Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Generasi Pewaris Perkasa Warisan Kopitiam Tempatan
Pemilik Guan’s Kopitiam, Pua Jia Ler, 30 , di premis perniagaannya di Alinea Suites Seksyen 14 Shah Alam
Ketika kopitiam tradisional semakin diasak perubahan gaya hidup dan kemunculan kafe moden, generasi pewaris hari ini tampil dengan pendekatan tersendiri bagi memastikan warisan keluarga terus relevan serta dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi pemilik Guan’s Kopitiam, Pua Jia Ler, 30, usaha mempertahankan legasi kopitiam bukan sekadar mengekalkan resipi warisan keluarga, tetapi turut memastikan hidangan tradisional itu dapat dikongsi bersama pelanggan berbilang kaum dan agama.
Beliau berkata konsep traditionally modern menjadi identiti utama perniagaan keluarga yang menggabungkan elemen tradisional dan moden menerusi suasana premis, penyajian makanan serta pilihan minuman.
“Kami masih mengekalkan resipi keluarga seperti sambal nasi lemak yang diwarisi daripada nenek, tetapi pada masa sama tampil dengan suasana dan penyajian lebih moden,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pua, pencapaian memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tahun lepas menjadi antara langkah penting dalam memperluas kelompok pelanggan supaya lebih ramai dapat menikmati sajian tradisional diwarisi keluarganya.
“Kami mahu semua lapisan masyarakat dapat menikmati makanan tradisional yang kami bawakan. Sebab itu kami ambil sijil halal supaya pelanggan lebih yakin dan selesa untuk datang makan bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Konsep itu selari dengan nama “Guan” yang diambil sempena nama bapanya, Kim Guan dan dalam bahasa Mandarin membawa maksud “akar”, sekali gus melambangkan pegangan mereka terhadap asal-usul serta tradisi keluarga walaupun tampil dengan konsep lebih kontemporari.
Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Kota Kinabalu pada 2019, Guan’s Kopitiam kini berkembang kepada enam cawangan iaitu tiga di Kota Kinabalu serta masing-masing satu di SS4 Petaling Jaya, Puchong dan Alinea Suites, Shah Alam.