combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,136
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,136
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jangan Pandang Rendah Laluan, Buat Persiapan Rapi Sebelum Mendaki
Persediaan rapi, disiplin serta kemampuan untuk tidak panik antara faktor paling penting perlu diberi perhatian setiap pendaki bagi mengelakkan insiden kehilangan atau kecemasan di kawasan pergunungan.
Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak Muzafar Mohamad berkata antara kesilapan paling kerap dilakukan pendaki ialah memandang rendah tahap kesukaran laluan, gagal membuat perancangan perjalanan yang teratur dan tidak membawa peralatan kecemasan asas.
Muzafar berkata peralatan seperti wisel, lampu suluh, kit kecemasan, alat pengesan lokasi (GPS tracker) dan bekalan makanan tambahan perlu menjadi keperluan asas setiap pendaki, bukan sekadar pilihan.
“Wisel misalnya amat penting kerana membantu pasukan penyelamat mengesan lokasi mangsa terutama ketika jarak penglihatan terhad, selain semasa keletihan dan tidak mampu menjerit meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muzafar berkata walaupun mempunyai pengalaman bertahun-tahun, ia bukan jaminan pendaki mampu menghadapi semua situasi kerana setiap gunung mempunyai cabaran tersendiri dari segi bentuk muka bumi, cuaca dan tahap kesukaran.
“Sebagai contoh trend pendakian kompres atau singkat yang semakin popular, memerlukan perancangan lebih teliti kerana tempoh perjalanan dipendekkan sehingga kira-kira satu pertiga daripada jadual asal.
“Apabila masa pendakian dipendekkan, margin kesilapan menjadi lebih kecil dan sebab itu perancangan logistik, kecergasan fizikal dan pengurusan risiko perlu dibuat dengan lebih terperinci,” katanya.
Selain itu, Muzafar berkata kebanyakan aktiviti pendakian di Malaysia memerlukan khidmat malim gunung bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi kecuali di beberapa kawasan tertentu yang tidak mewajibkannya.
Muzafar berkata cabaran utama operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pergunungan ialah kekangan komunikasi kerana kebanyakan lokasi pendakian tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang menyeluruh.