BTC USD 81,982.1 Gold USD 4,165.56
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Asal usul Thoriqat

Bermula Sejarah Toriqat Naqsyabandiah Al-Kholidiyah

Toriqat Naqsyabandiyyah ialah sebuah kumpulan pengamalan kerohanian tasawwuf yang di asaskan oleh Syeikh Muhammad Baha`ud-Din bin Muhammad bin Muhammad al-'Uwaisy an-Naqshabandi al-Bukhari. Beliau dilahirkan di sebuah daerah kecil yang bernama Qashr al-Arifan lebih kurang empat kilometer dari bandar Bukhara, Uzbekistan pada tahun 717H bersamaan 1317M. Beliau kembali ke rahmatuLLah pada tahun 791H bersamaan 1389M.

Semasa hayatnya, Syeikh Muhammad Baha` ud-Din sempat belajar dan mengambil toriqat daripada Syeikh as-Sharif Sayid Amir Kulal bin Syed Hamzah yang wafat 772H bersamaan 1371M .Beliau juga sempat berguru dengan Syeikh Muhammad Baba as-Samasi (wafat pada tahun 740H bersamaan 1340M) iaitu tuan guru kepada gurunya, Syeikh Sayid Amir Kulal. Bermula susur galur salsilah sanad Syeikh Muhammad Baha` ud-Din iaitu :

Diperintahkan Allah SWT kepada Jibrail al-Ameenu Alaihi as-Salam mewahikan kepada

1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam lalu menurunkan kepada
2. Saiyidina Abu Bakr as-Siddiq r.a
3. Salman Farisi r.a
4. Saiyidina Qosim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq r.a.hum
5. Saiyidina Ja'afar bin Muhammad Sodiq keturunan saiyidina Hassan bin Ali r.a.hum
6. Abu Yazid al-Bustomi q.s
dan dipendekkan sehinggalah ke Syeikh Muhammad Baha 'ud-Din al-Bukhori an-Naqsyabandi iaitu salsilah sanad yang ke-16.

Dengan ini dapatlah diandaikan bahawa toriqat ini secara zahirnya dinisbahkan kepada Naqshabandi mungkin disebabkan karamahnya yang terserlah pada situasi masyarakat ketika itu pegangan agama mereka yang semakin goyah. Ataupun mungkin juga disebabkan oleh keahlian atau kemampuan beliau sebagai seorang mujtahid di dalam bidang dan zamannya yang tersendiri.

Menurut Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi, nama Naqshabandiyyah di ambil daripada dua lafaz arab iaitu نقش dan بند.. Lafaz نقش bermaksud ukiran yang dicop pada sesuatu benda. Manakala lafaz بند pula bermaksud layar atau bendera yang besar. Jadi, singkatan ini membawa maksud ‘gambaran yang tertera pada sesuatu samada pada bendera atau layar yang besar’.

Menurut sebahagian ulama Naqshabandiyah, nama Naqshabandi di ambil sempena dengan awal penyebarnya yang termasyhur iaitu Syeikh Muhammad Baha` ud-Din al-Husaini an-Naqsyabandi. Diriwayatkan juga bahawa beliau dalam keadaan lafaz ism sentiasa melazimi berzikir mengingati Dzat Allah (lafaz al-Jalalah) terukir dihatinya tanpa terpisah sedikitpun. Sesetengah ulama Naqsyabandiyah mengatakan Naqsyabandi itu dinisbahkan kepada tempat kelahiran Syeikh Muhammad Baha` ud-Din. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau pernah didatangi Rasulullah SAW secara rohani ketika berzikir. Lalu Baginda meletakkan tangannya ke atas dada beliau. Lanjutan dari peristiwa ini terukirnya ismu Dzat dihati beliau secara berterusan.

Selebihnya, sebahagian ulama toriqat Naqsyabandiyah berpendapat Naqsyabandi adalah istilah yang lahir sahaja. Hakikatnya ialah gambaran dari lautan makrifatuLLah yang tak bertepi itu cuma diperlihatkan kepada mereka. Hal seperti ini tentu sukar untuk digambarkan dengan dalil dan fikiran melainkan bagi mereka yang menempuh jalan dan benar-benar merasai geloranya sahaja yang akan mengerti.

Secara keseluruhannya dapatlah difahami bahawa toriqat Naqsyabandiyah adalah sejenis amalan kerohanian yang dinisbahkan kepada pengasasnya yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad Baha` ud-Din bin Muhammad an-Naqsyabandi al-Bukhari. Di samping itu, boleh juga diandaikan bahawa penisbahan ini berlaku disebabkan oleh daya kebolehan dan keijtihadan beliau dalam bidang yang diceburinya. Manakala pengamalan kerohanian yang dipraktikkan pula merupakan kumpulan zikir yang bertindak sebagai wasilah untuk menyampaikan diri ke hadhrat Subhanahu Wa Taala Jalla Jalalah.

Al-Kholidiyah pula dinisbahkan kepada cara pengamalan Syeikh Kholid Uthmani al-Kurdi dalam toriqat an-Naqsyabandi. Beliau dilahirkan pada tahun 1193H bersamaan 1779M di Kampung Karada, Kota Sulaimaniyah, Iraq. Kepimpinan beliau di dalam toriqat an-Naqsyabandi diiktiraf sebagai mujtahid yang mujaddid pada kurun ke 13H sehingga diberikan gelaran al-Mujaddidiyah.

Beliau dididik dan dibesarkan di Kota Sulaimaniyah yang pada waktu itu pusat ilmu yang utama di Iraq. Beliau bermazhab as-Shafie dan berasal dari keturunan Saiyidina Uthman bin Affan r.a. Beliau mempelajari Al-Quran dan Tafsir Imam ar-Rafaie dan sangat masyhur dengan gelaran seorang penyair. Ketika berumur lima belas tahun beliau mula hidup secara berzuhud.

Syeikh Kholid mula mempelajari ilmu dengan dua orang ulama besar iaitu Syeikh Abdul Karim al-Barzanji dan Syeikh Abdur Rahim al-Barzanji. Beliau juga belajar dengan Mawlana Muhammad Soleh. Beliau juga turut mempelajari ilmu duniawi seperti ilmu hisab, falsafah dan mantiq. Kemudian beliau berpindah ke Baghdad dan mempelajari pula kitab Mukhtasar al-Muntaha, iaitu satu ensiklopedia dalam bidang usul fiqh.

Tidak cukup dengan itu, beliau mempelajari pula kitab-kitab karangan Imam Ibn Hajr al-Asqalani, Imam as-Sayuti dan Imam Ibn Hajr al-Haithami. Seluruh kitab tafsir al-Baidawi dihafalnya. Dengan ilmunya, beliau dapat menyelesaikan banyak permasalahan fiqh dengan mudah. Beliau dikatakan menguasai semua empat belas jenis qiraat dan menjadi masyhur di mana-mana sahaja dengan kemampuan ini.

Syeikh Kholid kemudiannya mula berkhalwat dan meninggalkan semua pengajiannya untuk mencari Allah dengan melakukan ibadat dan zikruLLah samada secara jahr mahupun sirr. Saat itu, dia mula menghentikan kebiasaannya menziarahi sultan-sultan dan menyendiri bersama murid-muridnya sehingga tahun 1220M bersamaan 1806M. Beliau kemudiannya berpindah ke India pada tahun 1224H/1809M melalui bandar Ray, Teheran dan beberapa kota lain di Iran. Di India, beliau telah dibai'ah oleh guru mursyidnya iaitu Syeikh AbduLLah ad-Dahlawi.

Beliau kemudiannya mempelajari ilmu hadith, tafsir, tasawwuf dan lain-lain ilmu dari Syeikh AbduLLah ad-Dahlawi. Beliau diberikan keizinan untuk mengajarkan ilmu-ilmu tersebut kepada murid-muridnya pula. Dia juga telah menghafaz kitab Imam Hadith Dua Belas. Dengan kemampuannya, beliau akhirnya telah diijazahkan dengan lima macam toriqat. Antaranya, toriqat Naqsyabandiyah, toriqat al-Qodiriyyah, toriqat Suhrawardiyah, toriqat Kubrawiyah dan toriqat Chistiyyah. Beliau kembali ke rahmatuLLah pada hari Jumaat 13 Zulqaedah 1242H bersamaan 1827M.

Selain penisbahan al-Kholidiyah, terdapat juga penisbahan yang lain seperti toriqat Naqsyabandiyah al-Mazhariyah. Iaitu penisbahan yang dibuat berdasarkan kepada keijtihadan dan kepimpinan Syeikh Shamsud-Din Janjana Mazhar. Begitu juga dengan penisbahan toriqat an-Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah. Iaitu penisbahan yang dibuat bersempena dengan keijtihadan dan cara pengamalan Syeikh Ahmad Faruqi as-Sirhindi al-Mujaddidiyah.

Akan tetapi, selepas daripada zaman Syeikh Kholid Uthmani al-Kurdi, penisbahan ini amat sinonim untuk toriqat an-Naqsyabandiyah al-Kholidiyah. Maka dengan kedudukan ini terbentuklah toriqat an-Naqsyabandiyah al-Kholidiyah hingga sekarang . Maksudnya tidak berlaku apa-apa nisbah perubahan lagi terhadap pimpinan toriqat ini kerana syarat penisbahannya begitu ketat dikalangan masyaeikh toriqat. Hal ini diambil kira bagi mengelak sebarang pengurangan, penambahan dan penyelewengan serta pandangan serong masyarakat terhadap aliran toriqat an-Naqsyabandiyah.

Kesimpulannya, penisbahan Naqsyabandiyah al-Kholidiyah, Naqsyabandiyah al-Madhariyah ataupun Naqsyabandiyyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah sebenarnya dilihat bersifat cawangan sahaja daripada Naqsyabandi. Secara jelasnya, penisbahan itu berlaku disebabkan keijtihadan dan kewibawaan pemimpin berkenaan di dalam toriqat Naqsyabandiyah pada kedudukan dan zaman yang tertentu. Walau bagaimanapun, penisbahan toriqat Naqsyabandiyah al-Kholidiyah dilihat lebih mononjol dan meluas rangkaiannya di tanah nusantara.

~flyangler~
 
Sisilah Toriqat an-Naqsyabandiyah al-Kholidiyah yang turun kepada Syaikhul-Masyaeikh Abdul Wahhab Jawi Rokan Al-Kholidi An-Naqsyabandi

Adapun kemudian daripada itu maka inilah salasilah Thoriqat Majdiyah An-Naqsyabandiyah Baha-iyah Kholidiyah Mahdudiyah Dhiya-iyah maka mewahikan Subhanahu Wa Taala Jal Jallaalahu kepada Jibrail Al-Ameenu ‘Alaihis-Salam akan rahsia yang amat halus itu, untuk diberikan kepada hamba-hambaNya yang suci hati dan putus pengenalan dan yang kuat yaqinnya. Kemudian maka turun Jibrail Al-Ameenu ‘Alaihis-Salam ke dunia ini maka ditumpahkan akan rahsia itu kepada Nabi yang pilihan lagi penghulu sekalian Rasul iaitu Saiyidul-Awwalin wal-Akhirin, iaitu Nabi kita

1. Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w)
2. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq rodhiyallahu anhu (r.a)
3. Salman Al-Faarisi r.a.
4. Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq r.a.hum
5. Imam Ja’afar As-Siddiq r.a.
6. Syeikh Abu Yazid Al-Bustami qoddasa sirruhu (q.s)
7. Syeikh Abu Hassan ‘Ali bin Ja’afar Al-Kharqaani q.s.
8. Syeikh Abu ‘Ali Al-Fadhlal bin Muhammad Ath-Thusi Al-Farmadi q.s.
9. Syeikh Abu Ya’akub Yusuf Al-Hamdani bin Aiyub bin Yusuf bin Hussin q.s.
10. Syeikh Abdul Khaliq Al-Fajduwani bin Al-Imam Abdul Jamil q.s.
11. Syeikh ‘Ariff Ar-Riyukuri q.s.
12. Syeikh Mahmud Al-Anjiri Al-Faghnawi q.s.
13. Syeikh ‘Ali Ar-Rameetuni q.s.
14. Syeikh Muhammad Baba As-Samasi q.s.
15. Saiyid Amir Kulal bin Saiyid Hamzah q.s.
16. Syeikh Muhammad Baha-uddin Al-Bukhori An-Naqsyanbandi q.s.
17. Syeikh Muhammad Bukhari q.s.
18. Maulana Ya’akub Jarki Hisori q.s.
19. Syeikh ‘Abidullah Samarqandi (‘Ubaidullah) q.s.
20. Maulana Muhammad Zahid q.s.
21. Maulana Muhammad Darwith q.s.
22. Maulana Khawajakani q.s.
23. Syeikh Muhammad Baqi q.s.
24. Syeikh Ahmad Faaruuqi Sir Hindi q.s.
25. Al-Imam Muhammad Maqsum q.s.
26. Syeikh Saifuddin q.s.
27. Syeikh Muhammad Nur Bidwani q.s.
28. Syeikh Syamsuddin q.s.
29. Syeikh Abdullah Hindi q.s.
30. Maulana Kholid Dhiyaa-ul Haq q.s. adalah gelaran bagi Syeikh Kholid Uthman Al-Kurdi
31. Syeikh ‘Abdullah Afandi q.s.
32. Syeikh Sulaiman Qorimi q.s.
33. Syeikh Sulaiman Zuhdi q.s.
34. Syeikhul Masyaa-ikh ‘Abdul Wahhab Jawi Rokan Al-Kholidi q.s.

Iaitu Tuan Guru yang mengasaskan Babussalam, Langkat Sumatera Utara, kemudian dari situ turunlah pula kepada zuriat-zuriatnya :

35. Syeikhul Haj Muhammad Sa’id bin Wan Ismail Al-Kelantani q.s.
36. As-Syeikh Faqih Tambah Al-Wahhab q.s.
37. Khalifah ‘Abdul Hamid Rafa’ie q.s.
38. As-Syeikhul Haj Hasyim As-Syarwaani q.s.

Iaitu Tuan Guru Mursyid Nadzir Babussalam sehingga ke hari ini.



~flyangler~
 
alhamdulillah..dapat ilmu baru hari ni. terima kasih TT
 
memang banyak kumpulan toriqat di tanah air kita ni tidak mempunyai silsilah yg jelas dan tepat... contoh apa yg berlaku di Kg. Menderang, Sungkai Perak... kalau nak diikutkan kumpulan ini bukanlah dari Toriqat Naqsyabandiyah Kholidiyah spt yg didakwa.. mereka hanya menggabungkan beberapa amalan toriqat yg tidak tentu sanadnya dan oleh kerana mereka hendak mengadakan amalan suluk ini lalu mereka namakan kumpulan ini toriqat naqsyabandiyah kholidiyah padahal amat bertentangan dgn ajaran Toriqat Naqsyabandiyah Kholidiyah yg sebenarnya.
 
Tarekat Sathariyah dan Naqsyabandiyah di Minangkabau
Dikirim Oleh Ephi Lintau

SECARA HISTORIS, Islam masuk ke Minangkabau pada abad ke-12 M, ada yang menyebutnya abad ke-14 M. Al-manak Tiongkok menyebutkan bahwa sudah didapatinya satu kelompok masyarakat Arab di Sumatera bahagian barat pada tahun 674 M, maka dengan demikian Islam telah masuk ke daerah ini sejak tahun 674 Masehi atau abad pertama hijriah.

Naiknya kerajaan Islam Pasai di Aceh dibawah kekuasaan Sultan Iskandar Muda tahun 1607-1638 M. membawa akibat dikuasainya kerajaan kecil Minangkabau. Perkembangan Islam di Aceh, khususnya paham tasawuf melalui 'Abd al-Rauf as-Sinkili ikut mewarnai pemikiran keagamaan di Minangkabau sejak masa awal. Pengaruh al-Sinkili dalam pengembangan Islam ke Minangkabau diteruskan oleh Burhanud-Din. Syekh Burhanud-Din Ulakan memainkan peranan sebagai pengembang Islam melalui tarekat Sathariyah di Minangkabau. Sehingga surau Ulakan cukup termasyhur sebagai satu-satunya pusat keilmuan Islam di Minangkabau.
 
Pengertian Tarekat

Tarekat berasal dari bahasa Arab thariqah, jamaknya tharaiq, yang berarti: (1) jalan atau petunjuk jalan atau cara, (2) Metode, system (al-uslub), (3) mazhab, aliran, haluan (al-mazhab), (4) keadaan (al-halah), (5) tiang tempat berteduh, tongkat, payung (‘amudul-mizalah). Menurut Al-Jurjani ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ali (740-816 M), tarekat ialah metode khusus yang dipakai oleh salik (para penempuh jalan) menuju kepada Allah Ta’ala melalui tahapan-tahapan/maqamat.

Dengan demikian tarekat memiliki dua pengertian, pertama ia berarti metode pemberian bimbingan spiritual kepada individu dalam mengarahkan kehidupannya menuju kedekatan diri dengan Tuhan. Kedua, tarekat sebagai persaudaraan kaum sufi (sufi brotherhood) yang ditandai dengan adanya lembaga formal seperti zawiyah, ribath, atau khanaqah.

Bila ditinjau dari sisi lain tarekat itu mempunyai tiga system, yaitu: sistem kerahsiaan, sistem kekerabatan (persaudaraan) dan sistem hirarki seperti khalifah tawajjuh atau khalifah suluk, syekh atau mursyid, wali atau qutub. Kedudukan guru tarekat diperkokoh dengan ajaran wasilah dan silsilah. Keyakinan berwasilah dengan guru dipererat dengan kepercayaan karamah, barakah atau syafa’ah atau limpahan pertolongan dari guru. Kepatuhan murid kepada guru dalam tarekat digambarkan murid dihadapan guru laksana mayat di tangan orang yang memandikannya.


Adat Minangkabau

Adat sebagai identitas masyarakat Minangkabau telah menjadi rujukan bagi setiap tingkah laku masyarakatnya. Setiap aktivitas, prakarsa (inisiatif) dan kreatifitas selalu dinilai berdasarkan adat tersebut. Namun demikian, adat Minangkabau telah mengalami fase-fase perkembangan sendiri berkenaan dengan perjumpaannya dengan nilai-nilai luar. Pertama adalah fase animisme dan dinamisme. Fase ini berlangsung sebelum abad V M. Kedua adalah fase pengaruh Hindu-Budha, mulai abad VI Masehi sampai abad VII Masehi. Ketiga adalah fase Islam. Adapun raja Minangkabau pertama yang beragama Islam adalah Sultan Alif yang memerintah pada pertengahan abad ke-16 (1560 M). Pada masa ini, terutama di seputar pesisir, dominasi politik dan ekonomi dikuasai oleh kerajaan Aceh

Ketika Islam menjadi anutan orang Minangkabau maka tidak sedikit adat Minangkabau yang dipengaruhi oleh animisme dan dinamisme serta Hindu dan Budha, mendapatkan kritikan dan gugatan dari ajaran Islam. Setelah itu, melalui pergulatan yang terakhir justru Islamlah yang sampai sekarang berpengaruh dalam kehidupan masyarakat, termasuk memberi corak tehadap adat Minangkabau. Perpaduan antara adat dan Islam itu dibuktikan melalui sistem dan struktur adat Minangkabau yang dibuhul dengan pepatah "Adat bersendikan syara’, Syara’ bersendikan Kitabullah.”

Tarekat Sathariyah

Tarekat Sathariyah pertama kali digagas oleh Abdullah Sathar (w.1429 M). Tarekat Sathariyah berkembang luas ke Tanah Suci (Mekah dan Medinah) dibawa oleh Syekh Ahmad Al-Qusyasi (w.1661/1082) dan Syekh Ibrahim al-Kurani (w.1689/1101). Dan dua ulama ini diteruskan oleh Syekh 'Abd al-Rauf as-Sinkili ke nusantara, kemudian dikembangkan oleh muridnya Syekh Burhanud-Din ke Minangkabau.

Tarekat Sathariyah sesudah Syekh Burhanud-Din berkembang pada 4 (empat) kelompok, yaitu; Pertama. Silsilah yang diterima dari Imam Maulana. Kedua, Silsilah yang dibuat oleh Tuan Kuning Syahril Lutan Tanjung Medan Ulakan. Ketiga, Silsilah yang diterima oleh Tuanku Ali Bakri di Sikabu Ulakan. Keempat; Silsilah oleh Tuanku Kuning Zubir yang ditulis dalam Kitabnya yang berjudul Syifa’ Al-Qulub.

Berdasarkan silsilah seperti tersebut di atas, maka dapat disimpulkan bahwa tarekat Sathariyah di Minangkabau masih terpelihara kokoh. Untuk mendukung perlembagaan tarekat, pengamal Sathariyah membuat lembaga formal berupa organisasi sosial keagamaan Jamaah Sathariyah Sumatera Barat, dengan cabang dan ranting-ranting di seluruh alam Minangkabau, bahkan di propinsi - tetangga Riau dan jambi. Bukti kuat dan kokohnya kelembagaan tarekat Sathariyah dapat ditemukan wujudnya pada kegiatan bersafar ke makam Syekh Burhanud-Din Ulakan.
 
Adapaun ajaran tarekat Sathariyah yang berkembang di Minangkabau sama seperti yang dikembangkan oleh 'Abd al-Rauf al-Sinkili. Masalah pokoknya dapat dikelompokkan pada tiga;

Bahagian Pertama - Ketuhanan dan hubungannya dengan alam. Paham ketuhanan dalam hubungannya dengan alam ini seolah-olah hampir sama dengan paham Wahdat ul - Wujud, dengan pengertian bahwa Tuhan dan alam adalah satu kesatuan atau Tuhan itu immanen dengan alam, bedanya oleh as-Sinkili ini dijelaskannya dengan menekankan pada trancendennya Tuhan dengan alam. la mengungkapkan wujud yang hakiki hanya Allah, sedangkan alam ciptaan-Nya bukan wujud yang hakiki. Bagaimana hubungan Tuhan dengan alam dalam transendennya, as-Sinkili menjelaskan bahwa sebelum Tuhan menciptakan alam semesta (al - 'alamin), Dia selalu memikirkan (berta'akul) tentang diri-Nya, yang kemudian mengakibatkan terciptanya Nur Muhammad (cahaya Muhammad). Dari Nur Muhammad itu Tuhan menciptakan pola-pola dasar (al 'ayan tsabitah), yaitu potensi dari semua alam semesta, yang menjadi sumber dari pola dasar luar (al -‘ayan al-Kharijiyah) yaitu ciptaan dalam bentuk konkritnya.

Ajaran tentang ketuhanan as-Sinkili di atas, disadur dan dikembangkan oleh Syekh Burhanud-Din Ulakan seperti yang terdapat dalam kitab Tahqiq. Kajian mengenai ketuhanan yang dimuat dalam kitab Tahqiq dapat disimpulkan pada Iman dan Tauhid. Tauhid dalam pengertian Tauhid syari'at, Tauhid tarekat, dan Tauhid hakikat, yaitu tingkatan penghayatan tauhid yang tinggi.

Bahagian kedua - Insan ul - Kamil atau manusia ideal (sempurna). Insan kamil lebih mengacu kepada hakikat manusia dan hubungannya dengan penciptanya (Tuhannya). Manusia adalah penampakan cinta Tuhan yang azali kepada esensi-Nya, yang sebenarnya manusia adalah esensi dari esensi-Nya yang tak mungkin disifatkan itu. Oleh karenanya, Adam diciptakan Tuhan dalam bentuk rupa-Nya, mencerminkan segala sifat dan nama-nama-Nya, sehingga "Ia adalah Dia." Manusia adalah kutub yang diedari oleh seluruh alam wujud ini sampailah keakhirnya. Pada setiap zaman ini ia mempunyai nama yang sesuai dengan pakaiannya. Manusia yang merupakan perwujudannya pada zaman itu, itulah yang lahir dalam rupa-rupa para Nabi--dari Nabi Adam a.s. sampailah ke Nabi Muhammad SAW-- dan para qutub (wali tertinggi pada satu zaman) yang datang sesudah mereka.

Hubungan wujud Tuhan dengan insan kamil bagaikan cermin dengan bayangannya. Pembahasan tentang Insan KamiI ini meliputi tiga masalah pokok: pertama; Masalah Hati. kedua; Kejadian manusia yang dikenali dengan a’yan - ul kharijiyyah dan a’yan - uts tsabitah. ketiga; Akhlak, Takhalli, tahalli dan Tajalli.
Bahagian ketiga, jalan kepada Ketuhanan (Tarekat). Dalam hal ini Tarekat Sathariyah menekankan pada rekonsiliasi syari'at dan tasawwuf, yaitu memadukan tauhid dan dzikir.

Tauhid itu memiliki empat martabat, yaitu tauhid uluhiyah, tauhid sifat, tauhid zat dan tauhid af'al. Segala martabat itu terhimpun dalam kalimah La ilaha ilIa Allah. Oleh karena itu kita hendaklah memesrakan diri dengan La ilaha illa Allah. Begitu juga halnya dengan dzikir yang tentunya diperlukan sebagai jalan untuk menemukan pencerahan intuitif (kasyf) guna bertemu dengan Tuhan. Dzikir itu dimaksudkan untuk mendapatkan al-mawat al-ikhtiyari (kematian sukarela) atau disebut juga al-mawat al-ma'nawi (kematian ideasional) yang merupakan lawan dari al mawat al-tabi’i (kematian alamiah). Namun tentunya perlu diberikan catatan bahwa ma’rifat yang diperolehi seseorang tidaklah boleh menafikan jalan syari’at.

Tarekat Naqsyabandiyah

Menurut BJO Schrieke dan Martin Van Bruinessen, Naqsyabandiyah masuk ke Nusantara dan Minangkabau pada tahun 1850. Christine Dobbin menyebutkan tarekat Naqsyabandiyah sudah masuk ke Minangkabau sejak abad ke 17, pintu masuknya melalui daerah Pesisir Pariaman, kemudian terus ke Agam dan Lima Puluh kota. Azyumardi Azra menulis bahawa tarekat Naqsyabandiyah diperkenalkan ke wilayah ini pada paruh pertama abad ketujuh belas oleh Jamal ul-Din, seorang Minangkabau yang mula-mula belajar di Pasai sebelum dia melanjukan ke Baitul-Faqih, Aden, Haramain, Mesir dan India.

Kepopuleran Tarekat Naqsyabandiyah Al - Khalidiyah di Minangkabau diperkuat oleh ulama Minangkabau yang menuntut ilmu di Mekah dan Medinah lalu mereka kemudian mendapat bai'ah dari Syekh Sulaiman Zuhdi dari Jabal Qubais di Mekah dan Syekh Muhammad Ridwan di Medinah. Misalnya, Syekh Abdurrahman di Batu Hampar Payakumbuh (w. 1899 M), Syekh Ibrahim Kumpulan Lubuk Sikaping, Syekh Khatib Ali Padang (w. 1936), Syekh Muhammad Sai'd Bonjol yang lebih dikenali sebagai Imam Bonjol.

Ajaran dasar Tarekat Naqsyabandiyah pada umumnya mengacu kepada empat aspek pokok yaitu: syari'at, thariqat, hakikat dan ma'rifat. Ajaran Tarekat Naqsyabandiyah ini pada prinsipnya adalah cara-cara atau jalan yang harus dilakukan oleh seseorang yang ingin merasakan nikmatnya hampirnya dengan Allah Ta’ala. Ajaran yang nampak kepermukaan dan memiliki tata aturan adalah suluk atau khalwah. Suluk ialah mengasingkan diri dari keramaian atau ke tempat yang terpencil, dengan melakukan dzikir di bawah bimbingan seorang syekh atau khalifahnya selama waktu 10 hari atau 20 hari dan paling sempurnanya adalah 40 hari. Tata cara bersuluk ditentukan oleh syekh antara lain; tidak boleh makan makanan yang berasaskan dari haiwan seperti daging, telur mahupun susunya. hal ini berlaku hanya sepanjang tempoh persulukan itu sahaja. Bagi yang bersuluk 40 hari pula yaitu pada hari yang ke 20nya hendaklah seseorang itu keluar suluk dengan cara memakan daging selepas waktu Asar. Kemudian masuk semula sebelumnya menjelang waktu Maghrib. Begitu juga dilarang bergaul dengan suami atau isteri; makan dan minumnya diatur sedemikian rupa, kalau mungkin sesedikit yang mungkin. Waktu dan semua pikirannya sepenuhnya diarahkan untuk berpikir yang telah ditentukan oleh syekh atau khalifah.

Sebelum suluk ada beberapa tahapan yaitu; Talqin dzikir atau bai'ah dzikir, tawajjuh, rabithah, tawassul dan dzikir. Talqin dzikir atau bai'ah dzikir dimulai dengan mandi taubat, bertawajjuh dan melakukan rabithah dan tawassul yaitu melakukan kontak (hubungan) dengan guru dengan cara membayangkan wajah guru yang mentalqin (mengajari dzikir) ketika akan memulai dzikir.


Dzikir ada 5 tingkatan, murid belum boleh pindah tingkatan dzikirnya tanpa ada izin dari guru. Kelima tingkat itu adalah (a) dzikir ism al-dzat, (b) dzikr al-lata’if, (c) dzikir nafi wa ithbat, (d) dzikir muraqabah, (e) tahlil
 
SYEIKH ABDUL RAHMAN MINANGKABAU
Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah


PERKEMBANGAN thariqat shufiyah (jalan kesufian) di Minangkabau sudah cukup lama. Mulai Islam masuk di Minangkabau, Thariqat Sathariyah serentak berkembang sama. Penyebar Islam yang pertama di Minangkabau ialah Syeikh Burhanuddin Ulakkan, salah seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Daripada Thariqat Sathariyah ia berlanjutan dengan Thariqat Naqsyabandiyah.
Ulama yang diriwayatkan ini adalah ulama Minangkabau yang sangat memahami dan mengamalkan kedua-dua thariqat tersebut. Walau bagaimanapun, setelah wafat Syeikh Abdur Rahman al-Minankabawi dan Syeikh Ismail al-Minankabawi, terjadi pertikaian pendapat atau kekhilafan mengenai 'Thariqat Naqsyabandiyah'. Pertikaian itu dimulai daripada beberapa tulisan Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif yang juga berasal dari Minangkabau tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai imam dan khatib Mazhab Syafie di Mekah.

Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dibantah keras oleh ulama besar lain yang berasal Minangkabau iaitu Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka al-Minankabawi yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau. Polemik antara mereka berjalan terus hinggalah kemunculan Dr. Syeikh Jalaluddin dengan 'Persatuan Pembelaan Thariqat Islam' (singkatan PPTI).
Beliau juga mendapat tentangan. Yang agak menarik ialah golongan yang menentang beliau adalah daripada lingkungan ulama Thariqat Naqsyabandiyah juga. Yang menentang ialah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli yang termaktub dalam karya berjudul Tabligh al-Amanat fi Izalah al-Munkarat wa asy-Syubuhat. Selesai penulisan pada 19 Jumadilakhir 1373 H/23 Januari 1954 M. Dicetak oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit Tinggi, 1373 H/1954 M.

Pendidikan

Nama lengkap ulama yang dibicarakan ini ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah al-Minankabawi. Ulama ini dilahirkan pada tahun 1192 H/1777 M di Batuhampar, Payakumbuh, Sumatera Barat. Ayahnya Abdullah bergelar Rajo Baintan dan ibunya terkenal dengan sebutan Tuo Tungga. Memperhatikan nama orang tuanya, Abdullah, negeri asal dan tahun kelahirannya ada kemungkinan Syeikh Abdur Rahman ini adalah adik-beradik dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi (wafat 1280 H/1863 M), ulama besar ahli Thariqat Naqsyabandiyah yang sangat terkenal yang dibicarakan sebelum ini.

Penelitian lanjut masih diperlukan. Pada sekitar usia 15 tahun Abdur Rahman belajar agama daripada seorang ulama di Galogandang, Batusangkar, juga di daerah Sumatera Barat. Dari sana, dia melanjutkan pelajarannya ke Tapaktuan, Aceh Barat, selama lapan tahun.
Kemudian, dia berangkat ke Mekah untuk melaksanakan haji dan memperdalam pelajarannya selama tujuh tahun. Dipercayai sewaktu beliau berangkat ke Mekah, pada masa itu di Mekah telah terdapat ramai ulama dunia Melayu yang terkenal di antaranya ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi, Syeikh Abdus Samad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.

Dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman Minangkabau pernah belajar daripada Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa pengajian Syeikh Abdur Rahman Minangkabau bersama-sama dengan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menadah kitab belajar daripada ulama-ulama yang lebih tua kerana pada masa itu Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, selain mengajar, juga belajar. Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau bertindak sebagai 'Ketua Thala'ah' (tutor) sedangkan Syeikh Abdur Rahman Minangkabau adalah di bawah kelompok tela'ahnya.

Selain belajar daripada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu seperti yang disebut itu, Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau juga sempat belajar daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu.


Di antara mereka ialah Syeikh Utsman Dimyathi, Syeikh Muhammad Sa'id Qudsi, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais, Saiyid Ahmad al-Marzuqi, Syeikh Abdullah Afandi dan ramai lagi.
 
Perbandingan ketokohan

Banyak cabang ilmu yang telah dikuasai oleh Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Yang paling digemarinya ialah tilawah al-Quran, sekurang-kurangnya tujuh qiraat dikuasainya dengan baik. Sebagaimana telah disebutkan, Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga adalah seorang penganut Thariqat Naqsyabandiyah dan merupakan seorang mursyid Thariqat Naqsyabandiyah, iaitu sama dengan Syeikh Ismail Minangkabau. Walau bagaimanapun, Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau lebih menyerlah dalam sejarah jika dibandingkan dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau.

Populariti ini mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau mengajar di rumahnya di Mekah dan Masjid al-Haram Mekah, sedang Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau hanya mengajar di negerinya sendiri. Faktor lain ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menyebar ilmu dan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah dalam kerajaan Riau-Lingga. Selanjutnya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau membuka tempat suluk di Semabok, Melaka, Pondok Upih di Pulau Pinang dan juga membina tempat suluk di Kedah dan Perak.

Faktor lain pula, walau pun Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga menghasilkan karangan mengenai tasawwuf, namun nama yang ditulis pada karangan hanya 'Abdur Rahman' saja, bererti belum cukup jelas. Dalam simpanan saya terdapat dua buah manuskrip karya beliau, sebuah mengenai Thariqat Sathariyah dan sebuah lagi mengenai Thariqat Naqsyabandiyah. Kedua-dua karya tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk cetakan. Ini jelas berbeza dengan karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau yang nama beliau ditulis secara lengkap. Karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau selain dijumpai dalam bentuk manuskrip, beberapa judul karyanya juga tersebar berupa bahan cetakan.

Zawiyah Suluk

Walaupun realiti perbandingan di atas, kita tidak dapat memandang kecil peranan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau kerana beliau telah menghabiskan waktu-waktu hidupnya belajar selama lebih 40 tahun, dan beliau pulang ke kampung halamannya, Batuhampar, pada usia lebih 60 tahun. Tak ubahnya seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan beberapa ulama dunia Melayu lainnya yang pulang ke kampung halaman pada usia yang sudah sangat lanjut kerana jihad menuntut ilmu demi kemuliaan Islam.

Apabila Syeikh Abdur Rahman Minangkabau tiba di kampung halamannya, beliau segera melancarkan kegiatan dakwah dan pendidikan di lingkungan masyarakatnya yang masih sangat terbatas pengetahuan keagamaannya. Akhirnya beliau berhasil mendirikan zawiyah pendidikan menurut tradisi di Minangkabau, tak ubahnya seperti pondok di Patani atau pondok-pesantren di Jawa. Namun ada sedikit bezanya kerana di zawiyah beliau itu disediakan pula tempat untuk melakukan suluk.

Tradisi suluk di satu tempat secara dibimbing oleh seorang 'Syeikh Mursyid' sangat terkenal dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, tetapi beberapa thariqat lain tidak mempopularkan istilah itu, namun istilah yang lebih disepakati ialah 'khalwat'. Istilah 'khalwat' adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh Saiyidina Ali bin Abi Thalib Karramahullahu wajhah melakukan zikir dalam khalwat (maksudnya: melakukan zikrullah di tempat yang sepi seorang diri).

Lama kelamaan tempat suluk yang diasas dan dibimbing secara langsung oleh Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau itu dikenali dengan nama 'Kampung Dagang' kerana ramai orang pendatang menuntut ilmu ataupun bersuluk ke tempat itu. Dikatakan antara 400 hingga 1,000 orang datang belajar thariqat dan bersuluk di zawiyah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau setiap tahun.

Kesinambungan

Apabila Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau wafat pada tahun 1317 H/1899 M, lembaga pendidikannya dilanjutkan oleh anaknya Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Pada masa pimpinan Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau, cabaran golongan penentang thariqat sangat dirasakan. Sebagai contoh, Syeikh Amrullah (datuk pada Prof. Dr. Hamka), adalah seorang pengamal Thariqat Naqsyabandiyah, tetapi anak beliau Dr. Syeikh 'Abdul Karim Amrullah adalah seorang tokoh pembaharuan yang menolak thariqat.

Ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau selain aktif dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam, beliau juga mempunyai beberapa orang keturunan yang aktif dalam bidang-bidang lainnya, termasuk politik. Menurut riwayat Dr. Muhammad Hatta yang dikenali di Indonesia sebagai tokoh 'Bapak Proklamator Kemerdekaan Republik Indonesia' bersama Soekarno adalah salah seorang keturunan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau. Selain dianggap tokoh tertinggi Indonesia, Dr. Muhammad Hatta juga pernah menjadi 'Wakil Presiden Republik Indonesia' (yang pertama sewaktu Indonesia mulai merdeka). Selain itu nama beliau ditonjolkan pula sebagai 'Bapak Koperasi Indonesia'.


Pandangan

Thariqat shufiyah, termasuk Thariqat Naqsyabandiyah, atau apa pun namanya, adalah kaedah ke arah menyuburkan kerohanian dalam Islam. Oleh itu ajaran tersebut perlu dipertahan dan dikembangkan. Para ahlinya perlu memberi penjelasan kerana ada pihak-pihak tertentu yang beranggapan bahawa thariqat shufiyah adalah termasuk dalam kategori ajaran sesat. Anggapan seperti demikian perlu dijawab bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah merupakan 'zikrullah'.
Sedangkan 'zikrullah' adalah sangat banyak disebut dalam al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. Dengan demikian perlu ditegaskan bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah berdasarkan al-Quran, hadith Nabi s.a.w., dan ijmak ulama sejak dulu hingga sekarang.

Sejak dulu hingga sekarang, selain para ulama mengamalkan sesuatu thariqat shufiyah, dalam masa yang sama ia juga diamalkan oleh para sultan dan pembesar dalam dunia Islam termasuk sultan dan pembesar di dunia Melayu. Memperhatikan dunia yang penuh cabaran seperti sekarang ini, sangatlah perlu bagi kita, mulai rakyat jelata hingga para pemimpin yang beragama Islam, menyisihkan sedikit waktu untuk melakukan 'zikrullah'.

Marilah kita mulai melakukan 'zikrullah' di tengah-tengah kita mempercakapkan pelbagai persoalan duniawi. Perlu kita sedari bahawa yang kita percakapkan kadang-kadang ada manfaatnya, namun tiada dapat dinafikan barangkali lebih banyak yang sia-sia, melalaikan, dan merugikan. Bahkan ada yang menjadi dosa yang akan ditanggung di akhirat nanti. Kita mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin yang beragama Islam termasuk dalam golongan ahli ibadah, ahli zikir dan betul serta tepat dalam berfikir untuk kepentingan umat.
 
Back
Top
Log in Register