combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Mahkamah Rayuan Benar Tangguh Prosiding Komital Terhadap Mubarak, Lima Individu Lain
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan enam individu untuk menangguhkan prosiding komital sementara rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membenarkan prosiding itu dimulakan didengar dan diputuskan.
Prosiding komital itu berkaitan dakwaan bahawa mereka melanggar perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lepas.
Enam individu terbabit ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli, bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, membenarkan permohonan penangguhan itu sementara rayuan mereka didengar dan diputuskan.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 30 Julai bagi menetapkan tarikh awal pendengaran rayuan berkenaan.
Kesemua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain pada 8 Julai lepas, yang memutuskan terdapat kes prima facie dan mengarahkan mereka menjawab permohonan komital tersebut.
Roz Mawar turut menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan diputuskan.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.