BTC USD 80,986.0 Gold USD 4,112.00
Time now: Jun 1, 12:00 AM

World Cup FIFA Women's World Cup

slalu replay main pkl brapa.letih aku nak nunggu 12.10
 
Brazil tak mahu pandang rendah Equatorial Guinea

FRANKFURT, Jerman - Brazil perlu menewaskan pendatang baru, Equatorial Guinea pada aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Dunia Wanita 2011 malam ini.

Ketika ini, Brazil memimpin kedudukan teratas dalam saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Norway dan Sweden.

Selaku juara kumpulan, Brazil dijangka akan bertemu naib juara Kumpulan C antara Sweden dan Amerika Syarikat pada aksi suku akhir nanti.

Pasukan gergasi Amerika Selatan itu yang memburu gelaran juara dunia pertama selepas tewas kepada Jerman pada final 2007, masih belum bolos sepanjang dua perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, pemain tengah Brazil, Formiga berkata, mereka tidak boleh memandang rendah pasukan dari Afrika itu.

"Perjalanan masih jauh, kami tidak boleh berehat dan memandang mudah. Kami perlu terus bekerja keras, seperti kami datang ke sini bermain dan yakin yang kami mampu menewaskan lawan kami," kata Formiga yang membuat penampilan kelima Piala Dunia.

"Kami adalah sebuah pasukan yang mantap. Kami meluangkan masa yang lama untuk bekerja keras dan sasaran kami adalah untuk menjadi juara dunia buat kali pertama."

Sementara itu, Guinea terdesak untuk memburu mata pertama pada kempen kali ini selepas tewas 0-1 kepada Norway dan 2-3 ke atas Australia.

Meskipun membuat penampilan pertama pada kempen Piala Dunia kali ini, ramai pemain Brazil dan Equatorial Guinea mengenali antara satu sama lain.

Ini kerana, ramai pemain Equatorial Guinea memiliki kenegaraan Brazil atau bermain dalam Liga Bola Sepak Brazil.

Jurulatih Equatorial Guinea, Marcello Frigerio adalah campuran Itali-Brazil yang belajar permainan bola sepak di akademi Brazil.

"Saya adalah rakyat Brazil dan mengeta- hui mengenai Brazil dengan baik.

"Saya akan cuba untuk memberi motivasi kepada para pemain untuk menjadi wakil negara sebaik yang mungkin," katanya. - Agensi
 
Kemenangan dramatik Jerman

BERLIN - Tuan rumah, Jerman mengesahkan slot ke suku akhir pada kempen Piala Dunia Wanita 2011 selepas menang 4-2 ke atas Perancis dalam satu aksi penuh dramatik awal pagi semalam.

Meskipun tewas, Perancis turut mengesahkan slot ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan A bersama-sama juara dan naib juara Kumpulan B iaitu England serta Jepun.

Pada aksi di Stadium Borussia-Park, penjaga gol Perancis, Berangere Sapowicz telah dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain tengah tuan rumah, Fatmire Bajramaj pada minit ke-65.

Sapowicz menjadi pemain pertama yang diarah keluar padang pada kempen kali ini.

Gol kemenangan Jerman dijaringkan oleh Kerstin Garefrekes pada minit ke-24, Inka Grings (32 dan 67) dan Celia Okoyino da Mbabi (89), sekali gus menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

Dua gol Perancis diperoleh menerusi Marie-Laure Delie pada minit ke-55 dan Laura Georges (72).

Bagaimanapun, jurulatih Jerman dan Perancis tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Kirsi Heikkinen dari Finland yang melayangkan lima kad kuning selain kad merah yang diperoleh Sapowicz.

"Saya fikir, ia keterlaluan," kata jurulatih Jerman, Silvia Neid.

Jerman yang memburu gelaran juara dunia ketiga berturut-turut akan bertemu Jepun di Wolfsburg pada aksi suku akhir selepas pasukan itu tewas 0-2 kepada Jerman dalam saingan Kumpulan B.

Selaku naib juara Kumpulan A, Perancis akan bertemu juara Kumpulan B, England di Leverkusen pada perlawanan suku akhir, Sabtu ini. - AFP
 
Misi England, Perancis

LEVERKUSEN, Jerman - Dua musuh tradisi, England dan Perancis bakal membuat perhitungan pada saingan suku akhir kempen Piala Dunia Wanita 2011 awal pagi esok.

Yang pasti, kedua-dua pasukan gergasi Eropah itu ada misi tersendiri yang mahu dilaksanakan pada pertemuan tersebut.

Terdahulu, England mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas muncul selaku juara Kumpulan B, manakala Perancis pula mara dengan status sebagai naib juara Kumpulan A.

Atas kertas, peluang Perancis untuk mencatatkan kemenangan ke atas England dilihat cerah berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini.

Ini kerana, Perancis berjaya mencatatkan lima kemenangan dan lima seri dalam 13 perlawanan yang diharungi mereka.

Namun pada perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Leverkusen itu, ia merupakan pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan pada pusingan akhir Piala Dunia Wanita.

Kapten Perancis, Sandrine Soubeyrand berkata, dia dan rakan-rakannya yang lain akan cuba memberikan tekanan buat England dalam usaha untuk memburu gol.

"Ia merupakan satu perlawanan yang berbeza. Disebabkan itu, saya tidak melihat ia sebagai perlawanan untuk membalas dendam.

"Perlawanan ini merupakan aksi peringkat suku akhir Piala Dunia yang mana ia adalah pusingan kalah mati.

"Kami sedar bahawa kami perlu menang perlawanan ini. Kami sudah berdepan dengan England sejak sekian lama, namun kami tidak turun menentang mereka sejak kebelakangan ini.

"England adalah sebuah pasukan yang sedang meningkat naik seperti kami," katanya. - AFP
 
Nagasato tidak gentar Jerman

Saiz badan bukan masalah buat Jepun menentang tuan rumah

WOLFSBURG: Penyerang Jepun, Yuki Nagasato enggan mengakui dirinya terganggu menjelang pertembungan suku akhir Piala Dunia Wanita menentang tuan rumah dan juga juara bertahan, Jerman hari ini di Wolfsburg.

Jerman, juara dua kali diletakkan sebagai pilihan untuk menjulang kejuaraan ketiga manakala Jepun mara selepas mengejutkan Kumpulan B dengan kemenangan ke atas New Zealand dan Mexico sebelum tewas kepada England 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Saya sudah bersedia untuk beraksi menentang mereka,” kata Nagasato yang beraksi bersama kelab Turbine Potsdam di Jerman. “Saya kenal baik pemain-pemain Jerman dan dengan cara itu, saya dapat membantu pasukan untuk lebih bersedia pada perlawanan itu. Mereka mungkin besar dan kuat namun ia bukan masalah buat saya.

“Dalam bola sepak, saiz badan tidak begitu penting. Kita cuma perlu berfikir bagaimana untuk bermain dengan mereka,” kata pemain yang sudah 66 beraksi bersama pasukan kebangsaan dengan 32 jaringan termasuk ketika menang 2-1 ke atas New Zealand tempoh hari.

Dalam pada itu, jurulatih Jerman, Silvia Neid dijangka sekali lagi tidak akan menurunkan ketua pasukan Birgit Prinz, 33, pemain wanita yang paling banyak mengumpul kaps di dunia sama seperti pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Perancis lalu, ekoran prestasi hambar dalam dua perlawanan terdahulu.

“Saya tidak fikir akan diletakkan dalam kesebelasan utama,” kata Prinz yang akan bersara selepas kejohanan ini. “Tiada alasan untuk menukar pemain di posisi serangan,” katanya. - AFP
 
Australia sedia benam Sweden

AUSBURG, Jerman - Jurulatih Australia, Tom Sermanni menjelaskan bahawa barisan pemain mudanya tidak berasa tertekan menjelang pertemuan menentang Sweden pada peringkat suku akhir kempen Piala Dunia Wanita 2011 hari ini.

Meskipun sekadar mencatatkan satu kemenangan dalam lapan perlawanan menentang Sweden sebelum ini, Sermanni berkata, anak-anak buahnya tetap berkeyakinan tinggi dalam usaha mara ke peringkat separuh akhir.

"Perlawanan kali ini berkemungkinan tidak dirasai sangat tekanannya. Lebih jauh kamu dapat melangkah, lebih kurang tekanan yang kamu rasai.

"Kami telah berjaya mencapai matlamat awal kami dan kami berjaya menewaskan pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi daripada kami. Kini, kami bercita- cita untuk muncul juara pula.

"Saya percaya, Sweden lebih merasai tekanan berbanding kami," kata Sermanni.

Australia mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan D di belakang Brazil.

Dua kemenangan yang dicatat ke atas Norway (2-1) dan Equatorial Guinea (3-2) sudah cukup buat anak-anak buah Serman- ni mara ke pusingan kalah mati biarpun terpaksa akur dengan kehebatan Brazil apabila tewas 0-1.

"Selepas berjaya mencatatkan dua kemenangan tersebut, barisan pemain saya kini lebih berkeyakinan.

"Saya berharap kemenangan tersebut mampu memberi impak yang besar buat kami untuk mara ke peringkat separuh akhir," jelas Sermanni.

Bagaimanapun, kemampuan Sweden tidak boleh dipandang rendah apabila mereka mara ke peringkat suku akhir selaku juara Kumpulan C selepas mengumpul sembilan mata maksimum dalam tiga perlawanan.

Menang 2-1 ke atas Amerika Syarikat dan masing-masing 1-0 ke atas Colombia serta Korea Utara, Sweden pastinya bakal tampil dengan aksi yang lebih konsisten bagi terus melebar- kan rekod kemenangan mereka. - AFP
 
Juara bertahan tersingkir

WOLFSBURG, Jerman - Pasukan tuan rumah dan juara bertahan, Jerman tersingkir daripada kempen Piala Dunia 2010 selepas tewas 0-1 kepada Jepun pada aksi suku akhir awal pagi semalam.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada waktu permainan sebenar, Jerman dikejutkan dengan gol kemenangan Jepun yang diperoleh menerusi Karina Maruyama pada minit ke-108, sekali gus melenyapkan sorakan 26,067 penonton yang hadir.

Bagi Jerman selaku juara pada tahun 2003 dan 2007, ini adalah kali pertama mereka tewas pada kempen Piala Dunia sejak kalah 2-3 kepada tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) pada aksi suku akhir 1999.

Manakala ini adalah kejayaan pertama Jepun ke suku akhir selepas mara ke separuh akhir pada tahun 1995 di Sweden.

Selain pemain Jerman yang menangis selepas tamat permainan, jurulatih Silvia Neid dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), Theo Zwanziger turut meratapi kekalahan itu.

"Kekalahan ini sangat menyedihkan tetapi perkara ini sudah berlaku dan kehidupan perlu diteruskan," kata Neid.

"Kami akan berasa sedih untuk tempoh beberapa hari tetapi masih ada banyak kejohanan yang menanti kami.

"Saya sedih kerana kami tersingkir daripada kejohanan ini kerana saya tidak fikir pasukan kami lebih lemah daripada Jepun, kami tidak menjaringkan sebarang gol dan sekiranya kamu tidak memberi tumpuan sepanjang permainan, kamu akan tewas."

Sementara itu, Perancis turut mengekori Jepun ke separuh akhir selepas menewaskan England 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Manakala Sweden pula menewaskan Australia 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir malam tadi. - AFP
 
Solo wirawati Amerika Syarikat

DRESDEN, Jerman - Penjaga gol Amerika Syarikat (AS), Hope Solo me- nganggap semangat juang yang tinggi dipamerkan barisan pemain pasukan itu merupakan faktor utama kejayaan mereka mara ke peringkat separuh akhir kempen Piala Dunia Wanita 2011.

Kejayaan tersebut hadir selepas AS berjaya mencatatkan kemenangan 5-3 ke atas Brazil menerusi penentuan se- pakan penalti setelah terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan pada aksi suku akhir kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Rudolf-Harbig itu, AS terlebih dahulu di depan selepas tonggak pertaha- nan Brazil, Daiane menjaringkan gol sendiri seawal minit kedua perlawanan.

Begitupun, Brazil kembali menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila bintang sensasi mereka, Marta berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-68.

Pada masa tambahan, Brazil pada awalnya dilihat berpeluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila Marta meledak gol kedua pada minit ke-92.

Namun penyerang veteran AS, Abby Wambach berjaya menyamakan kedu- dukan pada minit-minit terakhir perlawanan masa tambahan, sekali gus mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti.

Solo akhirnya dijulang sebagai wira- wati apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Brazil bagi memastikan kemenangan memihak kepada AS.

"Inilah keistimewaan pasukan kami. Kami beraksi dengan penuh bertenaga di samping kepimpinan yang begitu baik sekali di atas padang.

"Biarpun kami ketinggalan pada 90 minit perlawanan dan masa tambahan, kami tidak pernah berputus asa, seba- liknya kami terus melawan.

"Kamu tidak boleh mengarahkannya (semangat) tetapi ia adalah sesuatu yang lahir dari hati semua pemain," kata Solo.

Kemenangan yang dicatat ke atas Brazil itu sekali gus menyaksikan AS kini semakin hampir untuk merekodkan kejuaraan ketiga pada kempen Piala Dunia.

Begitupun, mereka terlebih dahulu perlu melepasi halangan daripada Perancis yang mana bakal menjadi lawan mereka pada aksi peringkat separuh akhir di Moenchengladbach esok.

Perancis mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan England 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 pada aksi suku akhir kelmarin.

Sementara itu, jurulatih AS, Pia Sundhage menyifatkan kemenangan tersebut adalah yang paling bermakna sepanjang kariernya.

"Terdapat sesuatu yang boleh diper- katakan mengenai pasukan ini.

"Kerjasama antara setiap pemain telah membolehkan mereka mempamerkan persembahan terbaik masing- masing sehinggalah kami berjaya ke peringkat separuh akhir," jelas Sundhage. - AFP
 
AS singkir Brazil

Mara ke separuh akhir selepas menang penentuan penalti 5-3

DRESDEN: Juara dua kali, Amerika Syarikat (AS) menewaskan Brazil 5-3 menerusi aksi dramatik penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia Wanita selepas kedudukan masa tambahan terikat 2-2, kelmarin.

Pertahanan AS, Alex Krieger menjaring gol kemenangan pada penentuan penalti itu selepas penjaga golnya, Hope Solo menampan sepakan Daiane untuk memberikan kelebihan kepada AS pada penentuan itu.

Terdahulu, penyerang AS, Abby Wambach menjadi penyelamat untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti menerusi tandukan pada minit ke-122 bagi mengikat kedudukan selepas perancang Brazil, Marta menjaringkan gol pada minit ke-92.

Perlawanan masa sebenar terikat 1-1 apabila gol sendiri Daiane hanya selepas dua minit perlawanan berlangsung disamakan sepakan penalti Marta pada minit ke-68 yang disempurnakan menerusi percubaan kedua.

AS terpaksa bermain 10 orang apabila pertahanannya, Rachel Buehler dibuang padang sebelum itu.

Hasil kemenangan itu, AS akan berdepan Perancis di Moenchengladbach pada separuh akhir esok untuk penentuan tempat ke final di Frankfurt, Ahad ini. – AFP
 
Back
Top
Log in Register