BTC USD 75,884.4 Gold USD 4,347.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Helikopter Bawa Lima Penumpang Terhempas Berdekatan Long Lellang STOLport

Nahas Helikopter: Lima Jasad Diserah Kepada Waris​

3431dfd933434a0d693ad4f0ee594e956aa27e4fa6b70

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, diserahkan kepada waris masing-masing hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata dengan selesainya proses penyerahan itu, urusan seterusnya termasuk membawa pulang jasad ke kampung halaman akan dikendalikan waris dengan bantuan pihak berkaitan.

“ … kita telah menyerahkan kesemua mangsa kepada waris untuk proses selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Hospital Miri, di sini hari ini.

Beliau berkata pengaturan penerbangan akan dibuat mengikut keperluan setiap keluarga, dengan sebahagiannya dijangka diterbangkan esok.

“Sebahagian daripada mereka mungkin menggunakan penerbangan komersial, manakala penerbangan lain turut dipertimbangkan bergantung pada pengaturan yang dibuat,” katanya.

Polis turut melaksanakan proses pengecaman barangan peribadi mangsa untuk diserahkan kepada waris masing-masing.

Mohamad Zainal berkata siasatan bagi menentukan punca sebenar nahas kini diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Helikopter yang menjalankan penerbangan FDS itu terhempas di Long Lellang, Baram, pada Selasa lepas, mengorbankan lima individu.

 
Company serawak ke yg dpt tender utk sediakan khidmat penghantaran khidmat kesihatan.. ?
 

Jenazah Dr Ainul, Kapten Zainol Dibawa Pulang Hari Ini​

a8f29757da704d94394569ddff771a956aa5efcd63d43


Jenazah Dr Ainul Baraah Kamaruddin dan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, dua daripada lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Selesai urusan di Jabatan Forensik Hospital Miri yang bermula 4 pagi, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Jamal Ad-Din, Taman Jelita, Taman Tunku di sini untuk disembahyangkan.

Solat jenazah yang diadakan selepas solat Subuh itu diimamkan Imam Bahagian Miri Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai lebih 300 jemaah termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa.

Bapa Kapten Zainol, Bee Sham Ahmad dan bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, dalam ucapan selepas solat jenazah, merakamkan penghargaan kepada jemaah yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada anak mereka.

Kedua-duanya turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan anak masing-masing, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamal Ad-Din Bujang Julaihi berkata ini merupakan kali pertama jemaah masjid berkesempatan menunaikan solat jenazah bagi dua insan yang disifatkan wira kerana khidmat dan pengorbanan mereka kepada masyarakat Sarawak.

"Inilah kali pertama bagi kita di sini, apatah lagi mereka adalah wira yang menabur bakti di Miri.

"Mereka akan dirindui di Miri, khususnya oleh penduduk di Ulu Baram yang menerima khidmat mereka," katanya.

Jemaah kemudian memberikan penghormatan terakhir sebelum kedua-dua jenazah dibawa ke Lapangan Terbang Miri pada 6.15 pagi.

 

Jasad Lima Mangsa Nahas Helikopter FDS Diserah Kepada Keluarga - Dzulkefly​

212e0ecee1e56501bf437d29397b71a26aa6132cbc4b5

ffc88c39538d401c0e582e07427e579a6aa60d8d34bd0


Urusan penyerahan jasad lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak kepada keluarga dilakukan pagi ini di Jabatan Forensik Hospital Miri selepas identiti mereka disahkan menerusi analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyelaraskan pergerakan mangsa ke tempat persemadian susulan pengesahan rasmi identiti yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau memaklumkan jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

“Jasad jururawat Debra Moset akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada esok manakala Jessie Paya Jok dibawa ke rumahnya hari ini dengan urusan pengebumian dilakukan di BEM Cemetery Lambir, Miri pada Isnin.

“Jasad penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry akan dibawa dari Hospital Miri ke rumahnya pada hari ini dan urusan pengebumian akan dibuat pada Selasa di Anglican Cemetery Lambir, Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly memaklumkan jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan penerbangan Malaysia Airlines untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hingga pengurusan jasad termasuk PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta pengurusan Hospital Miri.

“KKM juga berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kemudahan logistik TUDM bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM terus memperkukuh kerjasama strategik dengan JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk tujuan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh.

 

Dzulkefly Imamkan Solat Jenazah Dr Ainul Baraah​

f1285a322da78ef720bd817435a5e2796aa64197c2d42

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) mengimamkan jenazah Allahyarhamah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33 di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengimamkan solat jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini pada 1.37 tengah hari tadi.

Solat jenazah itu disertai lebih 1,000 jemaah termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Kasuadi Hussin dan ahli keluarga serta sahabat Allahyarham.

Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, berkata pihak keluarga memberi kebenaran kepada Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada Menteri Kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia termasuk saudara-mara serta sahabat kerana sentiasa mendoakan arwah anak,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Dr Ainul Baraah dari Miri, Sarawak tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada 11.21 pagi.

Dr Ainul Baraah, 33, antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.

Nahas turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

 

Nahas Helikopter: Suami Dr Ainul Baraah Rakam Penghargaan​

3fc83345c54e08da0ea629afa6fae2436aa64dfddcf94

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memeluk suami Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Muhammad Faiz Abdul Malek sebaik jenazah pegawai perubatan itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada 11.21 pagi. Jenazah Dr Ainul Baraah, mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Suami kepada Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan serta membantu dalam pengurusan jenazah isterinya sehingga selesai.

Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak serta Kerajaan Kelantan banyak memudahkan segala urusan membabitkan pengurusan arwah.

"Takdir sudah terjadi, namun Alhamdulillah perjalanan dipermudah. Saya mendapat sokongan daripada semua, sama ada kawan-kawan yang mengenali saya mahupun yang tidak mengenali saya.

"Bagi saya, itu satu rezeki untuk arwah kerana mendapat sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua termasuk pihak media," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata urusan di Sarawak sejak insiden berkenaan berlaku berjalan lancar meskipun mengambil sedikit masa, selain terdapat ketidaktentuan berhubung maklumat pada peringkat awal.

"Namun, tidak mengapa kerana semua urusan dapat diselesaikan lebih awal daripada jangkaan, termasuk proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.

Muhammad Faiz berkata beliau reda dengan ketentuan Allah SWT, namun mengakui ada ketika kenangan bersama Allahyarham kembali bermain di fikiran.

Terdahulu, jenazah Dr Ainul Baraah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper pada 2.20 petang selepas solat jenazah di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini.

Dr Ainul Baraah antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.

 

KKM Nilai Semula Kontrak Berkaitan Perkhidmatan FDS - KP Kesihatan​

9173794bcdf6c846255a170c727d63df6aa64e2ae842f

Datuk Dr Mahathar Abd Wahab

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula semua kontrak berkaitan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) susulan nahas di Long Lellang, Baram, Sarawak, Selasa lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata penilaian dan semakan itu merangkumi semua aspek kontrak tersebut termasuk perkara berkaitan FDS selaras dengan arahan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Sebagaimana yang telah disebutkan dalam kenyataan oleh Yang Berhormat Menteri, kita akan menilai semula semua kontrak yang terkait dengannya, semua sekali akan dinilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, di sini hari ini.

Dr Mahathar berkata kadar bayaran elaun kepada petugas FDS juga akan dinilai dalam semakan yang dijalankan.

Pada 10 Sept lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan dan keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

Semua operasi FDS di Sarawak juga ditangguhkan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan semakan menyeluruh dilakukan terhadap mekanisme keselamatan serta operasinya.

Langkah itu diambil susulan nahas membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi FDS di Long Lellang pada Selasa dan mengorbankan kesemua lima individu termasuk empat petugas KKM.

 

Kapten Zainol Afiq Idola Keluarga, Pemergiannya Tinggalkan Duka Mendalam​

3acc12a0c86487857bc9931fba8105696aa672145db65

c93d37fb1854710621b7f5d6093deb556aa6720b8acf8

0aa371fdca38346e083c1d16636df88b6aa674c456639

c8ceedaf3496b89ef13b00258e531dfa6aa674b873c86


Pemergian Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Baram, Sarawak, meninggalkan duka mendalam kepada seluruh ahli keluarga yang menyifatkan beliau sebagai insan yang sukar dicari ganti.

Bapa saudara sebelah isteri Allahyarham, Hashim Mohd Harun, 58, berkata Zainol Afiq bukan sahaja seorang anak saudara dan ahli keluarga yang prihatin, malah menjadi figura ikutan serta idola kepada anak-anak saudara dalam keluarga berikutan pencapaian dan keperibadiannya yang tinggi.

“Ini memang satu kehilangan yang sangat besar untuk kami. Arwah seorang yang sangat berjaya walaupun pada usia muda, beliau berjaya membina karakter yang amat disanjung tinggi dan menjadi idola kepada ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Bandar Baru Senawang di sini hari ini.

Hashim berkata anak saudaranya itu merupakan seorang yang berdedikasi dan tidak pernah mengambil mudah setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata Allahyarham juga amat menyayangi keluarga dan sentiasa memastikan hubungan kekeluargaan terpelihara tanpa membezakan antara keluarga sebelah sendiri mahupun keluarga isterinya.

“Arwah amat sayangkan keluarga. Bagi beliau, tidak ada beza sama ada keluarga sebelah isteri mahupun sebelah diri sendiri. Kami semua disatukan dalam satu keluarga yang cukup harmoni,” katanya yang berasal dari Pahang.

Sementara itu, keperibadian murni Allahyarham Zainol Afiq turut diakui rakan zaman sekolahnya,  Dr Muhammad Fauzan Baharum, 31, yang menyifatkan pemergian sahabatnya itu sebagai satu kejutan yang sukar diterima.

Dr Muhammad Fauzan mengenali arwah sejak tingkatan empat dan menyifatkannya seorang yang sangat mesra, peramah, dan tidak pernah mempunyai sebarang perselisihan faham dengan mana-mana pihak.

"Sepanjang saya mengenali arwah, dia memang tak pernah ada masalah dengan sesiapa sama ada dengan junior mahupun senior. Beliau seorang yang sangat peramah dan sentiasa cuba membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan," katanya.

 

Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Selamat Dikebumikan Di Senawang​

c71ef08b5e15284acbaf9e4f81e9b9d36aa6841c0b7a1

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Masjid Bandar Baru Senawang hari ini.

Allahyarham merupakan juruterbang Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter ketika menjalankan misi membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 Sept lalu.


Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Baram, Sarawak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang di sini pada 6.04 petang tadi.

Solat jenazah Allahyarham Zainol Afiq disempurnakan selepas solat Asar di Masjid Bandar Baru Senawang, yang diimamkan bapanya, Bee Sham Ahmad dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Allahyarham Zainol Afiq antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.

Nahas turut mengorbankan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40, serta pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33.

Dalam pada itu, Bee Sham, 59, turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir serta memberikan sokongan kepada keluarganya sepanjang lima hari berada di Miri, Sarawak bagi urusan membawa pulang jenazah anaknya itu.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Sepanjang lima hari di sana, kami sedaya upaya berusaha untuk membawa dan menguruskan jenazah anak kami supaya dapat dikebumikan di sini.

“Sepanjang hidup saya bersamanya, dia seorang anak yang baik. Memang dari awal lagi dia bercita-cita untuk menjadi juruterbang...dia menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam tugasnya,” katanya selepas selesai solat jenazah di masjid berkenaan.

Pengebumian Allahyarham Zainol Afiq hari ini turut dihadiri ratusan ahli keluarga, rakan dan kenalan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, serta dua cahaya mata, Adelia Sofia, 6, dan Ian Zayn, sembilan bulan.

 

Nahas Helikopter Long Lellang: Polis Teliti Laluan Penerbangan, Lokasi Isi Minyak​

3431dfd933434a0d693ad4f0ee594e956aa27e4fa6b70

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Polis memperluas siasatan berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram dengan meneliti beberapa lokasi berkaitan, termasuk tempat pesawat itu mengisi minyak serta laluan penerbangannya sebelum kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata langkah itu antara lain bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang perkara luar biasa yang boleh membantu siasatan.

Beliau berkata setakat ini, tiada petunjuk menunjukkan nahas berkenaan berpunca daripada unsur selain kemalangan, namun semua kemungkinan tetap diambil kira bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh.

“Setakat ini pihak kita telah merakam keterangan daripada 19 saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu sekiranya diperlukan, selain kembali ke lokasi-lokasi berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri makan malam bersama media tempatan di sini malam ini.

Mohamad Zainal berkata siasatan turut merangkumi keseluruhan kronologi penerbangan, bermula ketika helikopter itu berlepas dari Miri hingga ke destinasi terakhir, termasuk meneliti rekod penerbangan serta kemungkinan terdapat panggilan kecemasan.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan teknikal berhubung nahas berkenaan diserahkan kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberikan bantuan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata tempoh menyelesaikan siasatan bergantung kepada jumlah keterangan tambahan yang perlu dirakam serta lokasi yang perlu diperiksa semula, namun pihaknya akan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.

Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.

 
Back
Top
Log in Register