kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
FRIM Terajui Usaha Pemuliharaan Flora Batu Kapur Negara
Foto kredit: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini menerajui usaha pemuliharaan serta dokumentasi flora batu kapur negara yang menyokong kepelbagaian flora dan fauna yang tinggi, selain menempatkan banyak spesies endemik serta terancam yang tidak wujud di habitat lain.
FRIM dalam satu kenyataan hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa, memaklumkan bahawa inisiatif itu penting memandangkan ekosistem batu kapur yang terbentuk sejak berjuta-juta tahun merupakan habitat bagi tumbuhan yang telah menyesuaikan diri dengan lapisan tanah yang nipis, kering, beralkali dan kurang nutrien.
Antara spesies yang sering dijumpai di kawasan berkenaan termasuklah asam batu (Begonia), balsam (Impatiens) serta beberapa jenis orkid yang hanya mampu hidup di lapisan tanah nipis, kering dan beralkali.
"Sehingga kini, kira-kira 1,300 spesies flora batu kapur telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia, iaitu kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan flora negara daripada anggaran 908 bukit yang direkodkan," menurut kenyataan itu.
FRIM memaklumkan ancaman daripada aktiviti pembangunan, kuari, perlombongan dan perubahan guna tanah kini diberi perhatian khusus melalui Sasaran 8 Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030, selaras dengan komitmen Malaysia untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan sebagai kawasan perlindungan menjelang 2030.
Dalam menghadapi cabaran itu, menurut FRIM, dokumentasi flora menjadi langkah penting untuk merekod, mengenal pasti dan menilai tahap kepelbagaian serta status pemuliharaan tumbuhan, di samping menentukan keutamaan kawasan untuk dipelihara.
Melalui Projek Dokumentasi Flora Semenanjung Malaysia yang dimulakan sejak 2005, pelbagai spesies baharu berjaya ditemukan termasuk Gymnostachyum kanthanense, Meiogyne kanthaensis dan Vatica kanthanensis di Gunung Kanthan, Perak pada 2014.
Turut ditemukan antara 2016 hingga 2024 ialah spesies Impatiens chikuensis, I. glaricola, I. vinosa, Coleus rafidahiae dan Gymnostachyum calcicola di Kelantan; orkid Thrixspermum merapohense serta paku pakis Asplenium merpohense di Merapoh, Pahang selain Coleus hairulii di Kedah.
Penyelidikan itu turut memberikan penekanan kepada spesies endemik terancam seperti Impatiens vinosa dan Begonia jayaensis yang berdepan dengan ancaman serius akibat gangguan habitat, selain merekodkan penemuan baharu orkid Didymoplexis micradenia serta Chiloschista exuperei di Perak, Sohmaea teres di Kedah dan Exacum tenue di Kelantan.