lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
Bila sebut "Fairy" atau "Bunian" kat Ireland, rupa dia bukanlah macam kartun animasi Tinkerbell yang comel tu.
‘The Fae’ (atau orang sana panggil ‘The Good People’ sebagai nama kiasan - sebab takut nak sebut nama sebenar) adalah makhluk yang sangat cantik tapi sangat kejam dan tak ada perasaan. Bagi diorang, manusia ni macam mainan. Kalau mainan tu rosak, diorang buang je.
Dan senjata utama untuk lawan diorang ialah ‘Besi Sejuk / Cold Iron’.
Ini kisah Syamsul, yang dulu pernah belajar engineering kat Dublin, Ireland.
Cincin Cendawan Bunian (The Fairy Ring) – (Ireland)Lokasi: Sebuah padang ragut di kawasan pedalaman County Kerry, Ireland.
Petang tu Syamsul keluar jogging sorang-sorang. Ireland ni kan hijau dia level lain, cantik gila. Syamsul terleka dengan keindahan pemandangan ciptaan Tuhan, sampai dia lari jauh sikit dari jalan besar, termasuk ke kawasan padang rumput yang ada banyak batu-batu lama.
Tengah dia leka berlari, dia nampak ada sesuatu benda yang pelik - kat tengah padang tu, ada bulatan cendawan (mushroom ring) yang tumbuh cantik sangat, dalam bentuk bulatan yang sempurna.
Orang tua-tua kat Ireland panggil benda ni "Fairy Ring". Pantang larang dia:
Jangan sesekali masuk ke dalam bulatan tu.
Tapi si Syamsul ni dia dah terpana dengan pemandangan cendawan yang cantik tu, lalu dengan berani dia pergi dekat-dekat nak tengok. Dia tak masuk ke dalam bulatan cendawan tu, tapi berdiri betul-betul kat tepi nak ambik gambar guna phone.
Tiba-tiba... Suasana sekeliling terus jadi senyap sunyi. Bunyi angin hilang. Bunyi burung hilang. Kabus tebal warna putih berkepul-kepul naik mendadak dari tanah.
Syamsul pusing belakang, jalan raya tadi dah tak nampak.
Di sebalik kabus tu, muncul seorang perempuan yang sangat cantik. Rambutnya merah panjang mengurai, kulit putih melepak, mata hijau macam zamrud. Dia senyum kat Syamsul dan hulurkan tangan.
"Come dance with us... The music is starting," suara dia lunak merdu, macam bunyi loceng halus.
Syamsul rasa terpukau. Kaki dia secara automatik melangkah nak masuk ke dalam bulatan cendawan tu. Otak dia kata "Jangan!", tapi badan dia bergerak sendiri. Dia rasa bahagia sangat tengok perempuan tu.
Perempuan tu genggam jari Syamsul. Sejuk gila tangan dia!
Syamsul, dalam keadaan mamai tu, cuba nak balas genggaman tangan perempuan tu. Tapi masa dia nak genggam tu, tangan kiri Syamsul terseluk sikit ke dalam poket seluar tracksuit dia.
Dalam poket tu, ada segugus kunci rumah. Kunci rumah dia tu jenis kunci lama yang berat, dan keychain dia pulak jenis besi padu lambang universiti.
Sebaik sahaja tangan perempuan tu tersentuh besi kunci yang tersembul sikit dari poket Syamsul...
HISSSSSSSS!!!
Bunyi macam daging diletak atas kuali panas!
Perempuan cantik tadi terus meraung kesakitan, tapi suara dia bukan suara manusia. Suara dia nyaring, bingit macam bunyi serigala melolong sakit. Dia rentap tangan dia serta-merta.
Syamsul terkejut beruk, terus sedar dari pukauan.
Dia tengok tapak tangan perempuan tu... melepuh dan berasap hitam, macam kena asid. Kulit muka perempuan tu yang tadi cantik licin, tiba-tiba "retak" sikit, menampakkan rupa sebenar dia yang macam kulit pokok kering dan mata hitam pekat tanpa ada warna putih.
"IRON! FILTHY IRON!" jerit makhluk tu, muka dia bengis gila.
Dia cuba nak terkam Syamsul, tapi dia tak boleh dekat sebab Syamsul pegang kunci tu kuat-kuat macam senjata. Syamsul nampak di belakang perempuan tu, dalam kabus, ada berpuluh-puluh lagi makhluk mata hitam sedang perhatikan dia dengan bengis dan lapar.
Syamsul tak fikir panjang. Dia pecut lari lintang pukang sambil genggam kunci tu. Dia lari main redah je kabus tu sampai jatuh tergolek masuk ke jalan raya tar.
Bila dia toleh belakang... padang tu kosong. Cuma ada bulatan cendawan tu je.
Syamsul demam seminggu lepas tu. Tuan rumah dia (orang Ireland) bila dengar cerita tu, dia cuma cakap:
"Kamu bernasib baik kamu bawak besi. Kalau kamu masuk dalam bulatan tu, mungkin seratus tahun lagi baru kami jumpa kamu... tapi umur kamu takkan bertambah sehari pun."
Nota Penting:
Cerita-cerita dalam koleksi ini adalah adaptasi peribadi yang dikumpul dari internet, media sosial dan sebagainya. Ia diolah semula dalam gaya penulisan/naratif aku sendiri.
Kalau rasa cerita ni "macam familiar je" sebab pernah tengok kat tempat lain — mungkin sebab ada yang suka salin, tapi tak pernah faham jiwa.
Dalam dunia konten, idea ibarat nyawa — Tapi bila kau salin tanpa rasa, yang tinggal cuma kulit.
-lempeng-