BTC USD 75,957.0 Gold USD 4,272.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hantu Janet: Wanita Serba Merah dari Kuching, Sarawak

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
1773291443314.png



HANTU JANET - WANITA SERBA MERAH DARI KUCHING

~ Kisah Legenda Sarawak yang Terkenal Sampai ke Jepun ~



Kalau korang dari Sarawak, terutama Kuching, mesti pernah dengar pasal Hantu Janet.

Tapi kalau korang bukan orang Sarawak – duduk tenang. Sebab cerita ni bukan sekadar dongeng nenek moyang. Kisah ni cukup power sampai –

  • Masuk komik manga Jepun yang menang anugerah. Nama manga tu: "3x3 Eyes" (1987-2002) oleh Yuzo Takada.
  • Lepas tu jadi watak dalam permainan video, dan
  • Diangkat jadi filem KRU pada tahun 2021 bertajuk "Janet: Sumpahan Terlarang", arahan Mohd. Azhar Mohd. Khalid.


Kuching, Akhir 1960-an


Pada penghujung dekad 60an, bandar Kuching tengah rancak membangun.

Salah satu projek mega ketika itu ialah pembinaan struktur besar di Jambatan Satok - jambatan gantung pertama Sarawak yang asalnya dibina pada zaman Raja Brooke tahun 1926. Jambatan ni penting sangat - dia jadi penghubung antara pusat bandar Kuching dengan kawasan Matang di seberang Sungai Sarawak.

Tapi ada masalah besar.

Kerja-kerja pembinaan selalu tergendala. Jentera rosak. Pekerja sakit misteri. Kemalangan tak masuk akal. Ada yang kata struktur konkrit yang dah siap tiba-tiba retak tanpa sebab. Ada yang kata nampak benda pelik malam-malam.

Orang tua-tua kampung mula berbisik sesama sendiri:

"Penunggu tak bagi. Dia minta sesuatu."



Ritual Korban Semah


Walaupun Rajah Charles Brooke dah haramkan amalan "korban semah" sejak tahun 1940-an, kepercayaan ni masih kuat dalam kalangan sesetengah golongan.

Apa tu korban semah?

Dalam kepercayaan tahyul zaman dulu, setiap pembinaan besar - jambatan, bangunan tinggi, empangan - ada penunggunya. Makhluk halus yang menjaga kawasan tu dari zaman berzaman. Kalau tak diberi "persembahan", kerja pembinaan akan selalu kena ganggu.

Dan dikatakan, persembahan yang paling berkuasa ialah… Kepala manusia.

Bukan sembarangan kepala. Kepala anak dara - gadis perawan. Kepala tu akan dipancung dan ditanam dalam tiang konkrit utama. Kononnya, ini akan menguatkan struktur dan menenangkan penunggu. Memang kejam gila. Tapi inilah realiti kepercayaan yang berleluasa pada masa tu.

Dan pada waktu yang sama dengan pembinaan Jambatan Satok sedang tergendala... seorang demi seorang gadis di Kuching mula hilang tanpa jejak.



Siapa Janet?


Janet adalah seorang gadis keturunan Tionghua berumur awal 20-an. Cantik, kata orang yang pernah kenal dia. Senyuman manis, suara lembut. Ramah.

Dia bekerja sebagai jururawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) - yang sekarang dikenali sebagai Sarawak General Hospital. Ada yang kata dia anak kepada salah seorang doktor yang bertugas di situ.

Janet ni rajin kerja. Dia selalu ambil syif malam. Dan selepas habis kerja, hobi dia satu je - pergi menonton wayang di Panggung Cathay yang terletak berhampiran Masjid Bahagian Kuching. Dia suka sangat filem-filem tengah malam.

Pada satu malam yang tak dapat dipastikan tarikhnya, Janet bertugas syif lewat seperti biasa.

Dalam satu versi cerita, malam tu istimewa - tunang dia baru dapat tawaran sambung belajar di luar negara. Janet hantar tunang tu ke Lapangan Terbang Kuching sorang-sorang. Penerbangan malam. Lepas peluk dan ucap selamat tinggal, Janet pandu kereta pulang ke rumah.

Dia tak sampai-sampai ke rumah.



Kehilangan


Keluarga Janet mula risau bila dia tak pulang sampai pagi. Mereka buat laporan polis. Carian dijalankan. Tapi tiada apa yang ditemui. Janet macam ditelan bumi.

Beberapa hari kemudian, berita lebih ngeri sampai. Mayat Janet ditemui.

Tanpa kepala.

Tubuh badan sahaja yang ditinggalkan - macam sampah yang dah tak berguna. Namun tiada tangkapan yang dibuat sebab tak dapat kesan siapa dalangnya.

Tapi dalam benak masing-masing, semua orang di Kuching macam dah tahu.

Pembinaan Jambatan Satok yang dah berminggu-minggu tergendala... tiba-tiba berjalan lancar selepas itu. Tak ada lagi jentera rosak. Tak ada lagi kemalangan. Semuanya berjalan dengan baik.

Kononnya... kepala Janet dah tertanam dalam salah satu tiang konkrit jambatan tu.



Pengebumian Serba Merah


Hati Ibu bapa Janet hancur luluh.

Anak perempuan tunggal diorang – yang cantik, bijak, masa depan cerah, hilang sekelip mata dalam keadaan yang sangat kejam dan ngeri. Siapa yang bunuh? Untuk apa? Soalan-soalan ni tak pernah terjawab.

Dalam kesedihan yang tak terkata, ibu bapa Janet buat satu keputusan - mereka kebumikan Janet dengan pakaian serba merah. Baju merah. Kasut merah. Gincu merah.

Ini bukanlah kebetulan, sebab dalam kepercayaan orang Cina, kalau seseorang yang mati dibunuh dan dikebumikan dengan pakaian serba merah, roh mereka akan kembali untuk membalas dendam. Merah adalah warna darah. Warna amarah. Warna yang tak akan biarkan ketidakadilan berlalu begitu sahaja.

Ibu bapa Janet sengaja. Mereka mahu anak perempuan diorang bangkit semula.

Dan Janet... betul-betul bangkit dan mengganas.



Penampakan Pertama


Tak lama selepas pengebumian, cerita mula tersebar.

Seorang penunggang motosikal dalam perjalanan malam dari kawasan Satok ke Kampung Kudei nampak seorang perempuan berdiri di tepi jalan. Cantik. Berpakaian merah dari kepala sampai kaki. Membawa payung merah.

Dia berhenti. Perempuan tu minta tumpang.

"Aku nak ke Kampung Bintangor," suaranya lembut.

Penunggang tu angguk. Perempuan tu naik di belakang. Dingin. Sangat dingin.

Bila sampai di kawasan yang diminta, penunggang tu toleh ke belakang untuk tanya perempuan tu nak turun kat mana...

Kosong.

Tak ada siapa pun yang membonceng kat belakang dia. Cuma ada satu bau. Bau busuk yang sangat kuat - macam bangkai. Dan di tempat duduk belakang, ada kesan basah yang berbau hanyir.

Ini baru permulaan.



Pawagam Cathay


Pekerja di Panggung Cathay mula perasan sesuatu yang aneh.

Setiap minggu, ada seorang perempuan berpakaian serba merah yang datang membeli tiket untuk tayangan tengah malam. Sorang-sorang. Duduk di baris belakang sekali.

Pekerja kaunter tiket tak pernah nampak muka dia dengan jelas. Perempuan tu selalu tunduk. Rambut hitam panjang melindungi wajah.

Juruwang Panggung Cathay ada cerita sendiri. Katanya, setiap kali midnight show, esok paginya bila kira duit tiket, duit yang perempuan tu bayar dah bertukar... Bukan kepingan duit biasa lagi, tapi duit kertas cina mati - wang yang dibakar dalam upacara kematian orang Cina. Atau kadang-kadang… mesti ada beberapa helai yang dah jadi daun kering.

Pengurus pawagam cuba siasat. Siapa perempuan ni? Bila dia masuk, bila dia keluar? Tapi CCTV (walaupun ketika tu teknologi masih terhad) tak rakam apa-apa yang jelas. Cuma satu bayang kabur warna merah.


Feri Sungai Sarawak

Pada tahun 60an dan 70an, feri adalah pengangkutan utama untuk merentasi Sungai Sarawak.
Operator feri mula mengeluh.

Setiap malam, ada seorang perempuan berpakaian merah yang naik feri dari sebelah Kuching ke seberang sungai. Dia bayar tambang seperti biasa. Tak bercakap banyak. Duduk di satu sudut, pandang air.

Tapi bila feri sampai di destinasi... perempuan tu hilang.

Dan duit tambang dalam tangan operator? Sudah bertukar jadi daun kering atau wang kertas palsu orang Cina. Operator feri dah cukup takut.
Mereka buat keputusan - perkhidmatan feri dihentikan selepas jam 10 malam. Sesiapa yang nak merentasi sungai selepas tu, cari jalan lain.

Sampai sekarang, ada sesetengah operator feri lama yang masih ingat. Mereka tak cerita banyak. Tapi kalau tanya pasal "perempuan merah", muka diorang akan berubah.

1773292043073.png



Hospital Umum Sarawak


Mungkin tempat yang paling kerap Hantu Janet muncul adalah di tempat dia bekerja dulu - Hospital Umum Sarawak.

Jururawat syif malam cerita benda yang sama:

Ada perempuan berbaju merah yang dilihat berjalan di koridor wad pada waktu tengah malam. Langkahnya senyap. Tak ada bunyi kasut. Macam melayang-layang. Bila ditegur, dia tak jawab. Dia cuma toleh. Dan muka dia...

Kosong. Pucat. Macam tak ada darah.

Ada yang kata, kalau pandang betul-betul, leher dia nampak macam tak betul. Macam ada parut kesan potongan.

Kakitangan hospital lama dah ada satu peraturan tak bertulis - kalau nampak perempuan berbaju merah lepas tengah malam, jangan tegur. Jangan pandang. Teruskan kerja dan baca doa.



Kisah Makcik Siew Lan


Ini cerita yang diceritakan turun-temurun di kalangan masyarakat Cina Kuching.

Makcik Siew Lan adalah peniaga kuih di Pasar Satok. Setiap pagi, jam 4 lebih, dia akan berjalan kaki dari rumahnya di Kampung Kudei ke pasar untuk berniaga.

Satu pagi yang masih gelap dan berkabus tebal - dia nampak seorang perempuan muda berjalan di hadapannya.

Pakaian merah. Kasut merah. Payung merah walaupun tak hujan. Makcik Siew Lan mempercepatkan langkah. Dia nak tanya perempuan tu nak ke mana pagi-pagi buta macam ni.

"Adik! Adik nak ke mana?"

Perempuan tu berhenti. Dia toleh perlahan-lahan.

Makcik Siew Lan membatu.

Muka perempuan tu cantik. Tapi ada sesuatu yang tak kena. Senyuman tu terlalu lebar. Mata tu terlalu kosong. Dan leher dia... ya Allah, leher dia ada kesan garis luka yang panjang… macam bekas potong yang dah dijahit semula.

"Aunty..." suara perempuan tu berbisik, "Aunty nampak kepala saya?"

Makcik Siew Lan terus pengsan di situ. Bila dia sedar, matahari dah terbit. Perempuan berbaju merah tu dah tak ada.

Tapi sejak hari tu, Makcik Siew Lan tak pernah lagi berjalan sorang-sorang pada waktu subuh.



Jangan Sebut Namanya


Ada satu pantang larang yang sangat kuat di kalangan orang Kuching lama:

Jangan sebut nama Janet.
Terutama pada waktu malam. Terutama di kawasan Satok, Kampung Kudei, atau Kampung Bintangor. Terutama kalau korang sorang-sorang.
Orang tua-tua percaya - bila sebut nama dia, Janet akan dengar. Dan dia akan datang. Bukan untuk buat jahat sangat... tapi untuk minta tolong.

"Tolong carikan kepala saya..."

Bayangkan - tengah malam, korang terjaga dari tidur, dan ada suara perempuan berbisik di tepi telinga korang:
"Kepala saya mana?"


1773292401533.png



Terkenal Sampai ke Jepun


Kisah Hantu Janet ni bukan sekadar cerita tempatan.

Pada tahun 1991, seorang pelukis manga terkenal Jepun bernama Yuzo Takada memasukkan kisah Janet dalam komiknya yang bertajuk "3×3 Eyes" (baca: Sazan Eyes).

Dalam Volume 8 dan 9, ada satu arc yang dipanggil "Red Rain in Malaysia" - Hujan Merah di Malaysia. Cerita tu mengisahkan watak utama, Yakumo Fuuji, dihantar ke Sarawak untuk menyiasat kes pembunuhan misteri di sebuah syarikat kayu Jepun.

Dan siapa penjahatnya?
Roh Janet - perempuan serba merah yang membunuh pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembinaan yang menggunakan korban manusia.
Komik 3×3 Eyes ni menang Anugerah Kodansha Manga pada tahun 1993. Bayangkan - kisah hantu dari Kuching, Sarawak, sampai ke Jepun dan menang anugerah!

Bukan tu je. Hantu Janet juga dijadikan watak dalam permainan video online "Ghost Trapper". Dalam game tu, watak dia kekal dengan ciri khas - perempuan berpakaian serba merah yang menghantui kawasan jambatan.



Filem "Janet - Sumpahan Terlarang"


Pada tahun 2021, KRU Films mengangkat kisah ini ke layar perak dengan tajuk "Janet - Sumpahan Terlarang".
Yang menarik - semasa penggambaran di lokasi sebenar sekitar Kuching, krew dan pelakon mengalami beberapa kejadian aneh:

  • Seekor ular berbisa tiba-tiba muncul di set tanpa sebab
  • Peralatan kamera selalu rosak di satu lokasi tertentu
  • Ada pelakon yang mengadu "rasa diikuti" sepanjang penggambaran malam
Konon, sebelum penggambaran dimulakan, pihak produksi memang buat upacara khas untuk "minta izin" - bukan kepada penunggu tempat... tapi kepada Janet sendiri.

Betul ke semua ni? Wallahu'alam. Tapi satu je yang pasti - kisah Janet ni masih hidup sampai sekarang.



Jambatan Satok Hari Ini


Jambatan Gantung Satok yang asal dah runtuh pada tahun 2004 akibat ribut. Tapi kerajaan Sarawak dah bina semula jambatan tu pada 2021 dengan kos RM8 juta. Reka bentuk baru tapi tetap mengekalkan elemen asal.

Yang menariknya, bila jambatan baharu dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ada sesetengah orang yang berbisik:

"Agaknya Janet tenang tak sekarang? Kepala dia masih dalam tiang lama ke?"

Sebab jambatan asal yang runtuh tu... tiangnya dah hancur. Entah ke mana perginya semua konkrit tu. Entah ke mana perginya apa yang tertanam di dalam.

Mungkin Janet dah tenang.
Atau mungkin... dia masih mencari.



Penutup


Jadi itulah kisah Hantu Janet - dari seorang jururawat biasa, jadi mangsa korban semah, dan akhirnya menjadi legenda yang terkenal sampai ke Jepun.

Kalau korang ada peluang pergi ke Kuching, singgahlah ke kawasan Satok. Tengok Jambatan Gantung Satok yang baharu. Cantik. Moden. Mercu tanda kebanggaan rakyat Sarawak.

Tapi kalau korang pergi malam-malam... dan nampak seorang perempuan berbaju merah berdiri sorang-sorang di tepi jalan...

Jangan berhenti. Jangan tegur. Jangan tanya dia nak ke mana.

Teruskan perjalanan. Baca ayat perlindungan. Dan ingat - ada cerita di sebalik setiap jambatan. Setiap bangunan. Setiap struktur besar yang kita lalu setiap hari.

Cerita yang kadang-kadang lebih gelap dari apa yang kita sangka.



Nota Penting:

Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.

-lempeng-
 
Back
Top
Log in Register