Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,774
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,774
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Hari TVET Negara 2026 Buka Tirai Di Dataran Putrajaya, Dijangka Tarik 500,000 Pengunjung
Kredit: FB - Zahid Hamidi
Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung membuka tirainya hari ini, dengan mengetengahkan peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan pemacu daya saing ekonomi negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan kemuncak sambutan itu pada 10 pagi esok.
Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan selama tiga hari sehingga Ahad di Dataran Putrajaya di sini, bermula 9 pagi hingga 10 malam, menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Hari TVET Negara 2026 menyajikan pelbagai program serta aktiviti menarik bagi memberi peluang kepada pengunjung menerokai enam hab utama, iaitu penglibatan institusi TVET dan industri, seminar TVET, karnival kerjaya TVET, usahawan TVET, cabaran TVET serta hiburan berinformasi TVET.
Ahli Majlis TVET Negara Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata persiapan rapi telah dijalankan bagi memastikan pengunjung mendapat manfaat sambil menyifatkan sambutan kali ini bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya menjadi platform nasional yang menghubungkan pendidikan, industri dan peluang pekerjaan dalam satu ekosistem yang lengkap.
“Antara tarikan utama tahun ini ialah Karnival Kerjaya yang menawarkan hampir 3,000 peluang pekerjaan dan temu duga terbuka kepada pengunjung, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan.
“Ini membuktikan TVET hari ini bukan lagi dianggap sebagai laluan kedua, sebaliknya sudah menjadi pilihan utama kerjaya yang mampu menjamin kebolehpasaran tinggi serta pendapatan kompetitif kepada anak muda,” katanya kepada Bernama.
Mohamed Khairul Azman ketika mengulas mengenai penglibatan 30 pempamer dari China pada sambutan itu berkata komitmen berkenaan mencerminkan penglibatan industri antarabangsa yang semakin kukuh, sekali gus menunjukkan keyakinan global terhadap pembangunan ekosistem TVET negara.