Asia Tenggara berdepan ujian tunaikan janji iklim
Penduduk menolak beca roda tiga di sebuah jalan yang dilanda banjir menyusuli hujan monsun lebat di Mandaluyong, Metro Manila, Filipina, pada 17 Ogos 2026. (Gambar: AP/Joeal Calupitan)
SINGAPURA: Asia Tenggara berdepan cabaran yang semakin getir untuk mengubah komitmen iklim kepada tindakan nyata di peringkat akar umbi, daripada melibatkan golongan muda dalam penggubalan dasar hingga melindungi masyarakat daripada risiko kesihatan berkaitan iklim.
Isu itu menjadi tumpuan dalam Latihan 'Climate Reality Leadership Corps' di Singapura, anjuran The Climate Reality Project, sebuah pertubuhan tidak mengaut untung yang diasaskan mantan Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore.
IKLAN
Acara dua hari yang bermula pada Selasa (8 Sep) itu menghimpunkan kira-kira 800 peserta dari seluruh Asia Tenggara.
Menurut pertubuhan tersebut, separuh daripada peserta berusia 30 tahun ke bawah.
Latihan itu merupakan sesi kepimpinan ke-10 pertubuhan tersebut di rantau ini dan yang pertama diadakan di Singapura.
Antara topik yang dibincangkan ialah peralihan tenaga, pembiayaan iklim dan kerjasama serantau.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Climate Reality Project, Phyllis Cuttino, berkata latihan tersebut berlangsung pada masa yang penting bagi Asia, ketika pelepasan global terus meningkat dan "tahap cita-cita pemerintah" di sesetengah bahagian dunia semakin merosot.
IKLAN
Beliau berkata Asia penting dalam menentukan hala tuju krisis iklim pada dekad akan datang.
Menurut Cik Cuttino, Singapura menunjukkan kepimpinan dalam usaha menangani krisis iklim, termasuk dengan mengenakan cukai karbon dan tidak memberi subsidi kepada bahan api fosil.
PELIBATAN GOLONGAN MUDA
Pengasas bersama 'Youth for Energy Southeast Asia', Jitsai Santaputra, berkata golongan muda perlu dianggap bukan sekadar penerima manfaat dasar, sebaliknya individu yang dapat memberi pandangan dan maklum balas sebenar mengenai penggunaan tenaga serta jenis tenaga yang mereka mahu gunakan.
Beliau berkata penyertaan golongan muda dan masyarakat awam dalam perbincangan bersama pihak berkepentingan di Asia Tenggara semakin meningkat.
IKLAN
Namun, Cik Jitsai menegaskan bahawa perwakilan dan rundingan tidak semestinya diterjemahkan kepada pengaruh sebenar terhadap dasar.
Menurutnya, pihak penggubal dasar perlu mewujudkan struktur yang menjelaskan bagaimana maklum balas itu akan dilaksanakan.
PERUBAHAN IKLIM SEBAGAI ISU KESIHATAN
Profesor Madya Kesihatan Global dan Planet di Institut Kesihatan Global SingHealth Duke-NUS, Renzo Guinto, berkata "perubahan iklim kini semakin memberi kesan kepada kesihatan manusia".
Risikonya bukan hanya melibatkan haba ekstrem, malah mutu udara, penyakit berjangkit, serta jaminan makanan dan air, terutama di bandar-bandar Asia Tenggara yang padat dan berkembang pesat.
IKLAN
Beliau berkata pendedahan harian kepada haba di Singapura sendiri sudah menjejas kesihatan fizikal dan mental penduduk.
Beliau turut merujuk kepada banjir di Metro Manila akibat hujan lebat dan taufan, yang menurutnya memberi kesan paling besar kepada "masyarakat paling miskin".
MOBILITI LEBIH HIJAU
Pengarah Pembangunan Bandar di Institut bagiIklim dan Bandar Mampan, Golda Hilario, berkata usaha menangani pelepasan daripada sektor pengangkutan sudah dijalankan, namun perubahan pada skala lebih besar masih diperlukan.
Beliau berkata bandar yang lebih padat dan mudah diakses dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor privet.
Ini membolehkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam, berjalan kaki atau berbasikal.
Menurut Cik Hilario, usaha itu bukan sekadar melibatkan penggunaan kenderaan elektrik, malah memastikan sistem pengangkutan "dimampui dan mudah diakses semua golongan".
Asia Tenggara berdepan ujian tunaikan janji iklim
Asia Tenggara berdepan cabaran yang semakin getir untuk mengubah komitmen iklim kepada tindakan nyata di peringkat akar umbi, daripada melibatkan golongan muda dalam penggubalan dasar hingga melindungi masyarakat daripada risiko kesihatan berkaitan iklim.