combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,133
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,133
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Ibu Bapa, Jurulatih Jangan Pandang Ringan Sakit Lutut Remaja
Kredit: Sunway Medical Centre
Ibu bapa dan jurulatih sukan dinasihatkan supaya tidak menganggap sakit lutut berterusan dalam kalangan remaja sebagai kecederaan sukan biasa atau growing pains kerana ia mungkin merupakan tanda awal osteosarkoma, iaitu kanser tulang yang agresif.
Osteosarkoma merupakan kanser tulang yang kerap menyerang kanak-kanak dan remaja, dengan kira-kira 75 peratus kes berlaku sebelum pesakit mencapai usia 25 tahun dan kadar insiden sebanyak 4.4 kes bagi setiap sejuta orang setahun.
Pakar Bedah Onkologi Ortopedik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Tie Teck Liang berkata osteosarkoma lazimnya berkembang di sekitar kawasan lutut, menyebabkan simptomnya mudah disalah anggap sebagai kecederaan akibat aktiviti fizikal, seterusnya menyumbang kepada kelewatan diagnosis.
“Biasanya, sakit akibat kecederaan sukan akan berkurangan dengan rehat dan ubat tahan sakit. Namun, jika sakit berterusan lebih dua minggu, kekal teruk atau ubat tahan sakit tidak lagi berkesan, perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata corak kesakitan lebih penting untuk diberi perhatian berbanding tahap kesakitan semata-mata, terutama apabila kesakitan menyebabkan anak terjaga daripada tidur pada waktu malam, selain terdapat benjolan, kaki bengkak atau anak mula berjalan terincut-incut tanpa punca yang jelas.
Mengulas mengenai kesukaran mengenal pasti osteosarkoma pada peringkat awal, Dr Tie berkata berbeza dengan kecederaan tisu biasa, tumor kanser boleh membesar dengan cepat dalam tubuh kanak-kanak serta melibatkan saraf dan saluran darah berdekatan, sekali gus menjadikan rawatan lebih kompleks.
“X-ray merupakan langkah pertama yang lazim dalam menilai kesakitan tulang yang berterusan kerana ia boleh mendedahkan perubahan tulang yang tidak normal dan membantu doktor menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Beliau berkata sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan pada X-ray, pemeriksaan lanjut seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) mungkin diperlukan untuk menentukan saiz tumor serta hubungannya dengan saraf dan saluran darah berhampiran.
Dr Tie turut mengingatkan bahawa biopsi atau pengambilan sampel tisu perlu dirancang dengan teliti dan sebaiknya dilakukan oleh pakar bedah yang akan mengendalikan pembedahan muktamad pesakit bagi mengurangkan risiko pencemaran tisu.