BTC USD 83,710.8 Gold USD 4,157.00
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

2 tentera maut letupan bom di selatan Thai

NARATHIWAT: Dua anggota tentera maut dalam letupan bom di selatan Thailand, kata polis, kematian terbaru dalam peningkatan kecil keganasan di wilayah bergolak itu. Kejadian tembakan dan letupan berlaku hampir setiap hari di tiga wilayah paling selatan di Thailand yang menyaksikan lebih 6,500, kebanyakan orang awam, maut sejak pemberontakan menentang pemerintahan Thailand tercetus semula pada 2004.

Dua askar berkenaan terbunuh di daerah Chanae, Narathiwat, tengah hari Rabu selepas bom diletupkan pada jarak jauh sebaik konvoi mereka melepasinya. "Kedua-dua maut serta merta di lokasi letupan dan lima lagi cedera, dua daripadanya dalam keadaan kritikal," kata superintenden polis Chanae, Kolonel Chumpol Nakapaksin. Selepas beberapa bulan keadaan tenang yang menyakiskan keganasan menurun di selatan Thailand, ada peningkatan dalam serangan sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa jam sebelum kedua-dua tentera itu terbunuh, seorang lelaki Islam ditemui mati ditembak di dada dalam keretanya berhampiran Sri Sakhon, kata polis. - AFP

10bomz.transformed_zpsasgmwjkh.jpg
 
Pemimpin Kanan IS Mungkin Terbunuh Dalam Serangan

WASHINGTON: Seorang komander militan Negara Islam (IS) yang disifatkankan oleh Pentagon sebagai 'menteri perang' kumpulan itu dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Syria.

Pegawai-pegawai AS berkata, berita itu menjadi kejayaan besar mereka dalam usaha untuk menyerang kepimpinan kumpulan militan itu.

Abu Omar al-Shishani, berada dalam kedudukan di kalangan militan paling dikehendaki di Amerika.

Dilahirkan pada tahun 1986 di Georgia, yang ketika itu masih sebahagian daripada Kesatuan Soviet, Shishani yang mempunyai janggut berwarna merah mempunyai reputasi sebagai seorang penasihat tentera yang hampir dengan pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi.

Pentagon percaya Shishani telah dihantar ke Syria untuk membantu tentera IS selepas mereka mengalami beberapa masalah di berhadapan tentera AS.

Jurucakap Pentagon Peter Cook berkata tentera AS itu masih menilai keputusan mogok, tetapi mengakui kepentingan potensinya

militanIS_zpsg7kqb840.jpg
 
OIC gesa haram produk Yahudi

Jakarta: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kelmarin menggesa produk dari penempatan haram Yahudi di Palestin diharamkan dan berikrar memberi sokongan penuh terhadap hak tak terpisah penduduk Palestin.

Gesaan itu dibuat pada hari terakhir sidang kemuncak luar biasa OIC mengenai Israel di Jakarta yang dihadiri wakil dari 57 negara.

Antara resolusi persidangan itu adalah menggesa negara anggota dan komuniti antarabangsa mengharamkan produk yang dihasilkan di penempatan haram Yahudi dari pasaran mereka.

Bagaimanapun, gesaan itu tidak diwajibkan kepada negara OIC.

Penempatan haram itu merujuk kepada kawasan komuniti Yahudi yang dibina di lokasi yang dijajah Israel sejak 1967.

Kawasan itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan antara penghalang utama rundingan damai Palestin dan Israel.

Antara yang menjadi pertikaian utama termasuklah penempatan haram yang dibina di satu kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dituntut Palestin sebagai sebahagian negara mereka.

Isu berkaitan barangan yang diimport dari penempatan haram berkenaan pernah mencetuskan ketegangan dengan Israel sebelum ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada November lalu menggantung hubungan diplomatik dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai rundingan damai Asia Barat selepas keputusan blok itu melabelkan produk berkenaan sebagai “Buatan Penempatan Israel” bukannya “Buatan Israel”.

Penggantungan itu berakhir pada bulan lalu apabila Netanyahu bertemu ketua dasar luar negara EU.

Pada hari terakhir persidangan itu, OIC turut berikrar untuk terus menyokong usaha politik, diplomatik dan undang-undang bagi memastikan Palestin memperoleh hak tak terpisah mereka. - AFP

09hmclose.transformed_zpsrn3mxcnk.jpg
 
Jutaan saksikan gerhana matahari di Indonesia

JAKARTA 9 Mac – Jutaan orang termasuk pelancong asing, hari ini mengambil peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku di 12 wilayah di negara ini.

Stesen televisyen tempatan yang membuat siaran langsung di wilayah-wilayah berkenaan me*laporkan orang ramai mengambil kesempatan sempena hari cuti umum, hari ini untuk berada di kawasan lapang seawal pukul 5 pagi waktu tempatan untuk menyaksikan fenomena alam itu.

Pulau Belitong di Sumatera Timur adalah daerah pertama di Indonesia yang menjadi gelap ge*lita selama kira-kira satu minit akibat gerhana matahari penuh dan fenomena itu disiarkan secara langsung stesen televisyen tempatan.

Hari ini adalah Hari Raya Nyepi yang disambut penganut Hindu di Indonesia, terutamanya penduduk di Bali yang memberhentikan sementara semua aktiviti ekonomi dan sosial selama 24 jam.

Umat Islam pula beramai-ramai menunaikan solat sunat gerhana yang dianjurkan di masjid-masjid termasuk Masjid Istiqlal di kota Jakarta pada kira-kira pukul 7 pagi dan mereka melaungkan takbir ‘Allahuakbar’ sebaik-baik berlakunya gerhana matahari itu.

Di Jakarta, orang ramai turut membanjiri Planetarium Taman Ismail Marzuki bagi melihat fenomena gerhana matahari yang ditayangkan pada sebuah skrin besar.

Timbalan Pengarah Geofisika, Badan Meteorologi, dan Klimatologi (BMKG), Masturyono dipetik sebagai berkata, lintasan pertama bayangan bulan ke matahari di Jakarta tercatat pada kira-kira pukul 6.21 pagi.

Katanya, bagi kawasan Jakarta, gerhana matahari berlaku kira-kira 80 peratus dan tidak menyebabkan Bumi menjadi gelap seperti yang berlaku di kawasan gerhana matahari penuh.

Tinjauan Bernama mendapati, kota Jakarta menjadi sepi ekoran orang ramai mengambil kesempatan untuk menyaksikan gerhana matahari.

Wilayah-wilayah yang me*nga*lami gerhana matahari penuh ialah Tanjung Pandan (Belitung), Muko-muko (Bengkulu), Palembang, Palangkaraya, Balikpapan, Palu, dan Ternate. – BERNAMA

imagess_zps6mugb5yt.jpg
 
Trump: Islam benci Barat

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Calon presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump berkata, masyarakat Islam telah menyorokkan rasa benci terhadap Barat.

"Saya rasa orang Islam membenci kita. Meskipun ia sukar dipercayai tetapi rasa kebencian itu jelas dirasai," katanya.

Sebelum ini, Trump sering mengeluarkan kata-kata kasar anti-Muslim termasuk mengharamkan sepenuhnya umat Islam daripada memasuki AS sekiranya beliau berjaya memenangi pilihan raya presiden negara itu.

Calon utama parti berkenaan juga enggan menarik semula dakwaan tidak berasasnya yang mendakwa melihat ribuan orang Islam di New Jersey bersorak ketika melihat Pusat Dagangan Dunia runtuh pada 11 September 2001.

Difahamkan, segala kenyataan panas Trump turut menyebabkan pesaing parti meningkatkan serangan menentangnya dan beberapa konservatif turut melabel beliau sebagai fasis. - Press TV

image_zpsciq1nz90.jpg
 
Tentera Sudan Selatan lemaskan 60 orang dalam kontena

LEER TOWN: Sebuah kumpulan hak asasi melaporkan bahawa tentera Sudan Selatan sengaja melemaskan lebih 60 orang lelaki dan remaja lelaki dalam sebuah kontena kapal.

Mereka kemudian membuang mayat mangsa di sebuah padang di Leer Twon, Negeri Unity, menurut Amnesty International.

Pengkaji berkata, mereka menemui rangka mayat pembunuhan itu yang dikatakan berlaku pada Oktober tahun lalu. Beribu-ribu orang terbunuh dan berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah sejak 2013.

"Berpuluh-puluh orang menderita kematian perlahan dan mengerikan dilakukan tentera kerajaan yang sepatutnya melindungi mereka. Pembunuhan ini perlu disiasat," kata wakil Amnesty, Lama Fakih.

Pengkaji Amnesty menemubual lebih 42 saksi termasuk 23 orang yang mendakwa melihat lelaki dan remaja terbabit dipaksa masuk ke dalam kontena kapal dan kemudian nampak mayat mereka dialihkan atau di lokasi pengebumian besar-besaran. - AGENSI

sudante.transformed_zpskhde7khd.jpg
 
Iran terima sistem S-300

MOSCOW - RUSIA. Moscow semalam memberitahu ia akan melakukan penghantaran pertama sistem pertahanan peluru berpandu S-300 ke Iran sebelum hujung tahun ini.

"Kami akan menghantarnya sebelum hujung tahun. Penghantaran pertama akan dibuat pada Ogos atau September depan," menurut ketua konglomerat industri Rusia, Sergei Chemezov dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal, semalam.

Bulan lalu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan berkata mereka akan menerima kumpulan pertama S-300 pada suku pertama tahun ini.

Sebelum ini, Rusia komited untuk menghantar sistem pertahanan ke Iran di bawah perjanjian bernilai AS$800 juta (RM3.3 bilion) yang dimeterai pada 2007.

Bagaimanapun, penghantaran enggan dilakukan pada 2010 dengan alasan bahawa perjanjian berkenaan telah dilindungi oleh pusingan keempat sekatan Majlis Keselamatan PBB ke atas Iran berhubung program nuklearnya.

Berikutan keengganan Rusia menyampaikan sistem terbabit, Teheran memfailkan aduan terhadap syarikat senjata Moscow dengan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di Geneva. - Press TV

image_zpsyciog3jl.jpg
 
PBB gesa pilihan raya di Syria dalam 18 bulan

BEIRUT: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria menggesa negara itu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 18 bulan lagi, pada Jumaat lalu ketika pembangkang negara itu mengumumkan penyertaan dalam rundingan damai baharu dijadualkan pada minggu depan. Namun antara perkembangan membimbangkan sebelum rundingan, serangan kerajaan dilaporkan membunuh tujuh penduduk awam di Aleppo, bandar kedua terbesar Syria walaupun ketika gencatan senjata.

Gencatan terbabit menyaksikan Syria agak tenang tanpa pertempuran antara rejim yang disokong Russia dan pemberontak bukan pengganas mulai 27 Februari lalu. Kuasa dunia kini mengharapkan gencatan untuk bertahan bagi membolehkan pusingan baharu rundingan bukan secara langsung dijalankan antara pembangkang dan kerajaan pada 14 Mac ini, di Geneva. Wakil PBB, Staffan de Mistura berkata, rundingan penting akan bermula Isnin minggu depan di Geneva dan ia dijangka tidak melebihi 10 hari.

Hari pertama rundingan itu adalah permulaan kiraan masa bagi kedua-dua pilihan raya presiden dan parlimen di Syria di bawah pemantauan PBB," katanya. "Pilihan raya baharu patut dianjurkan 18 bulan apabila rundingan bermula, iaitu pada 14 MAc," kata de Mistura kepada agensi berita kerajaan Russia, RIA Novosti. Bersandarkan gesaan itu, pilihan raya Syria mungkin diadakan pada pertengahan September 2017. - AFP

12pbb.transformed_zpsmn8bnkfi.jpg
 
Pertempuran tawan Ta’izz, 57 terkorban

SANA’A - YEMEN. Sekurang-kurangnya 57 orang yang terdiri daripada pemberontak Houthi, tentera Yaman serta orang awam maut dalam usaha menawan semula bandar Ta’izz, kelmarin.

Sumber pasukan tentera berkata, seramai 37 anggota tentera Yaman serta pemberontak Houthi maut dalam pertempuran tersebut dipercayai akibat serangan udara daripada tentera Arab Saudi.

Dalam serangan yang sama, 20 anggota pemberontak yang setia kepada bekas presiden, Abd Rabbuh Mansur Hadi serta orang awam turut terkorban.

Sementara itu, gabenor Ta’izz, Ali al- Maamari berkata, tentera pro-Hadi berjaya menawan bahagian barat serta selatan Ta’izz, termasuklah daerah al-Misrikh.

Ta’izz yang dikenali sebagai bandar budaya di Yaman, telah ditawan oleh kumpulan Houthi dan angkatan tentera bersekutu selama lebih setahun.- Press TV

image1_zpsydpldsp6.jpg
 
Israel serang Gaza, seorang kanak-kanak maut - Pegawai Palestin

BANDAR GAZA: Pesawat tentera Israel menyerang pangkalan Hamas di Semenanjung Gaza pada awal Sabtu.

Tindakan terbaharu rejim Zionis ini telah meragut nyawa seorang kanak-kanak dan mencederakan dua orang lagi, menurut jurucakap Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra sepertimana dilapor AFP.

Yasin Abu Khussa, 10 tahun, yang tinggal berdekatan kawasan sasaran maut, manakala adiknya Yasmin, 6, cedera parah dan abangnya Ayub, 13, cedera ringan.

Serangan dibuat beberapa jam selepas empat buah roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza oleh militan Palestin ke arah Israel pada malam Jumaat, namun tiada kecederaan dan kemusnahan dilaporkan.

"Sebagai tindakan balas ke atas serangan itu, Tentera Udara Israel mensasarkan empat kawasan Hamas di utara Semenanjung Gaza," lapor satu kenyataan tentera Israel.

Sejak berakhirnya perang di antara militan Israel dan Palestin pada musim panas 2014, kira-kira 34 roket dilancarkan dari kawasan pinggir pantai Palestin yang dikawal Hamas, menurut satu laporan pihak tentera.

Militan Islam Sunni yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daish dilapor mengaku terlibat, tetapi Israel mendakwa Hamas bertanggungjawab dalam serangan tersebut.

71457752963_Israeliairstrike_zpsnwqeq2ll.jpg
 
Back
Top
Log in Register