combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Hajiji Mahu Kerjasama Sabah-AS Terus Diperkukuh
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerjasama antara Sabah dan Amerika Syarikat (AS), yang berteraskan rasa hormat dan kepentingan bersama, terus diperkukuh.
Beliau berkata hubungan dua hala antara Sabah dan AS bukan hanya melibatkan kerajaan malah pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan dan komuniti yang bekerjasama.
"Dengan membina perkongsian berasaskan kemampanan, peluang dan rasa hormat bersama, Sabah dan Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat.
“Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memperdalam kerjasama, menterjemahkan idea kepada tindakan dan mengubah peluang kepada kejayaan yang berkekalan," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS di sebuah hotel di sini malam ini, yang diedarkan kepada Bernama.
Turut hadir Penolong Setiausaha Negara AS bagi Pendidikan dan Hal Ehwal Budaya Catherine Dillon dan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia David H Gamble Jr.
Hajiji juga berkata sebagai sebahagian daripada Malaysia, hubungan Sabah dengan AS berlangsung dalam kerangka perkongsian Malaysia-AS yang lebih luas dan mewujudkan peluang dalam bidang penting seperti perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.
“Dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara serta mempunyai hubungan dengan pasaran serantau dan global yang semakin berkembang, Sabah merupakan sebuah wilayah yang memiliki daya tahan, kepelbagaian, bakat dan cita-cita.
“Daripada kekayaan sumber semula jadi dan sektor pelancongan yang berkembang pesat kepada tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pembuatan, inovasi digital dan ekonomi biru, Sabah menawarkan peluang bermakna untuk pertumbuhan mampan,” katanya.