BTC USD 76,358.3 Gold USD 4,327.02
Time now: Jun 1, 12:00 AM

EV China terus kuasai pasaran SG; jenama kereta mewah masih bertahan

Bob_SG

Fun Poster
Messages
721
Joined
Jun 14, 2025
Messages
721
Reaction score
2
Points
25

EV China terus kuasai pasaran SG; jenama kereta mewah masih bertahan​

screenshot_2026-06-24_105646.jpg

Kenderaan-kenderaan di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Sepanjang tahun 2000-an dan 2010-an, industri automotif global dikuasai oleh kelompok pengeluar sama dari Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat.

Tiada pengeluar China berjaya menembusi kelompok teratas pengeluaran kenderaan dunia, manakala Tesla ketika itu masih dianggap pemain kecil dalam industri.

IKLAN

Pertumbuhan pesat pasaran China membantu meningkatkan penjualan dan keuntungan banyak jenama automotif tradisional, sekali gus mengalihkan kelebihan industri itu pada 2020-an.

Walaupun Toyota dari Jepun dan Volkswagen Group dari Jerman masih kekal sebagai dua pengeluar kenderaan terbesar dunia, pengeluar kenderaan elektrik (EV) China yang diterajui BYD mula meraih bahagian pasaran global dengan pantas.

Tanda-tanda perubahan itu juga semakin jelas.

Honda Motor mencatat kerugian operasi sekitar 400 bilion yen (S$3.2 bilion) bagi tahun kewangan lalu, kerugian pertama syarikat itu dalam tempoh hampir 70 tahun.

Nissan pula mengumumkan pada Mei 2025 bahawa ia akan menutup beberapa kilang dan mengurangkan kira-kira 20,000 pekerjaan di seluruh dunia berikutan penjualan lemah di Amerika Syarikat dan China.

IKLAN

Bulan lalu, syarikat itu turut mengumumkan pemotongan 900 pekerjaan di Eropah.

Di Singapura, perubahan tersebut amat ketara apabila BYD mengatasi Toyota sebagai jenama kereta paling popular di negara ini pada 2025.

Mediacorp menganalisis bahagian pasaran lapan jenama kereta sepanjang tempoh 12 tahun, dengan setiap jenama dipilih kerana pernah berada dalam kelompok tiga jenama paling laris sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tersebut.

Prestasi enam jenama tradisional utama di Singapura menunjukkan arah yang berbeza.

Jenama pasaran massa atau besar-besaran seperti Toyota, Honda, Nissan dan Mazda mencatat penurunan bahagian pasaran antara 2016 hingga 2025, manakala dua jenama mewah, Mercedes-Benz dan BMW, berjaya mengekalkan atau meningkatkan sedikit pegangan pasaran masing-masing.

IKLAN

Namun demikian, prestasi mereka dibayangi kebangkitan jenama EV baharu.

Bahagian pasaran BYD di Singapura meningkat daripada 2.5 peratus pada 2022 kepada 21.2 peratus pada 2025, manakala Tesla meningkat daripada 2 peratus pada 2021 kepada 6.6 peratus pada 2025.

Pengarah Institut Weizenbaum di Berlin dan pakar industri automotif, Profesor Martin Krzywdzinski, berkata peralihan kepada EV "membuka peluang" kepada pemain baharu.

Menurut beliau, pertumbuhan itu dipercepatkan oleh kesilapan pengeluar tradisional yang gagal menjangkakan kadar perubahan pasaran serta kepantasan syarikat China membangunkan kenderaan yang berdaya saing.

LAMBAT BERTINDAK

IKLAN

Prof Krzywdzinski berkata faktor utama kebangkitan syarikat EV baharu ialah pelaburan awal dan berskala besar dalam mobiliti elektrik.

Tesla menjadi perintis kepada inovasi bateri utama dan konsep "kenderaan berasaskan sofwe", sekali gus mengubah jangkaan pengguna terhadap fungsi sesebuah kereta.

"Syarikat China mengikuti laluan ini dengan sokongan dasar industri yang sistematik, yang akhirnya melahirkan sektor pengilangan bateri yang sangat kukuh," katanya.

Dasar tersebut merangkumi pembangunan prasarana pengecasan, subsidi kepada pembeli tempatan serta sokongan kepada pengilang bateri dan pembekal komponen.

Pelaburan besar China dalam skala pengilangan sukar ditandingi, manakala ramai pengeluar tradisional lambat bertindak balas.

Penggunaan EV di Eropah dan Amerika Syarikat berkembang lebih perlahan kerana kedua-dua pasaran itu melabur jauh lebih sedikit dalam infrastruktur dan tidak mempunyai dasar industri yang aktif untuk menyokong peralihan kepada EV.

Pengeluar tradisional juga memandang ringan potensi pasaran China dan terus menumpukan pembangunan kepakaran dalam teknologi enjin pembakaran dalaman atau kenderaan petrol.

MAMPUKAH PERTUMBUHAN JENAMA CHINA KEKAL MAMPAN?

Penolong Profesor Strategi dan Keusahawanan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Terence Fan, berkata jenama China yang berjaya berkembang ke pasaran-pasaran seperti Singapura melakukannya secara terancang.

"Untuk terus bertahan, mereka memerlukan skala yang sangat besar bagi mengurangkan kos operasi dan menjual pada harga yang lebih rendah. Jika anda boleh menang di pasaran China, anda boleh menang di banyak pasaran lain," katanya.

Namun, Prof Krzywdzinski mengingatkan bahawa pengeluar baharu dari China masih boleh berdepan cabaran besar apabila persaingan semakin sengit.

Menurut beliau, sesetengah pengeluar kini menjual kenderaan dengan keuntungan yang sangat kecil bagi mengekalkan daya saing, iaitu satu strategi yang mungkin tidak mampan dalam jangka panjang.

Nilai jualan semula juga menjadi kebimbangan.

"Ramai pelanggan akan menyedari bahawa nilai jualan semula kebanyakan EV China adalah rendah, manakala kualiti binaan yang lebih tinggi serta kekuatan jenama pengeluar tradisional membantu mengurangkan penyusutan nilai," katanya.

Walaupun begitu, kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa kebangkitan pengeluar automotif China merupakan perubahan struktur dalam industri dan bukannya gangguan sementara.

PENGELUAR KERETA TUMPU KEPADA HIBRID

Jenama pasaran besar-besaran pula menegaskan bahawa ia menawarkan pelbagai pilihan sistem kuasa kepada pengguna dan tidak mahu bergantung kepada satu teknologi sahaja.

Borneo Motors, pengedar sah Toyota di Singapura, berkata syarikat itu akan terus mengekalkan pendekatan "pelbagai pilihan" melibatkan kenderaan EV dan bukan EV.

Dalam lima bulan pertama 2026, Toyota merekodkan 2,708 pendaftaran baharu kenderaan hibrid, 45 EV dan 95 kereta petrol.

Borneo Motors menyatakan permintaan pengguna masih memihak kepada kenderaan hibrid dan angka tersebut membuktikan strategi mereka selaras dengan kehendak pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kah Motor, Nicholas Wong, pula berkata angka penjualan menunjukkan masih terdapat sejumlah besar pelanggan yang memilih kereta petrol.

Honda mencatatkan 325 pendaftaran kereta petrol dan 737 kenderaan hibrid dalam tempoh lima bulan pertama 2026, tanpa sebarang penjualan EV.

Model EV terbaharu Honda, Super-ONE EV, dilancarkan di Jepun pada Mei lalu dan kini sudah mula dijual di Singapura.

Nissan dan Mazda tidak menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai strategi mereka menghadapi peralihan ke arah EV.

JENAMA MEWAH MASIH KUKUH BUAT MASA INI

Walaupun jenama pasaran besar-besaran kehilangan bahagian pasaran, jenama mewah terus kekal stabil atau berkembang.

Bahagian pasaran BMW di Singapura meningkat daripada 6.2 peratus pada 2015 kepada 9.7 peratus pada 2025.

Mercedes-Benz pula mencatat 9.4 peratus pada 2015 dan 9.2 peratus pada 2025.

Pengarah Urusan BMW Group Asia, Rene Gerhard, berkata walaupun pemain baharu bersaing secara agresif dari segi harga dan inovasi, BMW terus memberi tumpuan kepada kekuatan jenama premium.

Presiden dan CEO Mercedes-Benz Singapore, Marcel Mustelier Perez, pula berkata pelanggan memilih jenama itu atas faktor yang melangkaui harga semata-mata.

Profesor Madya Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Victor Kwan, yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam industri automotif, berkata jenama mewah setakat ini terlindung daripada tekanan kerana kebanyakan jenama China masih bersaing dalam segmen pasaran besar-besaran.

"Ekuiti jenama adalah sesuatu yang tidak ketara dan perlu dibina dari semasa ke semasa melalui sejarah serta identiti yang berkembang. Ia akan mengambil masa sebelum jenama China dapat membina aura prestij mereka sendiri," katanya.

Namun, apabila Singapura dan pasaran lain bergerak ke arah penggunaan EV sepenuhnya, jenama premium tidak mempunyai pilihan selain bersaing dalam ruang EV.

Menurut Dr Kwan, jenama premium setakat ini masih sukar untuk mewajarkan harga premium bagi EV mereka kerana kenderaan elektrik kini dianggap sebagai "komputer beroda", dengan perbezaan yang semakin kecil dari segi kejuruteraan atau pengalaman pemanduan.

Bagaimanapun, para penganalisis berpandangan bahawa cabaran jangka panjang yang dihadapi industri automotif melangkaui persaingan dalam mana-mana segmen pasaran tertentu.

 
Back
Top
Log in Register