FPMPAM Cadang Kerangka Nasional Lindungi Petugas Barisan Hadapan
Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menyarankan penubuhan jawatankuasa antara agensi bagi merangka dalam tempoh enam bulan, satu kerangka menyeluruh untuk melindungi penjawat awam dan keluarga mereka daripada risiko pekerjaan luar biasa.
Presidennya Dr Shanmuganathan T V Ganeson berkata Kerangka Perlindungan Risiko Pekerjaan Kebangsaan bagi Petugas Barisan Hadapan yang dicadangkan perlu menyediakan perlindungan insurans minimum dan perlindungan dalam kes kematian serta hilang upaya kekal, selain mekanisme pampasan dan telah ditetapkan kepada petugas serta tanggungan.
FPMPAM turut merakamkan takziah susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran landangan STOLport Long Lellang di Baram, Sarawak pada 8 Sept lepas, yang mengorbankan lima nyawa.
Mereka yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta jururawat Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.
“Kematian mereka seharusnya mendorong kita meneliti bagaimana Malaysia melindugi petugas awam yang dikehendaki, dalam menjalankan tugas, melaksanakan tanggungjawab yang melibatkan risiko luar biasa,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL) Dr Eugene Chooi Yuo Hao hari ini.
Sambil menyambut baik semakan dan siasatan yang diumumkan susulan tragedi itu, Dr Shanmuganathan berkata siasatan berhubung nahas berkenaan perlu dijalankan secara bebas tanpa sebarang spekulasi kerana perhatian masyarakat terhadap tragedi itu mungkin beralih, sedangkan isu sistemik yang berkaitan masih belum diselesaikan.
Beliau berkata penentuan punca nahas merupakan perkara berbeza daripada penilaian sama ada petugas yang dihantar menjalankan tugas dalam persekitaran berisiko diberikan perlindungan sewajarnya.
Katanya, perkara itu merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan, syarat perkhidmatan awam, insurans dan pampasan, keselamatan penerbangan dan pengangkutan, perolehan kerajaan, liabiliti kontrak serta tanggungjawab kontraktor swasta.
Dr Shanmuganathan berkata tiada satu kementerian yang mampu menangani semua perkara berkenaan secara menyeluruh, justeru, mencadangkan supaya jawatankuasa itu diselaraskan di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan penglibatan wakil Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), pihak berkuasa pengangkutan dan penerbangan berkaitan serta Jabatan Peguam Negara.