BTC USD 83,340.4 Gold USD 4,123.16
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

Payung gergasi mula dipasang di Masjidil Haram

MAKKAH: Satu daripada lapan payung lipat terbesar di dunia mula dipasang sejak Khamis lalu di Masjidil Haram di sini. Selain payung gergasi berteknologi tinggi, 54 payung kecil akan turut dipasang di Masjidil Haram dalam tempoh enam bulan akan datang. Setiap payung buatan Jerman itu dilengkapi dengan sebuah jam gergasi, skrin garis panduan untuk jemaah, penyaman udara dan kamera pengawasan. Setiap payung mempunyai ketinggian 45 meter dengan berat 16 tan.

Ia akan memberikan naungan kepada kawasan seluas 2,400 meter persegi apabila dibuka. Sejumlah 25 jurutera, juruteknik pakar dan pakar-pakar keselamatan dari Jerman akan menyelia proses pemasangan dan mekanisme operasi elektronik. Selain itu, 54 payung kecil juga akan dipasang di halaman utara, meliputi kawasan seluas 19,200 meter persegi. Sebanyak 122 bangku untuk jemaah serta bangunan perkhidmatan akan turut dibina sebagai sebahagian daripada projek itu. Kerja-kerja infrastruktur bagi pemasangan kanopi juga sudah bermula. - Agens


sayung14.transformed_zpskj7rogyj.jpg
 
Turki Serang Pangkalan Kurdish Selepas Pengeboman Ankara

ANKARA: Pesawat pejuang Turki pada Isnin menyerang pangkalan pemberontak Kurdish di utara Iraq, sehari selepas serangan bom di ibu negara itu yang setakat ini mengorbankan 37 orang, menurut tentera.

Jet pejuang itu menyerang depot senjata dan tempat perlindungan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di kawasan pergunungan wilayah Kandil dan Gara di utara Iraq, memetik agensi berita negeri, Anatolia.

"Sasaran dilepaskan 'dengan ketepatan," katanya.

Tiada yang mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom di Ankara, yang dilakukan di hab pengangkutan di tengah-tengah kota dengan lima juta penduduk itu.

Turki, beberapa bulan lalu telah melancarkan serangan habis-habisan terhadap PKK, yang melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Turki pada tahun 1984, berjuang untuk autonomi dan hak untuk etnik minoriti terbesar di negara ini.

ankara_zps6sohdg1d.jpg
 
Serang guna senjata kimia

Baghdad: Daish melancarkan dua serangan kimia berhampiran Kirkuk, utara Iraq, Sabtu lalu, menyebabkan seorang budak perempuan berusia tiga tahun terbunuh.

Perdana Menteri Haider al-Abadi yang menemui orang tua di kampung Taza selepas kejadian itu berkata: “Daish akan dihukum atas apa dilakukan di sini. Mereka tidak akan terlepas begitu saja.”

Pihak berkuasa keselamatan dan hospital berkata, kejadian itu berlaku pada awal Sabtu (waktu tempatan) di Taza yang tiga hari sebelumnya diserang roket membawa bahan kimia.

Sameer Wais, bapa kepada Fatima, kanak-kanak yang terbunuh itu berkata, dia bertugas di barisan hadapan dalam kumpulan militia yang mempertahankan kampung itu ketika serangan berkenaan.

“Saya bergegas berlari pulang dan setibanya di situ masih terdapat bau bahan kimia digunakan dalam serangan berkenaan.

“Kami bergegas membawa Fatima ke klinik berhampiran, tetapi mereka menyuruh kami membawanya ke hospital di Kirkuk. Malangnya, dia tidak dapat diselamatkan.

“Pada mulanya dia nampak lebih sihat, tetapi kemudian mukanya mula membengkak dan matanya nampak tersembul.

“Kemudian kulitnya mula menjadi hitam dan tercabut sedikit demi sedikit. Keesokannya (semalam) dia meninggal dunia,” katanya.

Jururawat di hospital Taza, Helmi Hamdi berkata, ratusan orang mengalami cedera akibat lecuran, sesak nafas dan nyahhidrasi. Lapan orang dipindahkan ke Baghdad untuk rawatan.

Pegawai tempatan di Taza, Adel Hussein berkata, wanita dan kanak-kanak kini ketakutan.

“Pasukan forensik Amerika dan Jerman sudah tiba di sini untuk membuat ujian kimia,” katanya. - AP


14hmboy.transformed_0_zpstkxpb510.jpg
 
Guru dari Palestin diangkat sebagai guru terbaik, menang AS$1 juta

DUBAI: Pengalaman dan kemahiran yang dimiliki dalam mengendalikan pelajar trauma akibat perang dan keganasan, menjadi sesuatu yang cukup berharga buat guru dari Palestin, Hanan Al Hroub.

Selepas semua pengalaman hidup itu dimanfaatkan dalam kerjayanya, beliau kini boleh berbangga apabila diiktiraf sebagai Guru Terbaik Global, dalam majlis anugerah Hadiah Guru Global yang berlangsung di Dubai, pada Ahad.

Guru yang dibesarkan di kem pelarian itu mula menceburi bidang pendidikan selepas melihat sendiri bagaimana anak-anaknya takut ke sekolah kerana pergolakan yang melanda negara itu.

Kemenangan itu membolehkan Hanan membawa pulang hadiah wang AS$1 juta (RM 4.1 juta).

The Guardian melaporkan Hanan bercadang menggunakan wang itu untuk menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah, sekali gus membantu menaik taraf sistem pendidikan.

Turut berkongsi kegembiraan dengan kemenangan Hanan itu adalah Permaisuri Jordan, Rania Al Abdullah, Duke of Cambridge, Putera William dan Pope Francis.

51457922119_HananHround_zpsnxyuxtiu.jpg
 
Padah persenda Nabi, Menteri Mesir dipecat

KAHERAH - MESIR. Gara-gara mengeluarkan kenyataan mempersendakan Nabi Muhammad SAW, dua hari lalu, Menteri Kehakiman Mesir, Ahmed al-Zind menerima padah selepas beliau akhirnya dipecat.

Kelmarin, jurucakap kerajaan memaklumkan Perdana Menteri, Sharif Ismail memutuskan untuk melucutkan jawatan Zind, 70.

Perintah itu dikeluarkan selepas Zind sewenang-wenangnya menyatakan beliau akan memenjarakan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang termasuk Nabi.

"Mana-mana individu termasuk hakim yang didapati bersalah akan turut dihukum penjara," katanya dalam wawancara bersama saluran satelit, Sada al-Baladand.

Susulan kenyataan kontroversi itu, penduduk Mesir telah melancarkan #trial for Zind dan ia turut menerima respons dari pihak berkuasa agama tertinggi Mesir, al-Azhar.

"Semua yang terlibat dalam wacana awam di media perlu menghormati Rasulullah.

"Baginda tidak wajar dipersendakan walaupun tanpa niat," kata jurucakapnya.

Difahamkan, Zind telah memohon maaf di atas ketelanjurannya kata-katanya melalui panggilan telefon dengan stesen TV, CBC pada Sabtu lalu.

Januari lalu, beliau pernah mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi menyokong pembunuhan beramai-ramai ke atas anggota gerakan Ikhwanul Muslimin. - Press TV

imagenn_zpst6jtr1hl.jpg
 
AS sahkan kematian komander militan IS

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) semalam mengesahkan kematian komander tertinggi kumpulan militan IS yang dikenali sebagai Omar al-Shishani.

Jurucakap Pentagon dan Ketua Tentera Laut Kapten Jeff Davis berkata, pihaknya percaya Shishani meninggal dunia akibat kecederaan dialami selepas menjadi sasaran serangan udara AS pada 4 Mac lalu berhampiran bandar al-Shaddadi di wilayah Hasakah, Syria.

Menurut laporan media CNN, Shishani atau nama sebenarnya Tarkhan Tayumurazovich Batirashvili sedang menghadiri mesyuarat dengan 12 anggota IS lain ketika tempat pertemuan mereka dibedil.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Pentagon Peter Cook memberitahu, Shishani adalah salah seorang komander terhebat kumpulan berkenaan dan pernah berkhidmat dalam unit elit tentera Georgia.

"Kematiannya bakal memberi kesan kepada keupayaan IS untuk merekrut pejuang asing terutamanya dari wilayah Chechnya dan Caucus, serta mengurangkan kemampuan kumpulan untuk menyelaras serangan dan mempertahankan kubu kuat mereka seperti di Raqqah, Syria, Mosul serta Iraq," katanya. - Press TV

imagesss_zpsvnvjoxft.jpg
 
Kerajaan Thailand minta rakyat salur lebih banyak maklumat mengenai militan

BANGKOK: Kerajaan Thailand meminta rakyat memberi kerjasama dengan menyalurkan lebih banyak maklumat tentang rangkaian militan di wilayah selatan negara itu, susulan serangan nekad yang berlaku di Narathiwat.

Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha berkata kerajaan memerlukan maklumat tentang perkara itu bagi membolehkannya menangani ancaman militan di wilayah berkenaan.

"Kali ini, saya benar-benar meminta rakyat menyampaikan maklumat tentang militan kerana kami memerlukannya untuk memusnahkan rangkaian militan dengan cepat sebab ia menjejaskan perdagangan dan pelaburan (di selatan) serta keselamatan rakyat.

"Kami perlu musnahkan rangkaian itu," katanya kepada media pada Selasa, apabila ditanya tentang langkah tambahan yang akan diambil kerajaan bagi mengatasi peningkatan serangan ganas militan di wilayah selatan.

Menurut Prayuth, orang ramai boleh menyalurkan maklumat tentang rangkaian militan di wilayah selatan kepada beliau dan pihak berkuasa melalui surat atau dokumen.

Dua hari lepas, militan bersenjata menyerang Hospital Jok Irong di Narathiwat dan melancarkan serangan secara terbuka terhadap pondok kawalan tentera berhampirannya, mencederakan tujuh anggota tentera, tiga daripada mereka parah.

Militan juga melancarkan serangan senjata api dan bom di kawasan lain sekitar Narathiwat.

Menurut pasukan keselamatan Thailand, serangan itu bertujuan memperingati ulang tahun ke-59 Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Prayut berkata kerajaan akan memberi ganjaran bagi maklumat penting yang membolehkannya menghancurkan rangkaian militan di selatan.

Sementara itu, di NARATHIWAT, pemerintah tentera Thailand Kol Siripong Akhan berkata kamera litar tertutup menunjukkan kira-kira 50 militan melancarkan serangan secara cukup terancang terhadap hospital berkenaan.

"Kesemua mereka memakai pakaian hitam dan menutup muka masing-masing. Mereka kelihatan cukup terlatih dan terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil, masing-masing dengan objektif tersendiri," katanya.

Serangan itu berlarutan selama kira-kira sejam sebelum militan melarikan diri ke Bukit Tawe, katanya.
Awal hari ini, lebih 300 penduduk kampung yang tinggal berhampiran tempat kejadian mengadakan sembahyang khas bagi memohon keamanan dan keharmonian di kampung mereka.

Dalam pada itu, satu serangan bom dilaporkan berlaku pada 6 pagi ini di daerah Rueso, menyebabkan dua penduduk kampung cedera ringan.

71456321086_SouthernThailand_zpsbkocrkps.jpg
 
10 maut dalam letupan bas di Pakistan

PESHAWAR, Pakistan: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 27 lagi cedera selepas satu letupan besar dalam bas yang membawa kakitangan kerajaan di barat laut Pakistan hari ini, menurut pihak keselamatan.

Letupan di Saddar, daerah membeli-belah yang sibuk, berlaku ketika bas sedang mengambil kakitangan kerajaan untuk di bawa ke pejabat.

"Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 27 yang lain cedera dalam letupan membabitkan bas kakitangan kerajaan itu," kata pegawai kanan polis, Mohammad Kashif kepada AFP.

Seorang lagi pegawai polis dan pegawai hospital turut mengesahkan jumlah kematian itu. - AFP

PESHAWARbus16.transformed_zpsfsfnktzr.jpg
 
Rompakan Siber: Gabenor Bank Bangladesh Letak Jawatan

DHAKA: Gabenor Bank Bangladesh meletakkan jawatan pada Selasa susulan insiden rompakan siber sebanyak AS$81 juta (RM335.41 juta) dari rizab asing negara itu, sekali gus merupakan antara 'rompakan' bank terbesar dalam sejarah, kata menteri kewangan.

Menteri kewangan pada Selasa berkata, gabenor berkenaan, Atiur Rahman berundur di atas permintaannya, selepas mendedahkan bahawa gabenor Bank Bangladesh itu gagal untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai kecurian tersebut selama sebulan.

"Beliau menghubungi saya semalam dan saya minta beliau letak jawatan. Dan beliau letak jawatan hari ini," kata menteri kewangan, A.M.A Muhith kepada AFP.

Pada 5 Februari lalu, sejumlah AS$81 juta dicuri oleh penggodam daripada sebuah akaun membabitkan Bangladesh dan Bank Rizab Persekutuan New York, dan wang berkenaan dipindahkan secara elektronik ke dalam beberapa akaun di Filipina.

Timbalan Gabenor Bank Bangladesh memberitahu AFP bahawa pada awalnya penggodam tersebut mahu mencuri hampir AS$1 bilion tetapi gagal disebabkan kesilapan teknikal.

Terdahulu, Rahman dipersoalkan mengenai mengapa beliau mengambil masa untuk membuat laporan berhubung kehilangan wang berkenaan.

"Kejadian ini hampir seperti serangan militan, hampir seperti gempa bumi. Saya tidak menyedari bagaimana ia berlaku, dari mana ia dilakukan dan siapa yang melakukannya," kata Rahman. - AFP

AtiurRahman_zpso0zxwip0.jpg
 
Rusia teruskan serangan?

MOSCOW - RUSIA. Rusia akan meneruskan kempen serangan udara di Syria walaupun ia telah memanggil pulang tenteranya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertahanan, Nikolay Pankov memaklumkan masih terlalu awal untuk mengulas tentang perkara itu selepas Moscow melancarkan campur tangan ketenteraan di negara bergolak tersebut pada 30 September lalu.

Tentera Rusia dilaporkan mula meninggalkan Damsyik selepas Presiden Vladimir Putin membuat pengumuman mengejutkan itu.

Susulan daripada itu, Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura yang menjadi pengantara dalam rundingan damai Syria turut menyambut baik keputusan tersebut.

"Pengumuman itu dibuat pada hari pusingan baharu rundingan damai di Geneva. Ia adalah satu perkembangan yang penting dan diharap dapat memberi kesan positif kepada perkembangan proses rundingan tersebut," katanya.

Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan satu lagi kumpulan jet terdiri daripada Su-25 dan pesawat pengangkut Il-76 telah berlepas melalui pangkalan tentera udara Hmeimim berhampiran bandar tenggara, Latakia.

Sehari sebelum itu, kumpulan pertama terdiri daripada kelengkapan ketenteraan dan angkatan tentera dilaporkan mula meninggalkan negara itu. - Press TV

image_zpstoldo9xq.jpg
 
Back
Top
Log in Register