Jepun intai aksi final
BOCHUM, Jerman - Jurulatih Jepun, Norio Sasaki sudah mula memikirkan aksi final pada kempen Piala Dunia Wanita 2011 yang akan berlangsung pada 17 Julai ini.
Sasaki menyuarakan keyakinan itu selepas skuad kendaliannya bermula cemerlang dengan menewaskan New Zealand 2-1 pada aksi pembukaan di Stadium Bochum awal pagi semalam.
Ketika ini, Jepun mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata selepas pencabar terdekat, England sekadar seri 1-1 dengan Mexico di Wolfsburg.
Meskipun Sasaki mengakui Jepun diberi tentangan yang hebat oleh New Zealand, dia yakin pasukan itu akan berdepan ujian sebenar menentang Mexico dan England masing-masing pada 1 dan 5 Julai ini.
"England adalah sebuah pasukan yang hebat dari segi disiplin, jadi sekiranya kami berjaya menewaskan mereka, saya yakin peluang kami untuk mara ke final sangat cerah," kata Sasaki.
"Lawan kami selepas ini adalah Mexico dan telah bermain pada aksi persahabatan, kelayakan Olimpik dan beberapa perlawanan lain sebelum ini. Sejak beberapa tahun lalu, Mexico semakin kuat dan meningkat. Kami fikir, ia bukan satu perlawanan yang mudah berdepan Mexico."
Pada aksi menentang New Zealand, gol kemenangan Jepun diperoleh menerusi satu sepakan percuma yang disempurnakan oleh Aya Miyama pada minit ke-68 selepas Yuki Nagasato meletakkan pasukan itu di depan pada minit keenam.
Begitupun, enam minit kemudian Amber Hearn mengikat kedudukan 1-1 tetapi gol itu tidak mampu bertahan sehingga wisel penamat dan New Zealand terpaksa akur dengan kekalahan itu.
Sementara itu, jurulatih New Zealand, John Herdman berkata, dia yakin Jepun yang mara ke suku akhir pada tahun 1995 adalah sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. - AFP