BTC USD 81,674.0 Gold USD 4,011.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Info Muzik : Muzik program cetus idea tambahan

Muzik Reggae bangkit kembali

Lagu-lagu reggae Melayu mula berkumandang di persada muzik tanahair pada awal 1984 apabila munculnya penyanyi seperti Poe dengan albumnya yang berjudul Satu Dunia Satu Harapan. Selain Poe yang tampil bersama kumpulan Rampa, penyanyi dR Sam pula meneruskan irama reggae dengan lagu-lagu popularnya seperti Abu Nawas dan Hutan Batu.

Selepas 20 tahun era kegemilangan Rampa dan dR Sam, muzik tempatan seakan-akan ketandusan penyanyi atau kumpulan yang mempopularkan genre muzik ini. Irama reggae dikatakan kurang menyerlah berbanding muzik-muzik lain seperti pop, rock, dangdut, R&B dan nasyid yang lebih mudah mendapat perhatian para pendengar. Ini kerana, tidak banyak publisiti yang diberi kepada artis-artis reggae, selain sikap mereka yang low profile dan lebih banyak menumpukan persembahan di kelab-kelab malam.

Antara kumpulan reggae tempatan yang sedang mencipta nama ialah Republic of Brickfields (ROB), Gerhana Ska Cinta, Sharp Shooter, Skudap-Skudip, River Nation dan Pure Vibracion. Kumpulan ROB yang menghasilkan album sulung berjudul Ganjaran pada 2007 mendapat perhatian apabila lagu mereka yang bertajuk Rahsia menjadi siulan ramai. Vokalis dan gitaris ROB, Aru, menyifatkan irama reggae masih belum pupus di negara ini biarpun banyak genre muzik lain yang lebih popular dan mendominasi persada muzik tempatan.

"Muzik reggae bukannya tidak sedap atau kurang bagus. Cuma ia tidak dipopularkan seperti muzik-muzik yang lain. Kalau diberi perhatian luas, muzik reggae juga akan popular. Senario itu bukannya berlaku di Malaysia sahaja, tetapi juga di negara-negara lain. Irama reggae ada di mana-mana termasuklah di Malaysia," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Tambahnya reggae bukan setakat lagu No Woman No Cry nyanyian Bob Marley, tetapi ia juga dipopularkan ribuan lagi penyanyi hebat seperti Shaggy mahupun the Maytals.

Reggae yang dikatakan tercetus daripada evolusi muzik ska mula bertapak di Jamaica pada tahun 1960-an paling menyerlah selepas ia dipopularkan oleh Bob Marley tidak lama selepas itu. Tidak seperti irama lain, reggae mempunayi kelebihan daripada segi alunan melodi lagu-lagunya yang santai di mana ia mudah untuk dihayati oleh segenap lapisan pendengar. Rentak irama reggae yang perlahan dikuatkan dengan kombinasi alat-alat muzik seperti gitar, bass, perkusi, harmonika dan keyboards menambahkan lagi lontaran iramanya. Selain rentak lagunya yang mudah dikenal pasti, gaya imej penyanyi serta pemuzik reggae yang tampil dengan rambut dreadlock (bersimpul mati) seolah-olah menjadi pengenalan diri mereka.

Banyak kumpulan reggae moden seperti Big Mountain dan UB40 yang berjaya mengetengahkan konsep sedemikian kerana pasarannya lebih meluas di seluruh dunia. Sebaliknya, konsep root reggae atau lebih asli penampilan elemen muzik reggae di dalamnya seperti yang diketengahkan oleh the Wailers yang tetap berpegang kepada imej tersebut. Namun, kata Aru, ada juga segelintir masyarakat yang memandang serong apabila sering mengaitkan muzik serta para pemuzik reggae dengan gejala menghisap ganja.

"Ganja dan reggae tidak ada kaitan langsung," jelasnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah. Kemunculan ROB dan lain-lain pemuzik reggae generasi baru itu sedikit sebanyak akan memperkayakan lagi khazanah lagu-lagu dalam industri muzik di negara ini. Sebabnya, walaupun berteraskan konsep muzik reggae, tetapi lirik lagu-lagu yang dipersembahkan oleh mereka kebanyakan dinyanyikan dalam bahasa Melayu.

Tidak hairanlah Bob Marley pernah dianggap 'hero' apabila menerusi lagu-lagu bertemakan keamanan yang dinyanyikannya, beliau berjaya menyatukan pihak yang bertelagah di Jamaica pada 1970-an. Menyedari peri pentingnya untuk mempelbagaikan genre muzik dalam persada muzik tanahair, secara tidak lagsung banyak pihak kini mula memberi perhatian kepada muzik reggae. Banyak kumpulan reggae tempatan seperti Pure Vibracion yang diberi peluang mengadakan persembahan pentas selain klip video mereka, Mi Gal sering disiarkan menerusi kaca televisyen.

Pure Vibracion yang muncul dengan album pertama berjudul Pure Vibracion pada awal tahun ini semakin diminati bukan sahaja oleh para peminat tempatan tetapi juga di luar negara. Sebagai contohnya, kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur itu sering diundang mengadakan persembahan di negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Laos. Kejayaan Pure Vibracion itu menunjukkan reggae merupakan genre muzik yang bersifat global dan ia mudah dihayati serta difahami oleh segenap lapisan masyarakat walau di mana-mana juga.

IMG03mrbk01.jpg


Namun, reggae tidak seperti muzik-muzik lain yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya kerana ia bukan berasal daripada budaya popular yang 100 peratus berorientasikan komersial. Secara dasarnya, akar umbi asal muzik reggae banyak digunakan untuk menyampaikan mesej seperti perjuangan membela maruah bangsa di tanahair sendiri. Bob Marley misalnya, tampil dengan lagu Redemption Song yang antara lain memaparkan tentang semangat yang perlu ada bagi membina jati diri dalam diri seorang insan. Selain itu, isu-isu semasa seperti pencemaran alam sekitar, korupsi dan masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat turut dipaparkan menerusi lagu-lagu reggae.

Justeru, reggae dilihat bukan sekadar suatu genre muzik yang kosong atau sebarangan, tetapi ia membawa perjuangan yang cukup besar buat para karyawan serta peminatnya. Dengan adanya kepelbagaian genre-genre muzik termasuklah reggae, ia secara tidak langsung akan memeriahkan lagi dunia hiburan selain memberi banyak pilihan kepada para penggemar muzik di negara ini.

IMG03mrbk02.jpg
 
Fela Kuti pengasas genre Afrobeat

Tahukah anda, Afrobeat adalah kombinasi muzik yoruba, jazz, highlife, ritma funk yang dijalinkan bersama perkusi dan gaya vokal, cukup popular di Afrika sekitar 1970-an.

Pengasas utama genre muzik atau rentak ini adalah instrumentalis serba boleh berbangsa Nigeria yang juga ketua kumpulan muzik terkenal, Fela Kuti yang menggunakan muziknya sebagai wadah merevolusi struktur muzik di samping konteks politik penduduk Nigeria. Kuti bertanggungjawab mewujudkan terma afrobeat sekembalinya beliau dari jelajah konsert di Amerika Syarikat bersama kumpulan Nigeria 70 (pernah dikenali sebagai Koola Lobitos).

Bunyi yang dianggap baru ini mula diperkenalkan di kelab miliknya dipanggil Afro-Shrine. Sebaik tiba di Nigeria, Kuti turut mengubah nama kumpulannya kepada Fela Ransome-Kuti & Africa. Kumpulan itu kekal menggunakan nama Afro-Shrine selama lima tahun (1970-1975) sementara rentak Afrobeat mula menular dikalangan remaja Nigeria.

Afrobeat kini adalah antara genre muzik yang cukup dikenali di dunia dan banyak mempengaruhi pemuzik Barat seperti mana ia mempengaruhi pemuzik Afrika sendiri.

Afrobeat juga dipercayai berasal dari selatan Nigeria sekitar 1960-an apabila Kuti mula bereksperimental dengan pelbagai bentuk muzik kontemporari ketika itu. Antara elemen utama dalam muziknya adalah keaslian harmoni dan ritma milik penduduk Afrika. Menggabungkan elemen, memodenkan dan memberikan improvisasi sehingga terbentuk Afrobeat.

Elemen Politik juga memainkan peranan penting dalam perkembangan Afrobeat, Kuti sebagai pengasas sering menggunakan wadah kritikan sosial untuk menerapkan perubahan sosial kepada masyarakat. Mesejnya boleh diterjemahkan sebagai penuh konfrontasi dan kontroversi, di mana ia boleh dikaitkan dengan kemuncak politik di kebanyakan negara Afrika sekitar 1960-an, kebanyakannya negara yang sedang berdepan ketidakadilan politik, rasuah dan pada masa sama sedang pulih dan menyesuaikan diri dengan transisi pentadbiran kolonial kepada kerajaan yang dibangunkan bangsa Nigeria.

Dalam pada genre itu mula menular di serata benua Afrika, semakin banyak kumpulan mula meniru gaya muzik berkenaan. Rakaman album kebanyakan kumpulan muzik ini jarang kita dengar dan dieksport ke luar dari negara asal muzik ini. Apapun ia masih boleh didapati dalam bentuk album kompilasi dan CD dari kedai muzik khusus.

Antara kumpulan muzik genre Afrobeat moden yang terkenal seperti Afrodizz, Zozo Afrobeat, Afrobeat Down, the Afromotive dan banyak lagi.

IMG03fkpga.jpg
 
Genre 'extreme music' tidak disukai ramai pendengar

Muzik melampau (extreme music) adalah istilah yang biasa digunakan untuk menjelaskan pelbagai variasi dalam gaya muzikal termasuk subgenre seperti extreme metal, hardrock punk, harcore, techno, industrial, noise dan juga free jazz.

Extreme music dikategorikan sebagai muzik yang mengandungi satu atau lebih elemen yang amat tidak disukai oleh pendengar biasa (hinggakan ada pihak mempertikaikan sama ada hasil seni artis boleh dianggap sebagai muzik). Elemen ini termasuk: tempo yang luarbiasa (sangat rancak atau sangat perlahan); impak bunyi kuantiti bunyi luarbiasa yang kasar dan tajam seperti distortion gitar atau kesan gate noise juga white noise, bunyi yang berlebihan; lirik yang terlalu ganas dan lucah (biasanya adalah kombinasi gaya vokal yang luarbiasa seperti jeritan, nyalakan atau mengeram), sumbang atau tanpa skala nada dan pelik; kerap bertukar tempo dan juga genre juga struktur lagu dan durasi yang luarbiasa.

Antara gaya muzik extreme yang biasa antaranya Avantgrade. Biarpun tidak semua artis jatuh dalam kategori extreme music tetapi kebanyakannya termasuk dalam kategori ini. Arnold Schoenberg dan Alban Berg seringkali memperkatakan subjek yang dasyat dan mengerikan dalam gaya sumbang; sifatnya yang tanpa nada juga agak menyukarkan pendengar.

Hasil kerja Krzysztof Penderecki dan Lannis Zenakis juga dianggap antara yang paling mencabar dan agak keras untuk halwa telinga. Sementara karya Polystylistic oleh John Zorn dan lain-lain kadangkala kedengaran meminjam elemen extreme music lain.

Black metal: Adalah subgenre extreme metal yang dibentuk sifatnya oleh tempo yang extreme, bernada tinggi, vokal menjerit atau mengeram, lirik ganas yang sering memperkatakan mengenai syaitan dan kematian, mengenakan mekap yang sering dikenakan kumpulan black metal untuk menggambarkan diri sebagai mayat yang sedang mereput.

Nama genre ini juga diambil dari album kumpulan Venom berjudul 'Black Metal'.

Sementara itu, ada beberapa kumpulan yang bersependapat bahawa mereka bertanggungjawab dalam memberikan kesan signifikan dalam membentuk dan memulakan gaya extreme music. kebanyakan kumpulan muzik ini dianggap ketinggalan oleh gaya baru yang kini lebih biasa dikenali sebagai extreme music.

Kumpulan separa ekstrim ini adalah Bathory, The Berzerker, Celtic Frost, Death, Earth, Suffocation, Napalm Death dan Merzbow.

IMG03gemtdsrp.jpg
 
Kenali kaedah nyanyian Bel Canto

Bel Canto membawa maksud nyanyian yang indah. Ia adalah terma khusus yang digunakan untuk menggambarkan cara nyanyian orang Itali. Bagi maksud yang lebih dekat lagi, ia bererti kualiti yang ditekankan dan diberatkan di kalangan penyanyi opera Itali untuk menawan khalayak penontonnya.

Biarpun cara nyanyian Bel Canto cukup popular, kewujudannya masih kurang jelas. Sejarah kewujudan seni ini juga agak rumit dan misteri. Bel Canto wujud sekitar kurun ke 16 atau 17 masihi, bagaimanapun ia sudah mula berakar sejak zaman pertengahan lagi. Ia bermula dalam kaedah arahan nyanyian yang digunakan guru dan tenaga pengajar kepada pelajarnya.

Memandangkan nyanyian perlu dikuasai secara dalaman, untuk mengajar menyanyi agak sulit dan mencabar. Guru nyanyian Itali bergantung pada sistem pengajaran dan teknik mendengar kepada pelajarnya. Setiap kali pelajar mengalunkan tone atau bunyi yang punya kualiti mengumpan, tenaga pengajar akan mengarahkan pelajar mengulang bunyi berkenaan berkali-kali sehingga ia sebati dan tersimpan kemas dalam memori.

Cara nyanyian ini menjadi cukup sebati dan wujud dalam diri penyanyi Itali hinggakan nyanyian orang Itali diselubungi misteri. Ramai menganggap Itali cuba untuk melindungi penguasaan dalam cara nyanyian itu daripada terlepas ke tangan negara asing padahal hakikatnya mereka begitu mendukung gaya pengajaran yang berkesan.

Bel Canto pada mulanya dipraktikkan lelaki, dipercayai pada awal penemuannya oleh penyanyi lagu keagamaan (lelaki). Ketika zaman Kebangkitan, sewaktu opera mula diperkenalkan di Itali, Bel Canto menjadi gaya nyanyian yang digunakan untuk bentuk cabang seni baru ini. Kemudian, ia mula menular dan terkenal hingga sering digunakan penyanyi opera, lazimnya dalam genre vokal soprano.

Kini, hanya segelintir saja penyanyi soprano seperti Joan Sutherland dan Kathleen Battle yang masih mengamalkan tradisi ini. Ada yang percaya, rahsia di sebalik penguasaan Bel Canto terletak pada tone yang berterusan. Kebanyakan penyanyi diadili atas keupayaan untuk melepasi satu frasa muzikal ke frasa seterusnya dengan sedikit atau tanpa sebarang gangguan.

IMG03kknbc.jpg
 
Jenis dram bergantung keperluan, genre muzik

Dram adalah termasuk dalam keluarga alat muzik perkusi dan secara teknikalnya ia dikenali sebagai membranophone. Dram terdiri daripada sekurang-kurangnya satu membran dipanggil kepala dram (drumhead) atau kulit dram (drum skin) yang diregangkan pada kerangka dan perlu secara langsung diketuk atau dipalu menggunakan bahagian tubuh pemuzik atau alat seperti kayu untuk menghasilkan bunyi.

Teknik lain yang turut digunakan untuk menghasilkan bunyi adalah seperti thumb roll.

Dram boleh dianggap sebagai instrumen muzik tertua yang mana bentuk asal sesebuah dram itu masih kekal sejak beribu-ribu tahun sehingga kini. Kebanyakan dram boleh dianggap sebagai alat muzik yang tidak boleh diselaraskan atau untuned instrumens.

Bagaimanapun ramai pemuzik moden mula-mula membuat tuning dram untuk lagu, Terry Bozzio misalnya menciptakan perkakasan khusus menggunakan pelarasan bunyi dram diatonic dan chromatic.

Beberapa jenis dram seperti Timpani sering ditiun ke nada tertentu. Sering kali juga, beberapa dram disusun bersama untuk membentuk perkakasan dram yang boleh dimainkan oleh seorang pemuzik menggunakan kaki dan tangan.

Ada beberapa faktor yang menentukan bunyi yang dihasilkan dram termasuk jenis kerangka dram, jenis drumhead, dan tekanan ke atas drumheads. Bunyi dram yang berbeza-beza juga punya kegunaan berbeza dalam muzik contohnya pemain dram jazz mungkin mahukan dram yang bunyinya agak rangup, bersih dan sedikit lembut pada ketika tertentu, manakala pemain dram rock n roll pula mahukan bunyi yang kedengaran kuat dan mendalam.

Kerana pemain dram ini mahukan bunyi yang berbeza, dram mereka perlu dibentuk mengikut keperluan tertentu juga.

Dram biasanya dimainkan dengan tangan atau menggunakan satu atau dua kayu. Dalam budaya tradisional dram punya fungsi yang simbolik dan sering digunakan untuk upacara keagamaan. Dram juga digunakan sebagai terapi muzik, terutama dram tangan kerana sifatnya yang memerlukan sentuhan dan mudah dimainkan oleh pelbagai golongan masyarakat.

Bagaimanapun dalam lingkungan muzik popular dan jazz masa kini, dram biasanya ditujukan atau dimaksudkan perkakasan dram atau set dram dan pemain dram pula biasanya anggota sebuah band atau seseorang yang memainkan instrument itu. Pemain dram terkemuka yang memiliki skil tinggi dalam permainan dram adalah Michael Stephen Portnoy atau Mike Portnoy, anggota kumpulan Dream Theater yang memperjuangkan muzik progresif metal.

IMG03jdbkgm.jpg

Mike Portnoy, anggota kumpulan Dream Theater memiliki skil tinggi dalam permainan dram.
 
Seloka untuk bergurau, sindiran atau sinis

Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara umumnya, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai 'kadensa' yang sama seperti talibun dan prosa berirama.

Kata Seloka berasal daripada bahasa Sanskerta iaitu sloka. Apa yang dimaksudkan dengan seloka adalah bentuk puisi Melayu Klasik yang memuatkan perumpamaan yang berunsur senda gurau, jenaka, sindiran, impian, khayalan atau ejekan, menyindir secara serius atau mengkritik tingkahlaku dan sifat negatif.

Seloka biasanya ditulis dalam dua atau empat baris dan kadangkala enam baris menggunakan bentuk pantun atau syair, gurindam, talibun (bahasa berirama), teromba atau mantera.

Jika seloka itu terdiri daripada dua bait, maka ia akan tersusun menjadi dua kelompok yang masing-masing terdiri daripada empat baris yang masing-masing mengandungi 16 kata.

Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu lama adalah Seloka Emas Si Rendang, Seloka Pak Pandir. Berikut adalah contoh Seloka Pak Kaduk:

Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamanya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk​


IMG03subsas.jpg
 
Muzik fusion gabungan genre

Hampir semua genre muzik kecuali muzik tradisional berasal dari muzik fusion. Genre muzik fusion adalah genre yang menggabungkan dua atau lebih genre bersama. Sebagai contoh, rock and roll mengikut asal usulnya terbentuk daripada gandingan fusion antara blues, gospel dan muzik country.

Karakter utama genre fusion terletak pada variasi tempo, rhythm dan kadangkala usia perjalanan muzikal yang terbahagi kepada bahagian kecil setiap satu dengan dinamik, gaya dan tempo tersendiri.

Antara yang cenderung dengan genre fusion biasanya sukar untuk dikategorikan dalam kelompok gaya bukan fusion. Ini memandangkan sifatnya yang dipengaruhi pelbagai genre muzik. Sememangnya ada banyak sebab lain yang menyebabkan muzik fusion bersifat begini, antara yang paling utama ialah kebanyakan genre melalui evolusi selepas menyatu dan bercambah dari genre yang lain.

Apabila genre baru itu akhirnya berjaya membina identiti tersendiri dan berbeza dari yang lain seringkali terdapat ruang tertentu yang tidak dapat dikenal pasti pemuzik. Kalangan artis begini biasanya menganggap diri mereka sebahagian daripada kedua-dua genre.

Pemuzik yang cukup dominan dalam permainan muzik blues, dengan pengaruh rock sering dilabel sebagai pemuzik blue-rock. Genre induk atau pertama menjadi punca kepada percambahan satu lagi genre baru. Manakala genre kedua pula lebih baru dan kurang dominan dalam permainan seseorang artis.

Antara contoh kumpulan blues-rock adalah Stevie Ray Vaughan dan Double Trouble. Vaughan, seorang pemain gitar blues dari Texas dibesarkan dalam dunia yang didominasi muzik rock, menggunakan muzik rock dan blues bersama. Antara genre yang boleh dikategori sebagai fusion seperti folk punk, J-Ska, Rap rock, Blues Rock, Cantopop, Electrogoth, industrial rock, jazz rap, funk rock dan banyak lagi.

Reshmonu seorang penyanyi, komposer dan juga penerbit pernah membuka mata penggemar muzik tanahair menerusi album Monumental pada 2003 yang berkonsep fusion. Antara lagu yang menonjol Walk Away dan It's You That Matters. Menerusi album ini saja, Reshmonu mendapat tujuh pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2004 (AIM). Dia berjaya membolot tiga kategori iaitu Vokal Lelaki Terbaik, Artis Lelaki Terbaik (Inggeris) dan Kejuruteraan Album Terbaik.

IMG03mfgg.jpg
 
Gitar Fender pencetus revolusi industri muzik

Clarence Leonidas Fender, atau lebih dikenali sebagai Leo Fender adalah pencipta dan pengasas kepada jenama gitar yang cukup bermutu dan ternama di dunia iaitu gitar Fender. Gitar jenama ini cukup tersohor sehinggakan beberapa pemuzik terkemuka dunia lebih cenderung bermain dan memiliki gitar Fender berbanding gitar jenis lain.

Leo Fender dilahirkan pada 10 Ogos 1909 di rumah ladang milik keluarganya di Anaheim, California, Amerika Syarikat. Sejak kecil lagi, setiap kali ada kelapangan Leo cukup minat memperbaiki kelengkapan gitar elektronik.

Begitupun, ketika menuntut di sekolah tinggi, Leo bercita-cita untuk menjadikan bidang perakaunan sebagai kerjaya profesionalnya. Pada awal 1930-an, Leo mengahwini Esther Klosky dan bertugas sebagai akauntan di State of California Highway Department di San Louis Obispon.

Leo tidak dapat lari daripada menjadi mangsa kejatuhan ekomomi mengakibatkan dia kehilangan kerja. Sikapnya yang berani, panjang akal, berbakat dan kreatif mendorongnya untuk memulakan perniagaan. Dia meminjam wang AS$600 dan membuka kedai membaiki kelengkapan elektronik dipanggil Fender Radio Service.

Berkat kesabaran dan ketekunan, Fender mula mengembangkan sayap perniagaan membabitkan gitar dan juga amplifier. Leo akhirnya bertemu apa yang benar-benar diingininya dalam hidup dan keghairahan itu bertanggungjawab menjadikannya seorang usahawan berjaya.

Dia mereka cipta semula dan menambah baik teknologi gitar elektrik. Gitar ciptaannya cukup dikenali kerana mutu bunyi terkini dan berkualiti tinggi sehingga mampu mengubah revolusi dan wajah asal industri muzik. Beberapa tahun kemudian, Leo mula mengalami masalah kesihatan membimbangkan.

Namun, inovasi Leo tetap diteruskan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir. Leo pernah beberapa kali diserang angin ahmar dan akhirnya menderita penyakit Parkinson. Beliau meninggal dunia pada 21 Mac 1991.

Antara jenama gitar yang sehingga kini menjadi buruan pemuzik dan pengumpul gitar adalah Fender Broadcaster, Telecaster dan Stratocaster.

IMG03gfprim.jpg
 
Kenali gitar jenama Ibanez

Sebenarnya sejarah Ibanez - jenama gitar yang cukup terkenal sejak sekian lama bermula pada 1908. Bermula sebagai peniaga kedai muzik kecil-kecilan, Hoshino kemudian berkembang sebagai antara pengedar produk muzik di Nagoya Jepun.

Merenung sejarahnya sejak 45 tahun lalu, Hoshino sudah mula mengedarkan Spanish Gitar jenis Ibanez. Sekitar 1960-an, Hoshino akhirnya berjaya mendapatkan hak milik terhadap jenama Ibanez, mula mengeksport pelbagai jenis gitar dengan bentuk menarik dan funky ke Amerika Syarikat terutama di gedung membeli belah.

Begitupun, bagi kebanyakan peminat muzik semasa, jenama Ibanez melalui zaman kemuncaknya sekitar 30 tahun lalu apabila ketika itu Hoshino bertindak membuka cawangannya berdekatan Philadelphia, untuk strategi pemasaran yang lebih cekap di Amerika Syarikat.

Kebanyakan gitar Ibanez diedarkan ketika itu bukan saja berkualiti tinggi tetapi juga mahal harganya. Kebetulan ketika itu kebanyakan instrumen muzik buatan Amerika sedang melalui zaman merudum kerana harga melambung dan produk kurang berkualiti. Ibanez tiba pada saat dan ketika yang tepat.

Ternyata, Ibanez tidak pernah puas dengan imej yang kekal dan meniru produk sedia ada. Sejak, pengurusan Ibanez mula mereka cipta bentuk instrumen tersendiri seperti The Solid Body Artists (digunakan Bob Weir, gitaris The Dead); The Iceman (dipopularkan Paul Stanley, Kiss dan The George Benson Guitars, gitar kotak jazz pertama yang khusus dicipta untuk penggunaan high volume bagi persembahan pentas.

Kebanyakan gitar rekaan Ibanez terawal semakin tinggi nilainya terutama di kalangan peminat yang mengumpul gitar bernilai tinggi begini.

Era mengikut dan meniru bentuk gitar lain berakhir secara rasminya pada 1976 apabila pembuat gitar terbesar di Amerika Syarikat sudah tidak tahan lagi dengan kejayaan Ibanez dengan hanya meniru produk lain dan bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap Ibanez.

Biarpun dikenakan tindakan undang-undang, ketika itu Ibanez sudah terlalu jauh meninggalkan jenama lain yang ditiru dan semakin disegani dengan produk rekaan Ibanez tersendiri. Pertengahan 1980-an, minat dan permintaan terhadap gitar instrumental rock mula memuncak, ini menyebabkan Ibanez mengambil inisiatif untuk berkolaborasi dengan pemain gitar ternama dunia seperti Steve Vai, Joe Satriani dan Paul Gilbert dengan terhasilnya model JEM, JS, RG dan S.

Sehingga kini, versi dan model gitar ini masih dianggap versi standard gitar hard rock dan instrumental rock. Ibanez juga cukup dikenali kerana koleksi gitar jazz kotak termasuk model George Benson, Pat Matheny dan yang terbaru, John Scofield dalam bentuk semi akustik. Ibanez kini terus dikenali sebagai syarikat yang menjual gitar bass tertinggi di dunia.

IMG03kgji.jpg
 
Berendoi tanda kesyukuran

Berendoi adalah satu kesenian berunsur Islam. Untuk melaksanakan upacara ini, tiga atau empat orang akan berdikir atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara bercukur seorang bayi yang berusia tujuh hari. Biasanya buaian akan dihiasi indah. Bayi yang dicukur rambutnya akan diletakkan didalam buaian, dan mulalah nyanyian berendoi yang sarat dengan bait lirik yang memuji Rasullullah.

Ketika adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan ketika upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita.

Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut. Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di Perlis, Kedah, Selangor dan Perak. Di Perak, nyanyian berendoi menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan senikatanya berlainan dengan senikata yang dibawa kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah.

Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa senikata yang memuji junjungan Nabi Muhammad saw, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak, selain juga nasihat kepada kanak-kanak.

Ada juga senikata yang dicipta kumpulan ini disesuaikan mengikut keadaan semasa. Antara lagu yang sering didendangkan pada majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak Dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahayamata, Kebesaran Allah dan Aduhai Anak Jangan Durhaka.

Antara liriknya, "Ayuhai anak didalam buaian, Pejamkan mata jangan tangiskan, Lagu Berendoi kami dendangkan, Di dalam majlis tanda kesyukuran ... Lamalah sudah kami menanti, Namun engkau tak kunjung tiba, Dengan takdir Ilahi rabbi, Kini engkau sudah menjelma."

IMG03btk.jpg
 
Back
Top
Log in Register