BTC USD 75,884.4 Gold USD 4,347.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Helikopter Bawa Lima Penumpang Terhempas Berdekatan Long Lellang STOLport

Proses Bedah Siasat Mangsa Nahas Helikopter Masih Belum Selesai - Pesuruhjaya Polis Sarawak​

3431dfd933434a0d693ad4f0ee594e956aa27e4fa6b70

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Proses bedah siasat kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, pada Selasa lepas masih belum selesai setakat 5 petang ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

“(Bedah siasat) masih berjalan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan, proses bedah siasat berkenaan yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mengambil masa berikutan keadaan jasad mangsa yang rentung dan tidak sempurna, sekali gus memerlukan pemeriksaan dilakukan secara teliti.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pintu pagar ke Jabatan Forensik Hospital Miri ditutup dan orang luar tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Pengamal media yang menunggu sejak pagi di lobi utama bangunan lama hospital itu juga tidak melihat kelibat waris mangsa di kawasan berkenaan.

Pihak Bernama difahamkan selepas proses bedah siasat selesai, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia di Kuching untuk dianalisis bagi proses pengecaman rasmi.

Selepas proses analisis dan pengecaman selesai, barulah jasad mangsa dapat dituntut waris masing-masing untuk dibawa pulang.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

 

Nahas Helikopter: KPWKM Sedia Beri Bantuan Kaunseling Pada Keluarga Mangsa​

0d65dfdc90df547a697c24b8af340ea86aa27fc3e8e7f

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: AAGS & EVAW.

-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan bantuan kaunseling kepada ahli keluarga mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya sentiasa bersedia memberikan bantuan itu, namun pada masa yang sama keluarga mangsa perlu diberikan masa untuk mendepani kejadian itu terlebih dahulu.

"Seperti biasa memang kami sudah bersiap sedia dari segi kaunseling sebab bila kita nak memberi kaunseling ini kita sendiri perlu bersedia, perkara ini bukan perkara yang mudah.

"Hal ini melibatkan nyawa dan keluarga dalam keadaan yang begitu hiba, sedih, jadi kaunselor itu adalah yang betul-betul memahami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna: Advokasi Anti Gangguan Seksual (AAGS) dan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di sini hari ini.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang.

Nahas helikopter itu berlaku ketika pesawat berkenaan membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

 
Kkm kn naikkan gaji doktor
Tu je solusinya
Naik gaji doktor 40 ribu sebulan pun, kalau heli buruk, sape yang nak naik heli lagi.

tukar heli baru yang lebih baik la.....baru betul solusinya....potong elaun para menteri dan beli heli baru untuk doktor masuk kawasan pedalaman..
 

Jenazah Dr Ainul Dijangka Dibawa Pulang Ke Kelantan Esok - Suami​

a043ff997e5298ff0ed9bf0ae45f4bc26aa03aeb5eac0

Kamarudin Salleh, bapa kepada salah seorang penumpang helikopter yang terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak, Dr. Ainul Baroah, menunjukkan gambar anaknya (dua, kiri) bersama ahli keluarga ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini malam ini. Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok sekiranya proses pengesahan identiti selesai.

Suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata pihak Kementerian Kesihatan bersama-sama agensi berkaitan kini berusaha mempercepat proses tersebut bagi kelima-lima mangsa yang terkorban.

“Sekiranya proses itu selesai, jenazah arwah isteri saya dijangka dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima mangsa, termasuk isterinya, akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Kuching untuk dianalisis bagi membantu proses pengecaman.

“Barangan peribadi milik arwah juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa semalam untuk proses pengecaman,” katanya.

Muhammad Faiz berkata beliau bersama-sama ibu dan bapa mentuanya kini berada di sebuah hotel di Miri sementara menunggu perkembangan daripada pihak hospital dan pihak berkuasa.

“Buat masa ini kami sekeluarga belum dibenarkan melihat jenazah arwah dan masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa. Mungkin petang ini kami akan dibawa ke hospital,” katanya.

Pada Rabu lepas, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.

 

Proses Bedah Siasat Mangsa Nahas Helikopter Selesai - Polis​

96301f4a0c73efd4ba9290735f9987a26aa3988f8508d

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram.

Proses bedah siasat kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, pada Selasa lepas selesai pada 7.30 malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah disebabkan kecederaan melecur teruk.

“Buat masa ini kita (polis) sedang menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan secara saintifik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

 

MAPSU Gesa KKM Perkukuh Aspek Keselamatan Perkhidmatan Kesihatan Udara, Sungai Dan Laut​

3163b80b05074aa9a12619e0f628a6f16aa0119a893a4

Gambar fail Bernama

Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya memperkukuh aspek keselamatan perkhidmatan kesihatan udara, sungai dan laut susulan insiden nahas helikopter di Long Lellang baru-baru ini.

Presiden MAPSU Ajulahin Japin menegaskan keselamatan petugas kesihatan perlu diberikan perhatian serius serta bersifat pencegahan.

“Walaupun punca sebenar kejadian hendaklah diserahkan kepada siasatan rasmi, MAPSU berpandangan aspek keselamatan dalam semua bentuk pengangkutan yang digunakan bagi penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman mesti diberi perhatian serius dan bersifat pencegahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ajulahin berkata perkhidmatan kesihatan di Sarawak, Sabah dan kawasan pedalaman Semenanjung amat bergantung kepada pengangkutan udara, sungai dan laut.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KKM tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada keselamatan penerbangan, sebaliknya perlu memastikan perjalanan menggunakan bot dan pengangkutan air turut mematuhi standard keselamatan yang ketat.

Menurut Ajulahin, suara dan pengalaman petugas kesihatan di lapangan perlu diambil kira dalam merangka serta menambah baik prosedur keselamatan kerana mereka adalah pihak yang paling mengetahui risiko sebenar di kawasan pedalaman.

Pada Selasa lepas, helikopter BO-105 terhempas berdekatan Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang (STOLport) di Miri, Sarawak yang mengorbankan lima individu, termasuk juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

 

Analisis DNA Lima Mangsa Nahas Helikopter Dijangka Selesai Esok​

3431dfd933434a0d693ad4f0ee594e956aa27e4fa6b70

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Analisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang pada Selasa lepas dijangka selesai selewat-lewatnya esok.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata selepas analisis DNA selesai baru jenazah akan diserahkan kepada waris masing-masing.

“Kita jangka analisis DNA lima mangsa mungkin dapat disiapkan selewat-lewatnya esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, proses bedah siasat kesemua lima mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital selesai dengan punca kematian disebabkan kecederaan melecur teruk.

Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

 

Keputusan DNA Mangsa Nahas Helikopter Diperoleh, Penyerahan Jasad Hari Ini - Polis​

3431dfd933434a0d693ad4f0ee594e956aa27e4fa6b70

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang telah diperoleh dan proses penyerahan jasad akan dilakukan hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata penyerahan jasad mangsa kepada waris akan dilakukan selepas semua proses dokumentasi berkaitan diselesaikan.

“Hari ini kita akan serahkan jasad mangsa. Setelah selesai dokumentasi, jasad akan diserahkan kepada keluarga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, persiapan bagi persemadian tiga daripada lima mangsa sedang dilakukan oleh keluarga masing-masing.

Jasad pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry akan disemadikan di Tanah Perkuburan Anglican di Lambir selepas upacara keagamaan yang akan diadakan di Gereja Good Shepherd di Lutong pada 9 pagi, Selasa ini.

Adik mendiang, Annastasia Luyah dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan upacara penghormatan terakhir akan diadakan pada Isnin ini di kediaman keluarga mereka di Taman Desa Senadin di sini.

Upacara penghormatan terakhir buat mendiang kedua-dua jururawat iaitu Jessie Paya Jok akan diadakan di Taman Wang Lusut, di sini manakala Debra Moset di Kampung Semadang di Padawan, Kuching, namun tarikh persemadian belum dimaklumkan.

Nahas pada Selasa lepas itu meragut nyawa kesemua lima individu yang menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace selepas helikopter itu terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.

Selain Alexson, Jessie dan Debra, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, dan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33.

 

Jenazah Kapten Zainol Dikebumikan Selepas Asar Esok - Bapa​

ace116ab05f32b24ca5f515586f9b16f6aa527e098aad

Kapten Zainol Afiq Bee Sham - Kredit: Bee Sham Ahmad

Jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham dijangka dibawa pulang ke Negeri Sembilan esok untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang (Forest Heights) di sini selepas solat Asar.

Bapanya Bee Sham Ahmad, 59, berkata mengikut rancangan perjalanan diterima keluarga, jenazah dijadualkan dibawa pulang dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2575 yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri, Sarawak pada 12.10 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.30 petang.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang yang dijangkakan pada 4.30 petang manakala urusan pengebumian dijangkakan pada 5.30 petang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bee Sham berharap urusan membawa pulang dan pengebumian anaknya dipermudah serta berjalan lancar.

Zainol Afiq, 30, antara lima yang terkorban dalam nafas helikopter membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang terhempas dan terbakar berhampiran penghujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram pada Selasa lepas.

Nahas turut mengorbankan empat petugas kesihatan, iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry dan dua jururawat Jessie Paya Jok serta Debra Moset.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kesemua mangsa telah diperoleh dan proses penyerahan jasad kepada ahli keluarga akan dilakukan hari ini.

 
Back
Top
Log in Register