Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
IMTF2030 Mampu Perkasa Pembangunan Masyarakat India Muslim - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada gimik pelancaran Peluncuran Indian Muslim Transformation Framework (IMTF) 2030 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (empat, kiri), Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tiga, kanan), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim (tiga, kiri) dan Presiden MUKMIN Datuk Shahul Dawood (empat, kanan).
Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) mampu menjadi kerangka penting dalam memperkasakan hampir 800,000 masyarakat India Muslim di negara ini, sekali gus menyokong pembangunan aspirasi Malaysia MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha yang digerakkan Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN) menerusi IMTF2030 itu, memperlihatkan kesungguhan mereka dalam memastikan agenda pembangunan masyarakat dilaksanakan secara lebih tersusun.
“Mereka (komuniti India Muslim) tidak ada mentaliti negatif. Mereka minoriti, tetapi melihat secara positif (kerana) ada keupayaan, kesungguhan, komitmen dan iltizam untuk membawa perubahan, serta menjana perubahan dengan program-program yang bermakna, termasuk peluncuran program IMTF 2030.
“Kerangka ini saya percaya jika dilaksanakan secara serius mampu mendukung hasrat murni Malaysia MADANI dengan mengambil langkah-langkah yang perlu,” kata beliau berucap pada majlis pelancaran IMTF2030 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dan Presiden Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN) Datuk Shahul Dawood.
Anwar yang memuji komuniti India Muslim, turut menyeru supaya mereka terus menjadi jambatan perpaduan dengan memperjuangkan kepentingan masyarakat tanpa meminggirkan hak kaum lain.
Sementara itu, Presiden MUKMIN Datuk Shahul Dawood berkata IMTF2030 merupakan kerangka transformasi lima tahun yang pertama dan komprehensif bagi komuniti India Muslim, yang menggariskan aspirasi bersama ke arah kecemerlangan pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan negara.
Beliau berkata ia bukan sekadar sebuah kerangka strategik, tetapi satu iltizam bahawa komuniti itu bersedia untuk berfikir secara kolektif, bertindak secara strategik dan menyumbang dengan lebih bermakna kepada masa depan Malaysia.
Shahul berkata pelancaran itu turut menandakan pencapaian awal signifikan menerusi MUKMIN Future Leaders Scholarship (MFLS), yang berjaya memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM10 juta, sekali gus membuka lebih 400 peluang biasiswa hasil kerjasama strategik dengan lapan institusi pengajian tinggi terkemuka.