Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Dua Dekad Transformasi, PAAB Labur RM46.88 Bilion Perkukuh Bekalan Air Negara
Kredit: PAAB
Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya, menandakan dua dekad peranan strategiknya dalam memacu transformasi industri perkhidmatan air negara serta memperkukuh keterjaminan bekalan air demi kesejahteraan rakyat.
Sejak ditubuhkan pada 5 Mei 2006, syarikat itu telah membiayai pengambilalihan pinjaman industri air berjumlah RM23.04 bilion serta melaksanakan pelaburan pembangunan infrastruktur air bernilai RM23.84 bilion.
"Secara keseluruhan, jumlah pembiayaan dan pelaburan yang telah disalurkan mencecah RM46.88 bilion, menjadikan PAAB antara peneraju utama pembangunan infrastruktur awam negara," menurut PAAB dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sehingga Disember 2025, sebanyak 10 negeri telah menandatangani Pelan Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negara yang menyaksikan pelbagai infrastruktur strategik berjaya disiapkan sepenuhnya, termasuk 21 loji rawatan air berkapasiti 2,085 juta liter sehari, 42 tangki simpanan dengan kapasiti 783 juta liter, serta penyambungan dan penaiktarafan 3,263 kilometer jajaran paip di seluruh negara.
Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 PAAB di Dewan Bankuet Menara Felda Platinum Park telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Abdul Kadir Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar.
Fadillah dalam ucapannya berkata isu kehilangan air tidak terhasil (NRW) yang mencecah kadar 40 peratus di seluruh negara menuntut tindakan bersepadu serta agresif tanpa perlu menunggu pelan jangka panjang hingga 2050 bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih rakyat dan industri.
Beliau berkata langkah segera perlu dilaksanakan memandangkan Malaysia kini sedang rancak menarik pelabur asing bagi industri impak tinggi dan berpertumbuhan tinggi, termasuk pusat data yang memerlukan sokongan utiliti tenaga serta bekalan air yang stabil.
"Sepuluh tahun belum selesai lagi masalah non-revenue water. Kita masih membuat loji, tapi 40 peratus air hilang begitu saja. Tindakan bersepadu yang melibatkan semua agensi kerajaan peringkat Persekutuan dan sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan sekarang bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah gangguan bekalan air bersih," katanya.