combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
DKU Dibenar Mulakan Prosiding Komital Terhadap Mubarak, Lima Lagi
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap enam individu yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun lepas.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon telah berjaya membuktikan kes prima facie bagi memulakan prosiding komital, iaitu mekanisme perundangan untuk menghukum perbuatan menghina mahkamah.
Enam individu terbabit ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Perintah injunksi ad interim itu dikeluarkan dalam kes saman yang difailkan berhubung pelantikan Yang Dipertuan Besar.
Roz Mawar turut menolak permohonan keenam-enam individu untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai ini sebagai pendengaran bagi prosiding komital.
Peguam Steven Thiru mewakili Raja Norazli dan DKU manakala keenam-enam individu diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.
Antara lain, kandungan minit mesyuarat itu adalah berkaitan keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.