combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,141
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,141
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (empat, kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim (tiga, kanan) bersama guru-guru sekolah memotong kek sempena Hari Guru pada majlis Anugerah Cemerlang dan Kempen Internet Selamat di Ayer Keroh, hari ini.
Agenda memperkukuh pendidikan di Parlimen Hang Tuah Jaya diteruskan menerusi penyaluran RM127,000 kepada 34 sekolah bagi tujuan naik taraf prasarana, selain memperluas bantuan pendidikan kepada pelajar cemerlang dan golongan memerlukan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata bantuan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan tiada sekolah tercicir daripada menerima manfaat pembangunan pendidikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23 sekolah rendah menerima RM3,000 manakala 11 sekolah menengah menerima RM5,000.
“Selain itu, bantuan khas RM10,000 turut disalurkan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bukit Katil bagi perolehan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin menerima RM15,000 bagi kos menaik taraf dewan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Adam Adli berkata pelaburan terhadap pendidikan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur sekolah malah meliputi bantuan berterusan kepada pelajar sebelum dan selepas menduduki peperiksaan termasuk tuisyen, bantuan pendidikan, peranti serta sokongan kewangan kepada pelajar, khususnya di Parlimen Hang Tuah Jaya.
“Kami ada banyak kerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan ini adalah agenda berterusan yang akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Pada tahun pertama di Parlimen Hang Tuah Jaya, kami membelanjakan lebih RM600,000 bagi pendidikan termasuk sumbangan kepada sekolah, pelajar serta fasiliti infrastruktur dan kini jumlah itu meningkat sehingga hampir RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada penambahbaikan fasiliti sekolah serta terus menerima sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi.