Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 32,000 khidmat penyelamatan khas setakat Julai tahun ini, meningkat berbanding 23,999 kes sepanjang 2024.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata khidmat itu meliputi pelbagai kes luar jangka termasuk melibatkan haiwan, serangga berbisa, serta permintaan mencuit hati daripada orang awam.
āAntara kes yang kita terima termasuk menangkap ular, biawak, lebah, tebuan, menyelamatkan kucing terperangkap di bumbung atau pokok, serta kes tidak mengancam nyawa seperti kunci jatuh ke longkang atau ayam jiran bersembunyi di bawah kereta,ā katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, walaupun ada kes kelihatan remeh atau lucu, JBPM tetap menilai setiap situasi dari sudut keselamatan dan kemampuan individu menyelesaikannya sendiri.
āContohnya, ada panggilan dari Jambatan Pulau Pinang melaporkan ātersepitā di dalam kereta. Apabila tiba, pintu kiri rapat dengan penghadang, tetapi pintu kanan boleh dibuka seperti biasa. Bila panik, orang tidak berfikir secara logik,ā katanya.
Nor Hisham turut berkongsi kes lain seperti panggilan kecemasan akibat langau hijau yang disangka tebuan, dron tersangkut di pokok yang disangka individu terperangkap, serta ikan keli terlepas ke longkang.
Beliau berkata pihaknya akan bertindak jika lokasi dalam jarak munasabah seperti 10 minit dari balai, namun bagi kes tidak kritikal dan jauh, panduan penyelesaian akan diberikan secara kendiri.
āPendekatan kita ada dua. Pertama, menilai sama ada wajar menghantar anggota. Kedua, memahami kepercayaan rakyat terhadap kebolehan bomba untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Kepercayaan ini perlu kita hormati,ā katanya.
bomba, Nor Hisham Mohammad, JBPM, khidmat penyela
www.bernama.com