumahtangga telah menjadi seperti suatu manifestasi dalam lagu-lagu mereka.



Pitchshifter merupakan antara kumpulan pemuzik industrial yang menerima pujian ramai pencinta muzik kerana cetusan idea mereka yang untuk dan bombastik itu. Bunyi dan muzik baru itu dapat didengar keunikannya menerusi album sulung Pitch Shifter berjudul Industrial yang diedarkan oleh syarikat rakaman Peaceville Records di England pada tahun 1989. Ternyata idea dan konsep muzik industrial yang diketengahkan oleh mereka itu turut berjaya memberi nafas baru dalam industri muzik di UK yang memang terkenal dengan pelbagai revolusi dan evolusi menerusi cabang seni itu.

Selain Pitchshifter, kumpulan Sonic Violence yang senegara dengan mereka turut mengekspresikan adunan cetusan ilham bunyi muzik dari kilang-kilang perindustrian menerusi album pertama mereka yang berjudul Jaged. Sonic Violence dan Pitchshifter yang mula bernaung di bawah Peaceville Records pada penghujung 1980-an merupakan antara generasi pemuzik terawal yang mempopularkan genre muzik tersebut.

Walaupun pada awalnya susunan lagu dan genre muzik industrial yang cuba diperdengarkan agak bising dan pelik, tetapi idea seperti itulah yang membuktikan tahap kreativiti para pemuzik terbabit. Penulis yang pernah berhubungan sendiri dengan pengasas Penceville Records iaitu Guru Hammy sekitar awal 1989 diberitahu bahawa industri muzik yang besar seperti di UK dan AS sentiasa mencari kelainan dari semasa ke semasa. Bagi mereka, idea yang unik dan tidak terfikir oleh pemuzik lain merupakan sesuatu yang amat berharga berbanding nilai-nilai kebendaan yang boleh dimiliki asalkan adanya 'kuasa beli'.

"Kami bukannya mencari corak muzik yang terbaik, tetapi kami lebih sukakan muzik yang unik dan baru. Kalau mahu mencari pemuzik yang hebat, ramai graduan muzik dari Berkelee College yang hebat skil permainan mereka. Gitar contohnya, boleh dibeli kalau seseorang itu ada duit dan mahu bermain gitar. Tetapi persoalannya, berapa ramai yang ada idea untuk mencipta sesuatu yang tersendiri daripada gitar itu," ungkap Guru Hammy dalam penuh makna.

Falsafah dan pendekatan Guru Hammy itu memang ada kebenarannya kerana ia merupakan suatu survival utama bagi para penyanyi dan pemuzik di negara seperti UK atau AS demi memikat halwa telinga para peminat di sana. Ini kerana, di negara seperti AS tedapat puluhan ribu pemuzik yang tampil dengan pelbagai konsep muzik tetapi yang benar-benar berjaya hingga ke peringkat antarabangsa dan kekal lama adalah mereka yang kreatif dan tersendiri.

Sayangnya, gaya pemikiran seperti itu jarang berada dalam jangkauan para pemuzik di negara ini yang lebih gemar meniru bulat-bulat idea dan konsep sesuatu muzik yang telah dipopularkan oleh artis lain. Malah, paling memalukan apabila golongan yang malas berfikir, kurang membuat kajian dalam soal ini berasa bangga apabila mereka kononnya mendakwa berjaya meniru gaya muzik artis yang menjadi idola mereka.

Sepatutnya, para penyanyi, pemuzik dan komposer kita memerah idea, membuat kajian, banyak membaca serta memperbandingkan dengan muzik-muzik yang telah dihasilkan oleh artis-artis yang telah berjaya selama ini. Inisiatif seperti itu mampu meluaskan lagi pengamatan dan pendengaran mereka dalam menghasilkan sesuatu gaya muzik yang tersendiri pada masa depan. Selain UK, senario yang sama juga berlaku misalnya di Oakland, California, AS dengan menyaksikan kemunculan banyak kumpulan pemuzik industrial seperti Global Genocide Forget Heave (G.G.F.H.) yang tampil dengan stail muzik, bunyi dan konsep tersendiri.



The Prodigy antara kumpulan pemuzik era baru dari UK yang tampil dengan muzik industrial dan telah melakukan banyak tokok tambah muzik berbentuk eksperimen dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Ia termasuklah menerusi album terbaru The Prodigy yang berjudul Invaders Must Die edaran Universal Music Sdn Bhd baru-baru ini. Jika di Malaysia, kumpulan Infectious Maggots merupakan antara kumpulan muzik industrial yang pernah tampil dengan album pertama mereka berjudul Deep Within Our Grief Factory Milk Rund Red pada 1993.

Kumpulan-kumpulan pemuzik album industrial lain tidak kurang hebatnya seperti Marlin Spike, Industrious, Front 242, Skinny Puppy, Ministry, Kong, Einsturzender Neubauten dan Godflesh. Kemunculan genre muzik industrial secara tidak langsung telah memperkayakan lagi genre muzik yang sedia ada di mana ia semakin berkembang pesat dan menjadi trend di kalangan pemuzik serta peminat sehinggalah hari ini.

Namun pada masa sama, ramai juga pemuzik yang kini menggaru kepada kerana mereka mungkin sudah ketandusan idea bagi menghasilkan genre muzik-muzik baru demi memenuhi selera peminat yang sentiasa berubah mengikut zaman. Golongan ini seperti sudah kehabisan idea bagi mencipta muzik-muzik baru selain pop, jazz, blues, reggae, ska, metal, punk, klasikal, dangdut dan sebagainya yang telah pun banyak diketengahkan sebelum ini.

 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Muzik Ghazal berasal dari Parsi

Tahukah anda, ghazal atau muzik ghazal adalah puisi yang berasal sekitar 670 Masihi dari Parsi. Ia biasanya bertemakan puisi kasih sayang yang mempunyai pola irama ringan dan diiringi muzik. Ghazal awalnya sangat popular di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor.

Dalam sastera (dan sebagai lirik lagu), ghazal adalah bentuk puisi (poetic form) yang mengandungi rangkap berkongsi rima dan refrain. Dalam bahasa Arab perkataan ghazal secara harfiahnya bererti berbicara dengan wanita.

Ghazal dalam bentuk silam, bermula pada abad ke-10 iaitu dipetik dari ayat dalam bahasa Persia, yang sebelum itu diambil dari bentuk Arab yang boleh dikesan bermula seawal abad ke-8. Ghazal berkembang ke India pada abad ke-12 di bawah pengaruh Mughal. Walaupun ghazal adalah bentuk puisi Urdu yang terkemuka, pada masa kini ia mempengaruhi puisi dalam banyak bahasa.

Ghazal ditulis oleh penyair dan ahli sufi Persia, Jalal al-Din Muhammad Rumi (abad ke-13) dan Hafez (abad ke-14), penyair Turki Fuzuli (abad ke-16) dan juga Mirza Ghalib (1797-1869) serta Muhammad Iqbal (1877-1938), yang menggunakan bahasa Parsi dan Urdu.

Melalui pengaruh Johann Wolfgang von Goethe (1749-1832), ghazal menjadi popular di Jerman pada abad ke-19, dan bentuk ini digunakan secara meluas oleh Friedrich Rickert (1788-1866) dan August von Platen (1765-1835). Penyair Kashmir-Amerika Syarikat, Agha Shahid Ali juga adalah penyokong bentuk ini, dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain, selain dia menyunting jilid real ghazals in English.

Ghazal adalah kesenian tradisional yang popular dewasa ini. Pada permulaannya, ini disebut sebagai gamat yang bererti nyanyian dan beriuh-rendah yang berasal dari Tanah Arab. Pada abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa bangsawan Johor yang berulang-alik ke Riau mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kepada Sultan Johor pada ketika itu di Teluk Belanga, Singapura.

Perkembangan ghazal di Johor dikaitkan dengan Allahyarham Datuk Bentara Luar, Mohd Salleh Perang. Semasa membuka daerah baru, beliau turut memperkenalkannya di rumah penghulu dan hari keramaian tertentu.



Ghazal terdiri daripada alat muzik seperti Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do (Gendang). Kemudian, ditambah dengan beberapa alat yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, Keroncong dan Marakas. Ia turut dicampurkan dengan alat muzik lain seperti ukeleli dan sebagainya. Oleh kerana terlampau mengganggu serta menghilangkan lemah lembut lagu Melayu, maka penggunaan alat itu dibatalkan.

Pada 2003, irama ghazal moden dimartabatkan oleh biduanita kita, Datuk Sharifah Aini menerusi Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini yang diiringi penari Warisan Johor. Beliau yang juga anak kelahiran Johor begitu kagum dengan keindahan dan keunikan muzik ghazal. Pemain gambus irama ghazal yang cukup terkenal di tanah air ialah Allayarham Fadzil Ahmad.
 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Irama rock muncul sejak era 1940-an

Tahukah anda, muzik rock adalah satu bentuk muzik popular yang sering hadir dengan iringan melodi vokal cukup menonjol dan diiringi alat muzik seperti gitar, dram dan gitar bass. Banyak juga gaya muzik rock lain yang cenderung menggunakan instrumen lain seperti keyboard, organ piano dan synthesizer.

Instument lain yang turut mengiringi muzik ini termasuk harmonika, violin, seruling, banjo dan instrument bertali yang kurang popular seperti mandolin dan sitar. Muzik rock biasanya punya rentak latar yang kuat, dan sering berlegar-legar di sekitar gitar elektik mahupun akustik.

Rock mula menular menerusi genre rock and roll dan rockabilly sekitar 1940-an dan 1950-an. Muzik ini berevolusi dari blues, muzik country dan pelbagai lagi pengaruh. Mengikut buku All Music Guide: "Dalam bentuknya yang paling tulen, rock & roll meliputi tiga chord, kuat, rentak latar yang impak dan melodi yang catchy."

Pada awal perkembangan rock & roll yang terbit dari pelbagai sumber terutama blues, R & B dan country tidak terkecuali gospel, pop tradisional, jazz dan folk. Semua pengaruh ini digabungkan dalam bentuk ringkas, berasaskan struktur lagu blues yang pantas, rancak dan catchy.

Lewat 1960-an, muzik rock digarap dengan muzik folk untuk membentuk folk rock, garapan blues pula mewujudkan blues rock dan juga sedikit elemen jazz, membentuk fusion jazz-rock. Tanpa kita sedari peralihan itu membentuk psychedelic rock. Pada 1970-an, rock mula menerima pengaruh soul, funk dan muzik latin. Rock terus berkembang dan membentuk banyak lagi subgenre, seperti soft rock, heavy metal, hard rock, progressive rock dan punk rock.

Subgenre rock dari era 1980-an termasuklah synth-rock. Pada 1990-an, subgenre rock termasuk grunge rock, britpop, indie rock, piano rock dan nu metal.

Sejarah kumpulan rock di Malaysia bermula secara meluas pada awal tahun 1980-an menerusi kumpulan Search yang muncul dengan album pertama. Ini berikutan bahang daripada budaya muzik rock Barat yang mendorong kemunculan kumpulan rock tempatan. Kumpulan rock tempatan berkembang dengan wujudnya pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands 1 & 2.

Pertandingan kumpulan rock kebangsaan yang pertama diadakan di Malaysia adalah pertandingan Juara Rock 1983. Dalam pertandingan ini, ia dimenangi D'Febians dan The Lefthanded. Berikutan sambutan hangat golongan pemuda, pada tahun berikutnya, ia diikuti pertandingan Juara Rock 1984. Pada pertandingan Juara Rock 1984, The Burnmarks menggondol tempat pertama, Hurricane dari Johor Bahru menggondol tempat kedua, manakala tempat ketiga, kumpulan Gersang.

Satu-satunya ikon rock wanita terunggul negara ialah Nor Zila Aminudin atau lebih dikenali sebagai Ella. Pada awal pembabitannya, Ella bersama kumpulan rock Ella & The Boys memenangi pertandingan Battle of the Bands anjuran RTM.

Ella yang juga digelar Ratu Rock Malaysia ialah artis Melayu pertama mengeluarkan album video berjudul Ella Mood pada 1991. Beliau adalah artis Malaysia pertama juga berjaya mencapai jumlah jualan album sehingga 350,000 unit menerusi Ella USA yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Tidak ada artis solo lain yang berjaya mencatat jumlah jualan album sebanyak itu, kecuali Search (400,000), Wings (400,000) dan Raihan (600,000).

Ella adalah satu-satunya artis rock wanita yang masih bertahan hingga kini dan menjadi artis rock wanita yang paling lama bertahan tanpa mengubah konsep muziknya walaupun usianya kini hampir mencecah 40 keatas, Ella tetap setia dengan muzik dan imej rock.


Ratu Rock Ella - pecah rekod sebagai artis solo pertama Malaysia yang berjaya mencatat jualan album paling tinggi (350,000 unit)
 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Muzik Bossanova berasal dari Brazil

Tahukah anda, Bossanova adalah jenis muzik gaya Brazil yang diperkenalkan oleh Vinicius de Moraes, Antônio Carlos Jobim dan João Gilberto. Muzik ini mula diperkenalkan di Brazil sekitar 1958, menerusi rakaman lagu oleh Elizete Cardoso berjudul 'Chega de Saudade' yang dimuatkan dalam LP Cancão do Amor Demais.

Liriknya adalah nukilan Vinicius de Moraes, manakala Antonio Carlos Jobim mencipta muziknya. Kemudian lagu itu dilancarkan oleh Gilberto sendiri.

Namun, mengikut istilah muzik Brazil, Bossanova dieja sebagai Bossa Nova. Dengan kehadiran João Gilberto yang dianggap sebagai 'guru', Bossa Nova dengan pantas mula menarik perhatian ramai peminat dan pengikutnya yang tersendiri, genre ini lebih diminati kalangan pemuzik muda dan pelajar kolej.

Sejak itu, irama ini mula mendapat perhatian lebih meluas khalayak pendengar pelbagai lapisan umur. Biarpun populariti muzik ini hanya bertahan selama enam tahun (1958-1963), gerakan muzikal berkenaan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap perkembangan muzik semasa.

Instrumen yang biasa mengiringi muzik Bossanova ialah gitar akustik, piano, organ elektronik, bass akustik dan dram. Muzik begini sangat popular di Brazil, juga cukup significant di Amerika Syarikat, Eropah Barat, Jepun dan Filipina.

Terma Bossanova hadir menerusi Bossa yang difahami orang Brazil sebagai sesuatu yang ada kena mengena dengan sesuatu yang menawan dan bakat semulajadi, atau kebolehan semulajadi.

Pada 1932, Noel Rosa menggunakan perkataan itu dalam samba yang berbunyi seperti berikut ... O samba, a prontidão e outras bossas / São nossas coisas, são coisas nossas (The samba, the readiness and other bossas / Are our things, are our things.)

Begitupun, terma asal Bossa Nova masih belum dapat dipastikan. Apa yang pasti, terma Bossa pernah digunakan untuk menjadi rujukan trend baru atau gelombang fesyen terkini bagi budaya pakaian artistik pantai akhir 1950-an di Rio de Janeiro.

Terma itu akhirnya lebih terkenal dan sering digunakan untuk merujuk gaya muzik, seperti fusion Samba dan Jazz, di mana pencipta muzik Bossa Nova generasi masa kini menganggapnya sebagai trend muzik baru.

Merujuk kepada senario muzik tanahair, lagu Bossanova pernah dipopularkan oleh penyanyi Wann manakala Adibah Nor juga cukup menonjol selepas mendendangkan lagu klasik Ikan Di Laut Asam Di Darat dalam gaya Bossanova yang sangat catchy.

 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Andre Goh penyanyi Joget bukan Melayu

Tahukah anda, Andre Goh atau nama asalnya Goh Eng Boon adalah satu-satunya penggiat dan penyanyi lagu irama tradisional dan joget bukan Melayu yang cukup berjaya dan terkemuka di tanah air. Berasal dari Kampung Sialang, Tangkak, Johor, Andre mengakui menjadi satu-satunya keluarga Cina di tengah perkampungan Melayu secara tidak langsung menjadikan keluarganya terikut dengan budaya orang Melayu.

Darah keturunan Baba Melaka menjadikan semua adat dan budaya orang Melayu sedikit sebanyak diamalkan keluarganya. Justeru, latar kehidupannya itu, menjadikan Andre begitu fasih berbahasa Melayu. Malah, dia mahir mendendangkan lagu berirama Asli. Apa yang menarik, bukan dia saja yang boleh menyanyikan lagu Melayu dengan baik tetapi bapanya, Goh Tiam Leong juga mahir mendendangkan lagu dondang sayang. Malah, ibunya, Wee Teck Neo pula, walaupun tidak pernah bersekolah namun mahir berpantun. Rumah mereka sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu langgam, dondang sayang atau asli.

Anak keenam daripada 15 beradik itu sering menyertai perjumpaan tersebut dan dari situ, Andre mampu menguasai lagu Melayu. Jangan terkejut kerana ketika giat menyertai pertandingan nyanyian sejak sekolah rendah, dia lebih senang menyanyikan lagu Inggeris dendangan Cliff Richard, Elvis Presley dan The Shadows.

Dia mula menyertai pertandingan nyanyian secara serius ketika bekerja dengan Jabatan Telekom Malaysia di Brickfields, rakan sebiliknya Michael Leong yang bekerja di Jabatan Penerangan mendorong dirinya menyertai Bakat TV pada 1972. Meskipun tidak muncul sebagai juara, Andre mendapat perhatian ramai kerana kebolehannya mendendangkan lagu Asli. Selepas pertandingan, dia mendapat tawaran mengendali program TV berjudul Andre sebanyak 20 episod yang disiarkan setiap Ahad.

Selain program TV, Andre turut merakam album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam. Album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian (1976) dan Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998).

Sepanjang kerjayanya, Andre yang masih aktif hingga kini pernah menerima anugerah Ahli Mangku Negara (1982) daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekkWa) pada 2006.

 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Muzik cha cha berlatarkan tarian Cuba

Tahukah anda, Cha-cha-cha (dalam bahasa Sepanyol) juga dikenali sebagai cha cha adalah sejenis tarian yang berlatarkan muzik Cuba yang juga dipanggil cha cha cha. Mengikut sejarah, pada 1951, seorang komposer dan pemain biola berbangsa Cuba, Enrique Jorrín memperknalkan cha-cha-cha kepada khalayak pengunjung kelab malam di Cuba ketika menganggotai Orquesta Amerika.

Menurut Jorrín, bunyi yang dihasilkan oleh kasut penari di lantai tari persis kedengaran seperti cha-cha-cha, tatkala mereka cuba mengikut rentak baru itu, pada awalnya, ia hanyalah dipanggil mambo-rumba.

Pada 1953, lagunya yang berjudul La Engaňadora dan Silver Star mula menjadi lagu hit terkenal. Pada awal kemunculannya, kedua-dua tarian ini dan muziknya dikenali sebagai 'triple mambo' atau 'mambo dengan rentak guiro'. Cha-cha-cha pertama kali dipersembahkan kepada khalayak menerusi pengantara charanga (format kumpulan pemuzik yang membawakan muzik tarian Cuba yang tipikal terdiri daripada seruling, strings, piano, bass dan percussion). Populariti cha-cha-cha juga menyumbang kepada kembalinya populariti muzik orkestra begini.

Tidak lama kemudian, seorang guru tarian berbangsa Inggeris, Pierre Lavelle yang melawat Cuba pada 1952, tertarik hati dengan gerak tarian ini dan mengembangkannya di Eropah.

Cha cha mula menjadi popular di Amerika Syarikat, begitu juga mambo pada 1950-an. Penari mula memperkenalkan gerak baru khusus untuk muncul juara dalam pertandingan.

Perkataan cha mula muncul dari keinginan untuk memperlahankan sedikit tempo dan mengurangkan aksi aerobik dan tersentak-sentak seperti dalam mambo dan menjadikannya lebih mudah dihayati kepada orang ramai untuk menari. Mambo sebenarnya adalah fusion rentak jazz dan Latin, antara kualiti utama yang masih dikekalkan dalam muzik cha cha.

Dari segi muziknya, cha cha lebih perlahan berbanding mambo dan rentaknya lebih mudah untuk nakal dan sesuai untuk suasana berparti.

Muzik Cha cha boleh ditemui dan mempengaruhi pelbagai genre muzik lain termasuklah muzik beach, hip hop dan tidak ketinggalan rock & roll. Tempo muzik ini biasanya 110 hingga 130 beat seminit. Bagi mereka yang baru bermula, jajaran tempo terbaik ialah 100 hinnga 110 beat seminit.

Beberapa artis antarabangsa yang banyak memberi pengaruh kepada muzik cha cha termasuk Chicho O'Farril, Pérez Prado, Tito Puente, Charles Aznavour, Rubén Blades dan Willie Colón. Cha cha masih popular digunakan dalam pelbagai irama termasuk Latin, pop dan muzik country.

Kini kita boleh dengar elemen itu dalam album artis latin seperti Ricky Martin, Enrique Iglesias dan Gloria Estefan.

 

seether

CG Top Poster Club
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,417
Reaction score
6
Points
311
Spiritual irama Blues

Tahukah anda, Blues adalah bentuk muzik berasaskan kepada penggunaan blues notes. Blue notes adalah karakter tipikal atau biasa melodi jazz dan blues di mana pitching blues hampir pada kerendahan darjah ketiga dan ketujuh dalam skala major seperti B flat dan E flat dalam skala C major.

Genre ini mula mempengaruhi kehidupan komuniti Afrika-Amerika di Amerika Syarikat menerusi cara spiritual antaranya lagu bekerja, laungan semangat di ladang, jeritan dan dikir juga balada naratif dalam bahasa Inggeris dan Scot-Irish yang berima. Penggunaan blue notes dan peranan penting bentuk muzik dan lirik jenis memanggil dan memberi maklum balas, ia cukup membuktikan betapa kuatnya pengaruh Afrika. Muzik ini kemudian mempengaruhi muzik popular Barat yang mana ia berperanan menjadi asas kepada jazz, bluegrass, rhythm and blues, rock & roll, hip-hop dan banyak lagi bentuk muzik popular.

Frasa perkataan the blues bermaksud seseorang yang diganggu syaitan biru, bermaksud semangat yang lemah, tertekan dan kesedihan. Biarpun penggunaan frasa itu sudah lama diguna pakai di dalam muzik Afrika-Amerika, ia diterima secara rasminya sejak 1912, ketika Dallas Blues ciptaan Hart Wand yang cukup popular menjadi komposisi blues yang diiktiraf hak ciptanya. Sementara dalam lirik, frasa itu sering digunakan untuk menggambarkan kemurungan.

Instrumen yang biasa mengiring muzik blues ialah gitar, piano, harmonika, bass, dram, saksafon, vokal, trumpet dan trombone.

Satu-satunya kumpulan muzik blues rock yang cukup terkenal di negara kita ialah Blues Gang.

Mengenengahkan irama blues dan rock yang segar dengan memasukkan unsur kenegerian seperti lagu Apo Nak Di Kato yang menggunakan bahasa loghat Negeri Sembilan. Kumpulan ini pernah muncul di layar perak di dalam filem kontroversi arahan pengarah Nasir Jani, Kembara Seniman Jalanan lebih kurang 20 tahun yang lalu. Kumpulan Blues Gang sudah berpecah namun ahlinya masih lagi aktif di kelab malam di sekitar ibu kota.

Anggota Blues Gang terdiri daripada Ito Mohd (vokal/harmonika); Julian Mokhtar (gitar utama); Ghani Datuk Abu Talib (gitar kedua/keyboard); Jim Madasamy (bass/vokal) dan Shaik Karim dram/vokal).

 
Sponsored Post
Top
Log in Register