BTC USD 75,957.0 Gold USD 4,272.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

DOSM Sasar Kerjasama Pemain Industri Selangor Lengkapkan Banci Ekonomi 2026

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141
ad9d205f438746e315dbd01a16facb256912f7e9de820

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyampaikan taklimat pada Program Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders Negeri Selangor hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memerlukan kerjasama erat pemain industri di Selangor bagi menjamin pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang melibatkan kira-kira 1.2 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara dapat dilaksanakan dengan lancar dan tepat.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata BE2026 akan bermula pada Februari tahun depan, dan Selangor dengan kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan berdaftar mempunyai peranan penting dalam dapatan banci tersebut.

"Selangor memainkan peranan penting dalam dapatan banci tersebut memandangkan negeri itu merekodkan kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain dengan tumpuan terbesar berada di daerah Petaling.

"Negeri ini menyumbang lebih 26 peratus kepada nilai keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi data yang diperoleh melalui banci mencerminkan keadaan ekonomi negeri tersebut secara menyeluruh dan tepat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Uzir bersama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi meluncurkan Sesi Libat Urus BE2026 Bersama Pemegang Taruh Selangor yang dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada wakil kerajaan negeri, persatuan industri, pertubuhan perniagaan, usahawan dan agensi.

Mohd Uzir berkata dapatan bancian dapat membantu kerajaan negeri dan Persekutuan memahami struktur ekonomi semasa termasuk penggunaan teknologi dan automasi di tempat kerja, komposisi tenaga kerja mahir dan kurang mahir serta sektor yang memerlukan keutamaan pembangunan.

Beliau berkata data bancian juga akan menjadi asas kepada perancangan strategik ekonomi pada peringkat negeri dan nasional termasuk penyediaan latihan kemahiran, dasar pelaburan, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penambahbaikan ekosistem perniagaan.

Mengulas kerjasama industri, Mohd Uzir berkata sokongan dan keterbukaan syarikat dalam memberikan maklumat yang tepat amat penting bagi memastikan kualiti statistik yang dihasilkan memenuhi piawaian antarabangsa.

Beliau berkata DOSM telah memulakan siri jelajah libat urus di seluruh negeri dan mengedarkan bahan hebahan kepada persatuan perdagangan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memperluaskan pemahaman mengenai kepentingan banci tersebut.

 
Back
Top
Log in Register