Brazil tak mahu pandang rendah Equatorial Guinea
FRANKFURT, Jerman - Brazil perlu menewaskan pendatang baru, Equatorial Guinea pada aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Dunia Wanita 2011 malam ini.
Ketika ini, Brazil memimpin kedudukan teratas dalam saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Norway dan Sweden.
Selaku juara kumpulan, Brazil dijangka akan bertemu naib juara Kumpulan C antara Sweden dan Amerika Syarikat pada aksi suku akhir nanti.
Pasukan gergasi Amerika Selatan itu yang memburu gelaran juara dunia pertama selepas tewas kepada Jerman pada final 2007, masih belum bolos sepanjang dua perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, pemain tengah Brazil, Formiga berkata, mereka tidak boleh memandang rendah pasukan dari Afrika itu.
"Perjalanan masih jauh, kami tidak boleh berehat dan memandang mudah. Kami perlu terus bekerja keras, seperti kami datang ke sini bermain dan yakin yang kami mampu menewaskan lawan kami," kata Formiga yang membuat penampilan kelima Piala Dunia.
"Kami adalah sebuah pasukan yang mantap. Kami meluangkan masa yang lama untuk bekerja keras dan sasaran kami adalah untuk menjadi juara dunia buat kali pertama."
Sementara itu, Guinea terdesak untuk memburu mata pertama pada kempen kali ini selepas tewas 0-1 kepada Norway dan 2-3 ke atas Australia.
Meskipun membuat penampilan pertama pada kempen Piala Dunia kali ini, ramai pemain Brazil dan Equatorial Guinea mengenali antara satu sama lain.
Ini kerana, ramai pemain Equatorial Guinea memiliki kenegaraan Brazil atau bermain dalam Liga Bola Sepak Brazil.
Jurulatih Equatorial Guinea, Marcello Frigerio adalah campuran Itali-Brazil yang belajar permainan bola sepak di akademi Brazil.
"Saya adalah rakyat Brazil dan mengeta- hui mengenai Brazil dengan baik.
"Saya akan cuba untuk memberi motivasi kepada para pemain untuk menjadi wakil negara sebaik yang mungkin," katanya. - Agensi