Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,757
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,757
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Hasil Jawatankuasa Kerja Tangani Scam Dibawa Ke Kabinet Dalam Masa Terdekat - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada pelancaran M360 GSMA ASEAN hari ini.
Hasil siri perbincangan jawatankuasa kerja khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata satu nota Jemaah Menteri sedang disediakan bagi memperincikan beberapa keputusan penting yang dicapai hasil libat urus jawatankuasa berkenaan.
“Jawatankuasa kerja itu telah mengadakan siri perbincangan dan saya akan membawa nota Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk memaklumkan beberapa keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan M360 ASEAN 2026 di sini hari ini.
Fahmi berkata jawatankuasa itu disifatkan unik kerana buat julung kalinya menghimpunkan bank komersial, syarikat telekomunikasi dan penyedia platform digital termasuk TikTok dalam usaha bersepadu mengekang jenayah penipuan dalam talian.
Katanya perbincangan turut meneliti kemungkinan wujud kelompongan dalam perundangan sedia ada, selain ruang memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam siasatan kes penipuan.
Beliau berkata kerjasama rentas agensi itu melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia.
Penubuhan jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas itu diumumkan sebelum ini bagi menyelaras tindakan kerajaan, pengawal selia, agensi penguatkuasaan, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan platform digital dalam menangani penipuan dalam talian.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata empat operasi besar yang menyasarkan pemilikan dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) sejak Disember 2024 menyaksikan 117 individu ditahan di 162 lokasi.
Lebih 1.47 juta fail digital dirampas dalam operasi berkenaan, dengan 204,934 daripadanya disahkan sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak.