kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Graduan TVET Berkemahiran Tinggi Mampu Raih Gaji Premium - MEF
Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi berpotensi menerima gaji lebih tinggi bergantung pada tahap kemahiran, produktiviti serta keperluan industri, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata prinsip asas penentuan gaji bukan terletak pada kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya pada nilai produktiviti yang boleh disumbangkan kepada majikan.
Beliau berkata majikan, khususnya syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma teknologi, bersedia membayar premium gaji untuk kemahiran teknikal tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) atau kejuruteraan pembelajaran mesin, keselamatan siber dan kriptologi, kejuruteraan data, tenaga boleh baharu serta sistem grid pintar.
"Namun, kesediaan itu bergantung pada beberapa faktor kritikal termasuk kebolehpasaran kemahiran, tahap kekurangan bakat, produktiviti, impak kepada hasil perniagaan serta penanda aras pasaran, selain kemahiran graduan benar-benar setara dengan keperluan industri dan bukan sekadar memiliki sijil latihan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, Syed Hussain berkata pasaran kerja Malaysia masih berada dalam fasa transisi dengan premium gaji lazimnya hanya ditawarkan dalam sektor yang telah matang dari segi teknologi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata MEF menyambut baik hasrat kerajaan untuk memastikan graduan TVET berkemahiran tinggi di negara ini menerima gaji lebih baik selari dengan hala tuju ekonomi masa depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 pada Sabtu lepas mengarahkan semua badan latihan serta penyelidikan kerajaan menyediakan program latihan dalam bidang baharu kepada pelajar TVET terpilih bermula Julai ini demi memperkasakan kemahiran pelajar aliran itu di negara ini.
Anwar berkata sekurang-kurangnya 50 hingga 100 pelajar TVET di setiap institusi terpilih akan diberi peluang latihan awal dalam bidang baharu dan berteknologi tinggi seperti AI dan kriptologi.