BTC USD 76,160.4 Gold USD 4,341.92
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Asia Tenggara berdepan risiko tinggi jerebu teruk separuh kedua 2026

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Asia Tenggara berdepan risiko tinggi jerebu teruk separuh kedua 2026​

screenshot_2026-06-24_145252.jpg

Jerebu di Marina Bay Sands dan Singapore Flyer pada Oktober 2023. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Asia Tenggara berdepan risiko tinggi berlaku jerebu rentas sempadan yang teruk pada separuh kedua tahun ini.

Keadaan dijangka memuncak antara Ogos hingga September berikutan fenomena El Nino, yang membawa cuaca lebih panas dan kering,

IKLAN

Demikian menurut amaran sebuah badan pemikir Singapura hari ini (24 Jun).

Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) menyatakan ia sudah mengeluarkan amaran tahap "merah" yang jarang diberikan dalam laporan setebal 17 halaman bertajuk 'Haze Outlook 2026'.

Ia menandakan risiko tinggi jerebu rentas sempadan yang teruk menjejas Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura pada bulan-bulan mendatang tahun ini.

Sebahagian besar jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini.

Bagi 2026, SIIA menyatakan peningkatan risiko tahun ini turut didorong oleh gangguan perkapalan di Selat Hormuz yang meningkatkan tekanan kos terhadap sektor pertanian, sebahagiannya akibat kekurangan bekalan bahan api dan kenaikan harga baja.

IKLAN

Permintaan yang semakin meningkat terhadap bio-bahan api juga menimbulkan kebimbangan bahawa sesetengah pengeluar mungkin memperluaskan kawasan peladangan mereka, dengan menggunakan kaedah pembakaran secara terbuka.

Musim kemarau yang berpotensi menjadi teruk pada tahun ini akan menjadi satu "ujian ketahanan" terhadap langkah-langkah pencegahan kebakaran dan pengurusan tanah di rantau ini, menurut laporan tersebut.

Pengerusi SIIA, Simon Tay, berkata: “Ramalan menunjukkan musim kemarau yang teruk mungkin berlaku, namun kita tidak seharusnya bersikap pasrah. Banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan senario paling buruk serta memperkukuh daya tahan iklim, keselamatan tenaga dan makanan, serta kerjasama serantau.

“Cabarannya adalah untuk memastikan amalan mampan terus dikekalkan di seluruh rantaian bekalan, termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang mungkin berdepan tekanan ekonomi yang lebih besar.”

Laporan itu turut menggesa kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.

IKLAN

Menurut laporan tersebut, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang baru ditubuhkan bertujuan memperkukuh penyelarasan dasar berkaitan pengurangan jerebu dan pengurusan tanah, sekali gus melengkapi data saintifik serta pemantauan jerebu melalui satelit yang disediakan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura.

EL NINO

Menurut laporan itu, insiden jerebu paling serius dalam sejarah lazimnya berlaku apabila fenomena El Nino dan Dwikutuban Lautan Hindi Positif (Positive Indian Ocean Dipole) berlaku serentak, seperti yang berlaku pada 1997 hingga 1998, 2015 dan 2023.

El Nino ialah corak iklim semula jadi yang dicirikan oleh suhu permukaan laut yang luar biasa panas di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik.

Fenomena itu menyebabkan cuaca lebih panas, hujan berkurangan dan keadaan lebih kering di rantau ini. Sebelum ini, pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa El Nino “super” atau “Godzilla” - merujuk kepada keadaan El Nino yang lebih ekstrem - mungkin berlaku.

IKLAN

“Keadaan cuaca sepanjang separuh kedua 2026 berpotensi menjadi antara musim kemarau paling panas dan paling kering yang pernah dicatatkan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran tanah merebak di luar kawalan,” menurut laporan SIIA.

Keadaan yang lebih panas dan kering meningkatkan kemungkinan kebakaran tanah gambut dan tumbuh-tumbuhan berlaku di rantau ini.

SIIA menyatakan fenomena El Nino kini sedang berlaku dan terdapat kebarangkalian 63 peratus untuk El Nino dahsyat berlaku, berdasarkan data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional Amerika Syarikat (NOAA).

SIIA turut menekankan satu lagi fenomena iklim yang mungkin berlaku serentak dengan El Nino, iaitu Dwikutuban Lautan Hindi (Indian Ocean Dipole), yang mempengaruhi keadaan iklim di Lautan Hindi.

Bagaimanapun, badan pemikir itu menyatakan bahawa fenomena tersebut lebih sukar diramal dan tiada anggaran kebarangkalian yang dipersetujui secara meluas bagi fasa-fasanya.

Jabatan Kaji Cuaca Singapura meramalkan fenomena Dwikutuban Lautan Hindi Positif akan berkembang antara Julai dan Ogos, yang boleh memburukkan lagi keadaan panas dan kering.

Dalam taklimat media pada Rabu (24 Jun), Encik Tay berkata gambaran yang lebih jelas akan muncul apabila musim kemarau menghampiri kemuncaknya pada Ogos.

Beliau menambah bahawa tahap keterukan jerebu akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk lokasi kebakaran dan keadaan angin semasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa jerebu pada 2015, yang berlaku ketika El Nino melanda dan Dwikutuban Lautan Hindi Positif berlaku serentak, membawa kesan kesihatan dan ekonomi yang serius.

Menurut data yang dipetik oleh SIIA, episod tersebut menyebabkan kerugian ekonomi di Indonesia dianggarkan mencecah AS$16.1 bilion (S$20.9 bilion), manakala Singapura mengalami kerugian sehingga AS$1.42 bilion.

TEKANAN EKONOMI

Walaupun faktor cuaca kekal sebagai punca utama, laporan itu turut menyorot bagaimana gangguan geopolitik boleh menyumbang kepada risiko jerebu.

Sebagai contoh, gangguan terhadap perkapalan di Selat Hormuz mewujudkan tekanan baharu terhadap sektor pertanian yang dijangka berterusan, sekali gus berpotensi mendorong amalan pembakaran tanah yang tidak mampan.

Gangguan terhadap laluan perkapalan itu meningkatkan kos baja dan bahan api, sekali gus menaikkan kos pengeluaran petani walaupun harga jualan makanan dan komoditi tidak meningkat pada kadar yang sama.

Walaupun pengusaha dalam industri yang mempunyai aliran tunai lebih kukuh seperti minyak sawit dijangka mampu menanggung peningkatan kos tersebut buat sementara waktu, situasi yang sama tidak semestinya berlaku terhadap petani buah-buahan dan sayur-sayuran.

Secara keseluruhannya, laporan itu menyatakan bahawa peningkatan kos boleh mendorong sesetengah pengusaha menggunakan kaedah membakar hutan berbanding jentera untuk membersihkan tanah dan melupuskan sisa pertanian.

Bagaimanapun, SIIA menegaskan bahawa setakat ini tiada bukti kukuh menunjukkan syarikat-syarikat mengurangkan komitmen mereka terhadap pencegahan kebakaran dan amalan kemampanan.

Pada masa yang sama, krisis tenaga global meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian untuk pengeluaran biobahan api.

Secara khusus, Indonesia, Malaysia dan Thailand sedang memperluaskan mandat biodiesel masing-masing dengan meningkatkan peratusan kandungan minyak sayur dalam diesel yang dijual di pasaran.

Perkembangan itu boleh menggalakkan peluasan kawasan peladangan dan sekali gus meningkatkan risiko bahawa pengusaha, khususnya SME, akan menggunakan kaedah membakar hutan sebagai kaedah yang lebih murah.

 
Back
Top
Log in Register