BTC USD 83,002.0 Gold USD 4,155.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

Kurdish isytihar sistem persekutuan

DAMSYIK - SYRIA. Tiga kawasan autonomi dikuasai puak Kurdish sebulat suara meluluskan penubuhan sistem persekutuan di utara Syria, semalam walaupun berdepan amaran daripada Damsyik dan Turki terhadap langkah sebelah pihak itu.

Keputusan tersebut dibuat dalam satu persidangan di bandar Rmeilan di timur laut negara bergolak tersebut selepas puak Kurdish dikecualikan daripada pusingan baharu rundingan damai di Geneva yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik di negara bergolak itu.

Pegawai Direktorat Hal Ehwal Luar Kobani, Idris Nassan berkata, ia bakal meluaskan rangka kerja pentadbiran yang telah dibentuk oleh Kurdish dan puak lain.

"Kawasan tersebut dinamakan sebagai Persekutuan Utara Syria yang akan mewakili kesemua puak tempatan," katanya.

Menurutnya, sistem itu dipersetujui kira-kira 200 wakil dari etnik berbeza dari Rojava termasuk Unit Perlindungan Penduduk Kurdish (YPG).

Ketika ini, puak Kurdish menguasai kawasan seluas 400 kilometer di sepanjang sempadan Syria-Turki dan dari sempadan Iraq hingga Sungai Euphrates serta bahagian sempadan barat laut di Afrin.

Terdahulu, Turki menyifatkan sebarang langkah unilateral bertujuan untuk mengisytiharkan persekutuan adalah tidak sah dan Ankara hanya menyokong perpaduan dan keutuhan wilayah Syria. - Agensi


image_zpsmgdni9ha.jpg
 
Taliban tembak helikopter AS?

KABUL - AFGHANISTAN. Kumpulan militan Taliban mendakwa telah menembak helikopter milik tentera Amerika Syarikat (AS), di wilayah Helmand di selatan Afghanistan.

Menurut laporan akhbar Watan Press yang berpangkalan di Kabul, kumpulan itu memberitahu helikopter terhempas di kawasan Shawal Manda, dekat daerah Nad Ali, dan nahas mengorbankan semua anggota.

Jurucakap tentera AS bagaimanapun menafikan laporan tersebut, dan memaklumkan sebuah helikopter Resolute Support dilaporkan telah membuat pendaratan kecemasan di Helmand, dengan tiada laporan kemalangan jiwa.

Beberapa minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jens Stoltenberg meramalkan 2016 sebagai tahun sukar untuk Afghanistan kerana tindakan kerajaan yang terus bertempur dengan Taliban dan kumpulan militan lain di seluruh negara.

Menurutnya, dalam lawatan ke ibu negara Rabu lalu, Taliban, Al-Qaeda dan IS berikrar akan meningkatkan serangan di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi mengesahkan kehadiran mereka. - Press TV

image1_zpsb36ebbzv.jpg
 
Kazakhstan larang polis, penjawat awam guna telefon pintar semasa bertugas

ASTANA: Kazakhstan sedia menguatkuasakan larangan penggunaan telefon pintar di tempat kerja bagi anggota polis dan penjawat awam dalam usaha mengelakkan kebocoran maklumat.

Ironinya, perkembangan itu sendiri didedahkan kepada umum daripada dokumen yang dibocorkan.

Sebuah dokumen kerajaan yang dibocorkan kepada media negara itu pada Khamis menyatakan, telefon pintar akan mula dilarang penggunaannya bermula 24 Mac ini bagi polis dan penjawat awam yang sedang dalam tugas.

Larangan itu berikutan kebimbangan mengenai kes-kes kebocoran maklumat rahsia yang meningkat melalui aplikasi Whatsapp.

Seorang penjawat awam Kazakhstan memberitahu AFP pada Jumaat bahawa penjawat awam akan mula diperiksa di pintu masuk tempat kerja bagi memastikan telefon pintar tidak dibawa. Namun, langkah itu belum dilaksanakan.

Pemerintah Kazakhstan masih belum memberi pengesahan mengenai kebocoran dokumen tersebut.

Menteri Dalam Negara Kalmukhanbet Kasymov pada Khamis berkata, polis telahpun sebelum ini dilarang daripada menggunakan telefon bimbit ketika bertugas, namun ia adalah arahan tidak rasmi.

Kasymov bagaimanapun menafikan larangan baharu itu ada kaitan dengan kes gambar seorang pelajar yang mati dibunuh tersebar di media sosial bulan lalu.

Seorang bekas menteri, Murat Abenov, sudahpun berseloroh mengenai larangan berkenaan dengan mengatakan: “Penjawat awam kini memnyembunyikan telefon pintar dalam stokin mereka.
“Telefon pintar membanti petugas melakukan kerja-kerja asas seperti memeriksa keadaan cuaca sebelum mereka keluar rumah ataupun membantu menterjemah dari bahasa Rusia ke Kazakhstan.

“Larangan itu sepatutnya dikuatkuasakan pada penjawat awam yang berkerja di bahagian rahsia sulit, bukannya dikenakan ke atas semua pekerja,” katanya.

71454342504_apps_zpsmtc5zmpg.jpg
 
Pertempuran di Yaman bakal berakhir - Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi bakal menamatkan kempen ketenteraan menentang pemberontak Houthi disokong Iran di Yaman, setahun selepas ia dilancarkan. Jurucakap tentera pakatan diketuai Arab Saudi, Brig Jeneral Ahmed al-Asseri, dipetik saluran televisyen al-Arabiya sebagai berkata, pertempuran besar-besaran di negara itu hampir menemui penamatnya sejak kempen ketenteraan bermula setahun sebelumnya.

"Pertempuran besar-besaran di Yaman hampir tamat dan fasa seterusnya adalah peringkat memulihkan kestabilan dan membina semula negara itu," katanya kepada saluran berkenaan semalam. Al-Arabiya bagaimanapun tidak memberi perincian lanjut dan Asseri gagal dihubungi untuk mengulas. Pertempuran di dua barisan hadapan di Yaman, di sepanjang sempadan dengan Arab Saudi dan bandar Taiz, semakin tenang minggu ini susulan perbincangan puak tempatan dan rundingan sulit bagi mencari perdamaian. Tentera pakatan memulakan kempen ketenteraan setahun lalu dengan misi utama menghentikan kemaraan Houthi dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh daripada menguasai negara itu. Ia bagi mengembalikan kuasa Presiden Abed Rabbu Mansour Hadi.

Asseri dan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sebelum ini berkata, sebarang rundingan damai hanya boleh dilakukan antara Hadi dan Houthi serta wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ismail Ould Cheikh Ahmed. April tahun lalu Asseri mengumumkan operasi awal pakatan tamat, mengatakan ia sudah "membersihkan kebanyakan keupayaan tentera militia Houthi dan sekutunya yang memberi ancaman kepada Yaman dan negara jiran." - Reuters

azeri.transformed_zpsmvoxj9it.jpg
 
Musharraf tinggalkan Pakistan untuk rawatan

KARACHI: Bekas pemerintah tentera Pakistan, Pervez Musharraf yang berdepan tuduhan pengkhianatan dan pembunuhan, meninggalkan negara awal hari ini untuk tujuan rawatan tulang belakang selepas larangan perjalanan tiga tahun ditarik balik, kata peguam. Musharraf yang kelihatan santai, menaiki penerbangan Emirates ke Dubai dari lapangan terbang Karachi pada jam 3.55 pagi waktu tempatan, menurut sumber lapangan terbang kepada AFP. Jurucakap parti tempatan di Karachi berkata, beliau akan tinggal di kediamannya di Dubai untuk beberapa minggu sebelum mendapatkan rawatan dengan doktor di Amerika Syarikat.

Peguam bagi bekas presiden yang berdepan pelbagai tuduhan termasuk pengkhianatan dan pembunuhan ke atas bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, berkata beliau memerlukan rawatan perubatan segera yang tidak terdapat di Pakistan. "Saya ke luar negara untuk rawatan tetapi akan kembali untuk menghadapi kes-kes terhadap saya," kata jurucakap parti di Karachi yang memetik beliau sebagai berkata. Penganalisis Hasan Askari berkata, peluang Musharraf untuk pulang adalah tipis, sambil menambah kepulangan beliau boleh menyebabkan masalah kepada kerajaan dan memalukan tentera. - AFP

Musharraf1903.transformed_zpso6popzrr.jpg
 
Dua Maut Ditembak Lelaki Bersenjata Di Turki

ANKARA: Seorang lelaki bersenjata menembak mati seorang anggota polis dan orang awam dalam insiden tembakan di tengah Ankara pada Rabu, lapor akhbar Cumhuriyet.



Ia melaporkan bahawa serangan itu berlaku di kawasan Dikmen di ibu negara Turki.

Ankara kini mengambil langkah berjaga-jaga selepas satu kumpulan yang dikaitkan dengan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) membunuh 37 orang dalam serangan bom berani mati di pusat bandar pada Ahad lalu. - Reuters

polisditembak_zpszdgdef9u.jpg
 
Ahmad Dhani cari sokongan parti politik

Jakarta: Pemuzik kontroversi, Ahmad Dhani Prasetyo meningkatkan kempennya menjelang pilihan raya gabenor Jakarta 2017 dan pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan parti politik dalam usaha mencabar gabenor yang ada sekarang, Basuki Tjahaja Purnama alias Ahok.

Walaupun sudah mendapat sokongan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Ahmad Dhani berkata, dia akan terus mendekati parti politik lain.

“Saya masih berusaha menemui pemimpin beberapa parti lain untuk menyokong pencalonan saya. Bagaimanapun, saya akan menyerahkan kepada parti itu untuk membuat keputusan sendiri,” kata Ahmad Dhani.

Dalam wawancara di sebuah hotel di Jakarta semalam, pemuzik itu juga berkata, pencalonannya bukan isu peribadi.

“Bukan saya yang merayu kepada parti dan meminta untuk dicalonkan.

“Parti terbabit yang menghampiri saya, meminta saya menjadi gabenor. Saya menyambut baik cabaran itu kerana saya mempunyai rancangan untuk dilaksanakan jika menjadi gabenor atau timbalan gabenor,” kata Ahmad Dhani.

Menurutnya, dia sudah cukup matang dan mampu berkhidmat kepada negara, baik sebagai ahli politik mahupun sebagai artis.

“Pada usia saya sekarang, saya mahu berkhidmat kepada negara,” katanya.

Ahmad Dhani juga berkata, dia mahu mendapatkan sokongan parti politik kerana tidak mempunyai dana peribadi untuk bertanding sebagai calon bebas. - Agensi

18hmdhanu_cropped.transformed_zpsmokdh9he.jpg
 
Denmark negara paling gembira, Syria sengsara

NEW YORK – Denmark diikuti rapat Switzerland, muncul sekali lagi sebagai negara paling gembira di dunia, sementara negara bergolak, Syria dan Burundi pula paling sengsara, menurut indeks global yang disiarkan kelmarin

Indeks tersebut, The 2016 World Happines Report bertujuan untuk mengukur kegembiraan sebagai antara kaedah menjadikan masyarakat lebih sihat dan efisien. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyiarkan kajian pertama seum*pamanya pada 2012.

Sama seperti 2015, Iceland, Norway, Finland, Kanada, Belanda, New Zealand, Australia dan Sweden melengkapi 10 tempat teratas indeks itu dengan tujuh daripadanya merupakan negara-negara kecil dan sederhana di Eropah Barat.

Negara paling sengsara pula ialah Burundi diikuti Syria, Togo, Afghanistan, Benin, Rwanda, Guinea, Liberia, Tanzania dan Madagascar. Indeks tersebut merangkumi 157 negara.

Membandingkan data terkumpul dari 2005 hingga 2015, laporan tersebut mendapati kegembiraan di Greece merosot paling teruk susulan krisis kewangan dan imigran yang melanda negara itu.

Kuasa besar dunia, Amerika Syarikat mengatasi beberapa negara Eropah Barat untuk muncul sebagai negara ke-13 paling gembira di dunia, meningkat dua kedudukan berbanding tahun lalu.

Jerman berada di tempat ke-16, Britain (23) dan Perancis (32), manakala beberapa negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain pula mengetepikan Itali yang menduduki tangga ke-50 diikuti Jepun kedudukan 53.

Negara paling ramai penduduk di dunia, China pula menduduki tempat ke-83, sementara demokrasi terbesar dunia, India di tempat ke-118.

Indeks tersebut diukur berdasarkan enam faktor termasuk kadar keluaran negara kasar (GDP), sokongan sosial, kebebasan sosial, kemurahan hati dan ketiadaan rasuah.

Antara 20 negara mencatat pe*ningkatan kegembiraan tertinggi kali ini termasuk Thailand, China, lapan negara bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur, tujuh di Amerika Latin, dua di kawasan Sahara serta Macedonia di rantau Balkan.

Kategori 20 negara yang mencatat kemerosotan kegembiraan tertinggi ialah Mesir, Iran, Jordan, Yemen, dan Arab Saudi (Asia Barat) diikuti Jepun serta India di Asia di samping Cyprus, Sepanyol Itali serta Greece di Eropah. – AFP

du_03.1_zpsddrnkggx.jpg
 
13 anggota polis Mesir maut dalam serangan militan IS di Semenanjung Sinai

KAHERAH: 13 anggota polis Mesir terbunuh dalam satu serangan militan Daish (IS) di pusat pemeriksaan selatan wilayah El-Arish, utara Semenanjung Sinai, pada Sabtu.

Kementerian Dalam Negeri Mesir dalam satu kenyataan berkata, cabang Daish yang berpangkalan di Sinai mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan terbabit.

Pegawai keselamatan Mesir turut melaporkan lima anggota militan Daish terbunuh dalam pertempuran di pusat pemeriksaan itu.

Pasukan keselamatan Mesir di Sinai sememangnya sering menjadi sasaran Daish.

Kumpulan itu didakwa menjadi dalang di sebalik insiden sebuah pesawat penumpang Rusia yang ditembak jatuh pada Oktober lalu yangmengorbankan 224 orang.

Mesir menyaksikan peningkatan gelombang pengeboman bunuh diri dan serangan militan selepas tentera menggulingkan Presiden pro Islam Mohammed Morsi pada 2013.
Cabang militan Mesir itu turut mendakwa bertanggungjawab ke atas sebahagian besar serangan yang dilancarkan.

41458436384_SinaiEgypt_zpsu0jkq4vj.jpg
 
Letupan Istanbul: 3 rakyat Israel antara 4 maut

ISTANBUL: Tiga rakyat Israel dan seorang warga Iran terbunuh dalam serangan bom berani mati di sebuah daerah yang sibuk dengan kegiatan membeli-belah, di tengah Istanbul, hari ini. Media tempatan Turki melaporkan, mangsa dikenali sebagai Simha Siman Demri, 60, Yonathan Suher, 40, Avraham Goldman, 70, (rakyat Israel) manakala rakyat Iran ialah Ali Riza Khalman.

Timbalan Menteri Kesihatan Turki, Ahmet Baha Otuken sebelum itu mengesahkan bahawa Simha Demri adalah antara empat mangsa yang maut dalam letupan itu dengan 36 yang lain cedera. - AFP

tanbulforsik.transformed_zpsgjhaw1vf.jpg
 
Back
Top
Log in Register