SINGAPURA: Singapura mengutip hasil cukai sebanyak S$88.9 bilion bagi tahun kewangan 2024/2025, naik sebanyak 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang "mantap" dan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Khamis (11 Sep).
Jumlah hasil cukai yang dikutip itu mewakili kira-kira 76.9 peratus daripada hasil operasi pemerintah dan 12.2 peratus daripada
Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura.
"Cukai yang dikutip memainkan peranan penting dalam menyokong perkhidmatan awam yang penting, memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan persekitaran hidup kita, dan membolehkan program-program sosial yang mempertingkatkan kehidupan rakyat Singapura," menurut IRAS.
Kadar tunggakan untuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai pendapatan, dan cukai harta tanah kekal rendah pada 0.66 peratus.
IRAS menyatakan walaupun pematuhan cukai kekal tinggi, ia mengambil tindakan tegas terhadap "sebilangan kecil pembayar cukai yang sengaja mengelak daripada memenuhi kewajipan cukai mereka".
Ia sudah mengaudit dan menyiasat lebih 8,600 kes dalam tahun kewangan lalu, memulihkan kira-kira S$507 juta dalam bentuk cukai dan denda.
PERINCIAN HASIL CUKAI
Cukai pendapatan korporat kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kutipan hasil cukai pada 34.8 peratus, meningkat 6.7 peratus kepada S$30.9 bilion dari S$29 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh.
GST merupakan bahagian kedua terbesar kutipan hasil cukai pada 22.6 peratus, atau S$20 bilion, meningkat daripada S$16.6 bilion pada tahun kewangan lepas. Peningkatan ini mencerminkan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dan pelarasan kadar GST daripada 8 peratus kepada 9 peratus mulai 1 Januari 2024.
Cukai pendapatan individu menyumbang bahagian ketiga terbesar kutipan hasil pada 21.5 peratus, meningkat dari S$17.5bilion pada Tahun Kewangan 2023 kepada S$19.1 bilion, didorong oleh gaji yang lebih tinggi dan kenaikan jumlah pembayar cukai.
Cukai hartanah menyumbang 7.5 peratus daripada kutipan hasil, atau S$6.6 bilion, manakala kutipan duti setem membentuk 7.4 peratus daripada kutipan hasil, juga S$6.6 bilion. Peningkatan dalam kutipan duti setem daripada S$5.8 bilion sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah urus niaga hartanah.
Dalam tahun kewangan lalu, IRAS memproses lebih S$1.3 bilion pembayaran kepada kira-kira 127,500 perniagaan, memberikan sokongan untuk perniagaan, pekerja dan pekerjaan. Geran-geran tersebut diproses di bawah pelbagai skim, termasuk kira-kira S$924 juta di bawah skim kredit upah progresif, S$277 juta di bawah skim Kredit Pekerjaan Warga Emas dan S$51 juta di bawah skim Imbangan Peralihan CPF.
Hasil cukai SG naik 10.7%, hampir S$89 bilion dikutip
SINGAPURA: Singapura mengutip hasil cukai sebanyak S$88.9 bilion bagi tahun kewangan 2024/2025, naik sebanyak 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang "mantap" dan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, menurut Penguasa Hasil Mahsul...
